BUKANNYA mudah untuk membesarkan 17 anak, apatah lagi dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan tapi bagi penerima Anugerah Ibu Mithali kesembilan, Esah Din, 70, perjuangan itu telah dilaluinya dengan penuh tabah dan kesabaran. Berkat usahanya bersama suami, 13 daripada anaknya berjaya menimba pendidikan hingga ke peringkat universiti dan kini ada yang bekerja sebagai pegawai tentera, jurutera, akauntan dan pensyarah. Walaupun tidak pandai membaca atau menulis, Esah juga seperti ibu bapa yang lain, ingin melihat anak mereka berjaya dan bukannya menjadi buta huruf seperti mereka. Berbekalkan semangat itulah maka Ibu Mithali 2007 ini dan suaminya telah bersusah payah mencari sumber rezeki dengan menoreh getah, menjual kuih, menjual jamu dan membuat kerja sulam menyulam. Walaupun dia dan suaminya tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah, mereka sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya bekalan yang paling berguna untuk menjamin kesejahteraan masa depan anak mereka. Justeru, mereka sentiasa memantau agar anak-anak tidak gagal dalam sebarang ujian atau peperiksaan. Malah, mereka juga tidak teragak-agak merotan sebagai ingatan jika ada di kalangan anak mereka yang tidak cemerlang dalam pelajaran. Kedua-dua pasangan ini juga sering mengikat perut dan rela tidak makan apabila tidak mempunyai cukup makanan. Bagi seorang ibu dan bapa, tidak ada kegembiraan selain daripada melihat anak mereka gembira dan cukup keperluan asas termasuk makanan.
Berbeza dengan anak zaman sekarang yang dilimpahi segala kemewahan, terutama bagi keluarga yang berkemampuan dan berada, tidak ramai yang menganggap penting sumbangan serta pengorbanan ibu bapa mereka. Mungkin ada yang akan melihatnya sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh ibu bapa. Anak zaman kini tidak tahu apa ertinya kesusahan kerana apa saja yang menjadi kemahuan mereka boleh diperoleh dengan mudah. Ibu bapa mereka juga bekerja, tetapi tidaklah sehingga membanting tulang di sawah ladang seperti Esah atau ibu dan datuk nenek kita dulu. Apa sekalipun caranya untuk mencari nafkah, sukar bagi kebanyakan generasi sekarang memahami keperitan hidup sebagaimana dialami Esah dan ibu bapa lain yang melalui zaman kesusahan ketika membesarkan anak.
Bagi ibu bapa, tidak ada matlamat lain selain ingin melihat anak dibesarkan dalam keadaan yang selamat dan masa depan mereka terpelihara. Mungkin tidak ramai lagi yang terpaksa mengharungi kesengsaraan seperti dialami Esah dan suaminya, namun sebagai anak, kita harus berterima kasih dan menjadikan pengorbanan mereka sebagai pengajaran apabila kita sendiri menjadi ibu bapa nanti. Anak zaman sekarang juga bertuah kerana mempunyai pelbagai kemudahan untuk belajar termasuk ke sekolah berasrama penuh, mendapat biasiswa atau pinjaman dan sebagainya sementara peluang pendidikan juga lebih banyak. Sebahagian besar mempunyai ibu bapa yang juga terpelajar dan mampu memberi kemudahan pendidikan terbaik kepada anak mereka walaupun ia memerlukan perbelanjaan banyak. Apa yang diharapkan agar anak tetap mengenang jasa serta pengorbanan ibu bapa mereka. Tidak kira di kampung mahupun bandar, semua ibu bapa mempunyai tanggungjawab membesarkan anak, memberi mereka pelajaran termasuk pendidikan agama supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna dan menjadi manusia berguna. Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada Esah kerana menjadi penerima Anugerah Ibu Mithali Kesembilan dan di atas perjuangannya membesarkan anak mengikut ‘caranya’ sendiri sehingga mereka berjaya.
Berita Harian 23 November 2007