
Kereta api laju di Jepun. Gambar Hiasan
JIKA diambil kira aspek ekonomi, cadangan yang dilontarkan YTL Corporation Bhd pada 2006 supaya syarikat gergasi itu dibenarkan melaksanakan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM8 bilion, memang berdaya maju dan pasti menjadi pilihan sama ada oleh pelancong atau peniaga. Ia akan memendekkan perjalanan darat dari Kuala Lumpur ke Singapura dan sebaliknya, kepada hanya 90 minit. Malah, pengangkutan rel laju ini menjadi pilihan terbaik di Paris dan London, apatah lagi pada musim sejuk. Di Jepun, ia amat popular kerana pengangkutan rel menghubungi bandar utama seperti Osaka, Yokohama, Sapporo, Kyoto dan lain-lain dengan bandar raya Tokyo. Begitu juga di Korea yang perkhidmatannya menghubungkan ibu negara Seoul dan Busan. Bagaimanapun, sama ada di Paris, London, Jepun atau Korea, sistem pengangkutan rel memang banyak menguntungkan rakyatnya. Malah, kedua-dua Paris dan London berkongsi keuntungan dalam pelbagai aspek apatah lagi ia adalah kota metropolitan termaju di Eropah serta wujud keseimbangan ekonomi. Tetapi bagaimana pula antara Kuala Lumpur dan Singapura? Katakanlah projek itu dilaksanakan, apakah jaminan bahawa ia tidak akan menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Bayangkan penerbangan ke republik itu dari Malaysia cuma memakan masa 55 minit, iaitu kurang setengah jam berbanding penggunaan kereta api laju KL-Singapura selama 90 minit.
Kita bimbang Lapangan Terbang Antarabangsa Changi nanti menjadi pilihan pelancong atau peniaga yang mahu singgah ke Malaysia, berbanding KLIA. Ini sudah pasti menjejaskan ekonomi negara, manakala Singapura mungkin menjadi persinggahan utama pelancong asing, yang mungkin memilih kereta api laju dari republik itu untuk ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Oleh itu, kita lega apabila Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, kelmarin menyatakan bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai projek kereta api laju KL-Singapura itu. Beliau menegaskan, perkara itu sebaiknya diputuskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kerana unit itu saja yang boleh memberikan jawapan tepat. Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad membantah projek kereta api laju itu dengan alasan ia merugikan, tetapi Pengarah Urusan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh, dipetik sebagai berkata pihaknya yakin projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura apabila siap nanti boleh menjimatkan penggunaan petrol dan juga subsidi ke atas bahan api. Ketika projek itu mula dipaparkan media pada 2006, pelbagai reaksi diterima, termasuk yang membantah dengan pelbagai alasan.
Kita berharap kerajaan membuat pertimbangan teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum memutuskan cadangan itu. Projek itu juga dikhuatiri menggagalkan Iskandar Malaysia, yang sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Projek kereta api laju mungkin hanya akan menggalakkan orang ramai ke republik itu, sekali gus menggagalkan usaha membangunkan ekonomi Johor Selatan. Malah, sebahagian penduduk Johor Bahru khuatir tanah mereka akan diambil untuk projek kereta api laju itu. Penganalisis pasaran menganggarkan nilai projek kereta api laju itu mungkin mencecah RM11 bilion, iaitu RM3 bilion untuk pembinaan infrastrukturnya dan RM8 bilion lagi adalah kos pengambilalihan tanah. Kita percaya kerajaan mempunyai keutamaan lain yang lebih memanfaatkan rakyat daripada projek kereta api laju itu.
Berita Harian