Ahad, 26 Ogos 2007

Saintis Britain mahu cipta embrio manusia-haiwan - Ahli sains beri alasan untuk hasil ubat penyakit Alzhemer, 'motor neurone'

LONDON: Sekumpulan saintis terkemuka Britain sudah mengemukakan rayuan terakhir satu usaha kontroversi iaitu menghasilkan hibrid embrio atau janin gabungan manusia-haiwan yang pertama seumpamanya di dunia.

Penyelidik yang menggunakan telur diperoleh daripada bangkai lembu, memberi alasan penyelidikan sedemikian penting demi manfaat manusia, termasuk pemahaman lebih terperinci mengenai penyakit genetik atau keturunan, lapor akhbar The Guardian, semalam.

‘Nasib’ mereka, bagaimanapun, bakal diketahui minggu depan apabila Pihak Berkuasa Persenyawaan dan Janin Manusia, mengumumkan keputusan membenarkan makmal menghasil janin sedemikian.

Isu itu sememangnya kontroversi kerana membabitkan penggunaan telur haiwan oleh saintis yang mengeluarkan sebahagian genetiknya digantikan DNA sel manusia.

Ia didakwa boleh digunakan bagi tujuan pembentukan sel tunjang yang menjadi sebahagian kajian merawat penyakit genetik seperti masalah saraf atau ‘motor neurone.’

Bagaimanapun, kaedahnya mendapat kecaman kumpulan agama mempertahankan larangan menggabungkan sel manusia-haiwan yang dianggap sebagai tidak beretika.

Saintis terkemuka, Dr Stephen Minger sebaliknya mempertahankan tindakan itu dan sudah pun mengemukakan permohonan mendapatkan lesen menggunakan hibrid atas alasan membolehkan pemahaman lebih mendalam mengenai penyakit saraf seperti Alzheimer dan lainnya.

“Saya yakin pihak berkuasa akan memberi kami lesen itu. Saya juga berharap kami dapat meyakinkan mereka yang penyelidikan ini amat penting bagi manfaat perubatan, termasuk mengkaji dan memahami penyakit keturunan.

“Sel baru itu dapat digunakan bagi menghasilkan terapi penyakit seperti Alzheimer yang dihidapi ramai, tetapi tiada rawatan baginya setakat ini.”

Minger yang juga Pensyarah Kanan Biologi Sel, Kolej King di London, percaya lebih penyelidikan menggunakan teknologi hibrid berasaskan telur dan air mani manusia itu lebih wajar kerana saintis boleh menggunakan telur diambil dari dalam rahim beribu-ribu lembu yang disembelih setiap hari. – Agensi