Ahad, 11 November 2007

Bigfoot masih misteri


Kewujudan monyet gergasi di Malaysia jadi tanda tanya kerana jasadnya belum ditemui


DI MANA menghilangnya Bigfoot yang digembar-gemburkan wujud dan bersembunyi di sebalik rimbunan hutan Khatulistiwa di negara ini sekitar 2006? Mungkin itu persoalan yang tercetus pada minda kebanyakan rakyat negara ini tatkala memikirkan mengenai misteri spesies hidupan misteri itu.

Sejak beberapa pihak mendakwa pernah terserempak dengan makhluk misteri itu sekitar hutan Johor, kisah berkenaan dengan pantas mencetuskan fenomena menggemparkan tidak saja di kalangan masyarakat negara ini malah sehingga ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak termasuk pengkaji Bigfoot antarabangsa menjejakkan kaki di belantara negara ini untuk memburu makhluk berkenaan dengan harapan dapat membongkar misteri kewujudan makhluk itu yang sudah terlalu lama membingungkan ramai pihak.

Bagaimanapun, seperti juga buruan di kebanyakan kawasan lain di seluruh dunia, misteri kewujudan Bigfoot di hutan Semenanjung Malaysia, masih kekal sebagai misteri sehingga kini lantaran masih tiada jasad makhluk aneh itu ditemui.

Walaupun operasi mencari selain penyelidikan besar-besaran dilakukan bagi membongkar enigma yang terselindung di sebalik rimbunan belantara berkenaan, tiada siapa yang pernah menangkap spesies hidupan itu hidup-hidup. Menyingkap fenomena ketika itu, laporan media dan akhbar secara berterusan menyebabkan kisah Bigfoot di hutan Malaysia menjadi berita sensasi selama berbulan-bulan lantaran jika benar Bigfoot wujud di negara ini, maka ia akan mencatat sejarah kepada misteri dunia.

Seterusnya laporan yang diberikan akhbar sehari ke sehari menyebabkan pemantauan di hutan Johor diperketat bagi mengesan kehadiran makhluk berkenaan. Sepasukan saintis dan pakar tempatan juga ditubuhkan Kerajaan Johor pada Januari 2006 bagi menjalankan ekspedisi mengesan makhluk itu malah sepasukan penyelidik di peringkat antarabangsa turut 'turun padang' bagi memburu Bigfoot di Malaysia.

Bagaimanapun, melewati masa sehinggalah ke saat ini, masih tiada penemuan sebenar mengenai makhluk itu menyebabkan Bigfoot kekal menjadi antara misteri dunia yang masih tersimpan rapi. Misteri kewujudan makhluk misteri setinggi antara dua meter hingga 3.6 meter itu tidak hanya wujud di sesebuah negara; membuktikan ia bukanlah legenda sesuatu kaum.

Makhluk besar berbulu itu dikatakan bersembunyi di hutan atau wilayah yang sukar dijangkau manusia, di seluruh dunia. Di Amerika Utara, ia dikenali sebagai Bigfoot atau Sasquatch. Di Asia, terutama kawasan Himalaya, ia digelar Yeti manakala di kawasan Amazon, Amerika Selatan gelarannya adalah Mapinguari. Yowie adalah nama makhluk itu di Australia. Pelbagai pendapat dikemukakan mengenai haiwan itu antaranya teori Bigfoot-Giganto yang menyatakan makhluk itu mungkin sejenis monyet gergasi prasejarah yang hidup ketika zaman Pertengahan Pleistocene.

Monyet gergasi itu dipercayai hidup di beberapa kawasan Asia termasuk China dan Asia Tenggara serta Amerika Utara sejak zaman purba. Bagaimanapun, akibat suatu faktor misteri, spesies purba itu akhirnya pupus daripada muka bumi sekitar 200,000 hingga 500,000 tahun dulu. Akan tetapi, terdapat segelintir kumpulan monyet gergasi itu yang terselamat daripada pupus dan menyembunyikan diri daripada pengetahuan dunia sehingga kini. Kumpulan monyet itulah yang didakwa sebagai kumpulan Bigfoot yang sedang dijejaki misterinya sehingga kini.

Ramai mendakwa terserempak dengan Bigfoot dan mereka menggambarkan makhluk itu bertubuh tegap dan besar; gigi besar; mata warna merah; bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman yang panjang meliputi seluruh tubuh. Bigfoot dikatakan tidak menyerang atau mengganggu manusia sebaliknya malu jika terserempak dengan manusia malah sering berpindah kawasan. Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan menggosok badannya pada pokok bagi menghilangkan kegatalan pada tubuh.

Makhluk yang dikenali sebagai 'Orang Mawas', 'Orang Utan', 'Hantu Jarang Gigi' dan 'Siamang' di kalangan masyarakat Orang Asli Johor itu juga hidup dalam kumpulan iaitu satu keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Kisah terawal mengenai Bigfoot dilaporkan pada 1811 apabila seorang juru ukur Kanada mendakwa menemui jejak kaki besar dipercayai milik makhluk itu di Jasper, Kanada.

Gelaran 'Bigfoot' (kaki besar) kemudian digunakan secara meluas oleh media selepas wujud satu lagi penemuan di Bluff Creek, California, pada 1959. Foto Bigfoot paling terkenal diambil pada 1967 di California Utara, Amerika Syarikat, bagaimanapun keasliannya masih diperdebatkan.

Dakwaan kewujudan Bigfoot hanya tersebar menerusi dakwaan sesetengah pihak yang pernah terserempak dengan spesies misteri itu selain beberapa gambar yang kononnya berjaya merakamkan kelibat makhluk itu. Selain daripada dakwaan dan gambar itu, tiada lagi dijumpai jasad sebenar Bigfoot untuk dipertontonkan kepada umum sekali gus mencetuskan misteri sama ada kewujudannya benar atau sekadar momokan.

Bagaimanapun, memikirkan sama ada Bigfoot wujud atau tidak; mungkin boleh dilihat daripada persepsi begini - masih ada banyak spesies hidupan yang tidak diketahui manusia, malah setiap tahun, ada saja spesies hidupan baru yang direkodkan dalam katalog hidupan biologi dunia. Berikutan itu, maka tidak mustahil adanya hidupan di bumi yang masih tidak diketahui manusia dan mungkin Bigfoot adalah satu daripada spesies itu.

Bagaimanapun, kajian dan pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan Bigfoot masih diteruskan. Pelbagai usaha dilakukan pengkaji fenomena paranormal ini dan manusia hanya mampu berharap untuk menemui makhluk itu suatu hari nanti atau Bigfoot akan terus kekal misteri, sama seperti kesahihan kewujudan UFO.


FAKTA: Bigfoot

* Spesies makhluk misteri yang fizikalnya menyerupai monyet atau gorila.
* Misteri makhluk aneh ini mula wujud pada 1811 apabila seorang juruukur Kanada mendakwa menemui jejak kaki besar dipercayai milik makhluk itu di Jasper, Kanada.
* Gelaran 'Bigfoot' kemudian digunakan secara meluas oleh media selepas wujud satu lagi penemuan tapak kaki besar di Bluff Creek, California, pada 1959.
* Foto Bigfoot paling terkenal diambil pada 1967 di California Utara, Amerika Syarikat, bagaimanapun keasliannya masih diperdebatkan.


Oleh Nasron Sira Rahim
Berita Minggu