Selasa, 11 September 2007

Sisa sawit jadi bahan implan


Penyelidik USM temui kaedah terbaru dalam pembedahan tulang pinggul, gigi


GEORGETOWN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui kaedah terbaru menghasilkan bahan implan bagi pembedahan tulang pinggul dan gigi daripada sisa buangan kelapa sawit.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Prof Wan Rosli Wan Daud, berkata batang, pelepah dan tandan yang diproses, kaya dengan selulosa berkeupayaan menjadi biopolimer untuk perubatan.

Contohnya, bahan yang diproses itu boleh digunakan untuk membaik pulih gigi rosak atau bermasalah, selain membersihkan celah gigi bagi menggantikan penggunaan benang pembersih.

"Bagi pembedahan tulang pinggul, ia sebagai bahan pengikat menggantikan simen. Sebaik saja diimplan, selulosa yang menyerap (fosforus) akan menggalakkan pembentukan kalsium fosfat yang berfungsi seperti tulang," katanya selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Daripada Sisa Buangan Menjadi Emas: Penghasilan Produk Berasaskan Selulosa daripada Biojisim Kelapa Sawit’, di USM, di sini, semalam.

Wan Rosli berkata, penemuan kajian yang mengambil masa beberapa tahun bersama sekumpulan pelajarnya, akan dibangunkan di Pusat Pengajian Pergigian USM, Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya memperoleh geran lebih RM200,000 dari Felda untuk membangunkan produk dalam tempoh dua tahun, sebelum dikomersialkan bagi pasaran tempatan, tidak lama lagi.

“Ketika ini, negara berbelanja besar untuk mengimport bahan implan. Tetapi, apabila penemuan ini dikomersialkan, ia bukan saja menjimatkan wang, malah boleh mengeksplotasi sepenuhnya bahan terbuang," katanya.

Terdahulu dalam syarahannya, Wan Rosli berkata, negara menghasilkan kira-kira 100 juta tan sisa buangan kelapa sawit dan mengeksport minyak sawit bernilai RM31.81 bilion tahun lalu.

Sebanyak empat juta hektar tanah di negara ini ditanam pokok sawit yang memberi pekerjaan kepada 1.5 juta penduduknya.

“Namun ramai tidak menyedari pokok itu mempunyai banyak kegunaan dan berpotensi untuk dikomersialkan.

“Apa yang kita peroleh dari pokok itu hari ini, hanyalah 10 peratus kegunaannya iaitu minyaknya saja, baki selebihnya tidak digunakan langsung," katanya.

Beliau berkata, sisa kelapa sawit juga boleh diproses menjadi pelbagai produk termasuk bagi kegunaan industri kertas dan pulpa serta tekstil, pencuci dan kosmetik.

Oleh Faiza Zainudin

Berita Harian 12 September 2007