BAPA Umaisarah Sameaun, 21, Sameaun Hassan, 45, mencium dahi Umaisarah sejurus dimasukkan ke wad diraja Hospital Tunku Ampuan Afzan (HTAA) semalam.
KUANTAN - Ketika mengharungi segala kepayahan selama 19 hari sesat di hutan, Nur Umaisarah menceritakan detik-detik cemas yang dilalui gadis itu hingga hampir meragut nyawanya.
Semuanya berlaku ketika beliau mencari jalan keluar dengan meniti batu untuk melintasi sungai.
"Saya terpaksa meniti batu untuk melintas sungai. Tiba-tiba saya tergelincir dan nyaris lemas.
"Saya tanggalkan tudung untuk memudahkan pergerakan, kasut dan cermin mata pula terlucut semasa berada dalam air. Apabila sedar, saya sudah terdampar di atas batu besar di tepi sungai," ceritanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dekat sini semalam.
Selepas peristiwa itu, beliau berehat selama lima hari untuk mendapatkan secukup tenaga bagi meneruskan perjalanan menuju ke puncak Gunung Tahan supaya mudah dikesan penyelamat.
Sebelum itu, dalam tempoh sesat di hutan itu, Umaisarah, 21,memberitahu, beliau tidak makan apa-apa tetapi hanya minum air Sungai Pahang sepanjang 19 hari beliau sesat di Gunung Tahan sejak 7 Februari lalu sebelum ditemui kelmarin.
Menceritakan pengalamannya, gadis itu berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan.
"Beg saya jatuh gaung pada hari pertama saya sesat, bekalan makanan semua habis disebabkan itu. Untuk terus hidup, saya hanya minum air sungai," ceritanya lagi.
Tambahnya, beliau terpaksa berlapar kerana tidak tahu sumber hutan yang boleh dijadikan makanan selain terpaksa meredah belantara sejauh 15 kilometer setiap hari.
"Nak makan buah hutan pun takut beracun, saya cuma berani minum air sepanjang mencari jalan keluar menyusuri sungai," jelasnya sambil memberitahu menjadikan batu-batu besar di tepi sungai sebagai tempat tidur.
Tambahnya, beliau pernah beberapa kali terdengar bunyi helikopter di ruang udara sepanjang usaha mencarinya dijalankan pasukan penyelamat terutama pada hari ke-14.
"Ada juga dengar bunyi macam helikopter selepas dua minggu sesat, tapi saya sangka itu bunyi air terjun dan bunyi air sungai. Lagipun saya memang ikut laluan sungai selama 19 hari," katanya.
Namun begitu beliau bersyukur kerana tidak terserempak dengan binatang buas.
"Alhamdulillah saya tak terserempak dengan binatang buas. Bunyi binatang buas pun tak ada. Hanya bunyi cengkerik," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh daripada batu besar.
"Saya teruskan perjalanan. Saya hanya berjaya menemui trek laluan pada hari ke-17 dan kekal berjalan mengikut trek sehingga ternampak kelibat sekumpulan manusia.
"Selama dua hari saya ikut trek tanpa menghiraukan rasa lapar dan dahaga. Pada hari ke-19 barulah saya ternampak kelibat manusia setelah tersesat sekian lama," katanya.
Satu keajaiban - Ibu

KUANTAN - "Tercapai juga hajat untuk memberi air zam zam kepada Umai, anak kesayangan mak cik hari ini (semalam)."
Demikian luah Nur Azah Ismail, 43, (gambar) ibu kepada Nur Umaisarah Sameaun, 21, dengan nada gembira ketika ditemui KOSMO! di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini semalam.
Difahamkan, Nur Azah yang mendapat berita mengenai penemuan Nur Umaisarah pada pukul 6.30 petang kelmarin telah bergegas bersama ahli keluarga lainnya menuju ke HTAA Kuantan pada pukul 6.45 pagi semalam bagi menyambut anaknya sebelum tiba kira-kira pukul 1 tengah hari.
Sebagai ibu, Nur Azah berkata, beliau amat bersyukur dan teruja dengan ketabahan anaknya menghadapi rintangan ketika sesat selama 19 hari di dalam hutan tebal Taman Negara Pahang.
"Setelah Umai menceritakan apa yang terjadi, mak cik kagum dan merasakan apa yang menimpa Umai bagaikan satu keajaiban.
"Apa tidaknya, dengan kuasa Tuhan, dia yang hanya minum air Sungai Pahang tanpa menjamah sebarang makanan mampu untuk mendaki kembali Gunung Tahan sebelum ditemui oleh jurupandu arah.
"Mak cik juga benar-benar teruja dengan kecekalan dimiliki oleh Umai yang memberanikan diri berjalan seorang diri dengan bertawakal semata-mata kepada Tuhan untuk bertahan selama lebih dua minggu dalam hutan," katanya.
Beliau turut mengakui Nur Umaisarah yang kehilangan berat badan sebanyak 14 kilogram ekoran kejadian itu tidak trauma untuk masuk ke hutan lagi meskipun mengalami pengalaman sesat.
"Mak cik diberitahu berat Umai sekarang 61 kilogram berbanding 75 kilogram sebelum ini.
"Apa yang membanggakan mak cik dia dengan yakin menjawab kalau sihat hari ini juga dia mahu masuk," jelasnya ketika ditanya sama ada anaknya berhasrat untuk menyertai ekspedisi masuk hutan pada masa depan.
Nur Azah menambah, berikutan kejayaan menemui anak sulungnya itu, beliau kini menyimpan hasrat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dalam waktu terdekat.
"Mak cik sudah kering air mata mengenangkan nasib Umai ketika dia hilang, hanya solat hajat dan doa berterusan yang menenangkan perasaan mak cik," tambahnya.
Sementara itu, bapanya, Sameaun Hassan, 45, yang sampai ke HTAA terlebih dahulu turut membisikkan azan serta iqamat ke telinga Nur Umaisarah sebagai tanda bersyukur.
"Azan dan iqamat adalah tanda syukur saya kepada Allah seperti semasa menyambut kelahirannya dulu. Bagi saya, Umai seperti dilahirkan semula," katanya.
'Terkeliru dengan dua laluan'

NUR Umaisarah Sameaun bergambar bersama rakan ekspedisi program mendaki ke Gunung Tahan,Pahang sebelum dia hilang pada 7 Februari lalu.
KUANTAN - Ingin melihat pemandangan sambil menunggu rakan buang air kecil dalam semak menjadi punca Nur Umaisarah Sameaun, 21, gagal mencari jalan pulang.
Menceritakan kembali detik sebelum sesat, Nur Umaisarah berkata, beliau mengambil peluang melihat pemandangan sekitar dari puncak Bukit Botak sambil menunggu rakannya, hanya dikenali sebagai Zulhairi membuang air kecil.
Katanya, tidak jauh dari situ rakan-rakan yang lain pula sedang sibuk mengemas barang untuk berangkat pulang pada hari beliau dilaporkan hilang, 7 Februari lalu.
"Saya pun tak pasti berapa jauh saya berjalan sambil melihat pemandangan dari puncak bukit sambil tunggu kawan 'selesai'. Tapi apabila hendak pergi semula kepada kawan tadi, saya keliru dengan laluan yang saya lalui sebelum itu," katanya.
Tambahnya, apabila menyedari sudah tersesat, beliau cuba menuruni Bukit Botak dan terkeliru dengan dua laluan.
"Ada dua laluan, satu ke kanan dan satu lagi ke kiri tapi tak pasti sama ada kedua-dua itu adalah laluan keluar yang sebenar atau tidak.
"Saya ambil keputusan ikut lorong kiri yang menyusuri sungai dengan harapan jumpa jalan keluar, tapi berlaku sebaliknya dan saya sesat sehingga 19 hari," katanya.
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK, HAFIZ ABBAS
Kosmo!