Ahad, 11 November 2007

Fenomena aneh, seram di Winchester


Penyelidik percaya kewujudan makhluk paranormal disebabkan roh penghuni terdahulu enggan meninggalkan alam dunia untuk ke alam barzakh


BERLAKU beberapa kejadian aneh yang dilaporkan di Winchester House, sebuah rumah agam di bandar California, Amerika Syarikat (AS), sejak bangunan itu dibina pada lebih 120 tahun lalu iaitu pada 1884. Pekerja dan pelawat yang memasuki rumah besar itu tidak saja merasakan seolah-olah kehadiran mereka sedang diperhatikan sesuatu entiti yang tidak dapat dikenal pasti tetapi tatkala dalam ketakutan, mereka dihantui pelbagai fenomena aneh lagi menyeramkan.

Kedengaran bisikan suara misteri tanpa punca, bunyi tapak kaki sedang bergerak sedangkan tiada siapa yang kelihatan, pintu dan tingkap terhempas serta tombol pintu dipulas dengan sendirinya. Mereka juga terlihat kelibat aneh lembaga tertentu berlegar di dalam rumah itu selain secara tiba-tiba saja pekerja atau pelawat merasa sejuk tanpa sebab sehingga meremangkan bulu roma, tatkala berada dalam kediaman berkenaan.

Winchester House yang memiliki sejarah pelik berhubung pembinaannya adalah satu daripada ribuan kediaman berhantu yang dilaporkan wujud tidak saja di AS, malah di seluruh dunia.

Fenomena rumah atau bangunan berhantu sering kali dikaitkan dengan kewujudan makhluk halus atau entiti paranormal di dalamnya. Kebanyakan makhluk mistik itu wujud selepas berlakunya peristiwa tragik dan kejam seperti pembunuhan atau kemalangan maut terhadap bekas penghuni sesebuah kediaman.

Kewujudan makhluk halus di dalam kediaman terbabit kemudian menyebabkan berlakunya gangguan atau aktiviti paranormal yang menakutkan penghuni baru - mereka akan terlihat kelibat lembaga atau bayangan tertentu, kedengaran suara atau bunyian tanpa punca selain peralatan tertentu bergerak dengan sendirinya. Kisah momokan mengenai rumah atau kediaman berhantu melintasi sempadan benua dan negara kerana ia terdapat hampir di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Sesetengah penyelidik percaya kewujudan makhluk paranormal itu disebabkan 'roh' penghuni terdahulu enggan meninggalkan alam dunia dan kediamannya untuk menuju ke alam barzakh atas sebab-sebab tertentu.

Selain itu, dalam budaya Melayu, gangguan hantu di sesuatu bangunan turut berlaku apabila pemilik saka menemui ajal menyebabkan jin peliharaannya merewang dan mendatangkan gangguan terhadap keluarga atau manusia lain.

Dalam kes Winchester House, kalangan psikik mendakwa kediaman itu menempatkan banyak roh atau 'semangat' di dalamnya menyebabkan berlakunya pelbagai kejadian aneh angkara entiti paranormal berkenaan. Hakikat itu disokong sendiri sejarah pembinaan rumah terbabit apabila ia dikatakan dibina bagi menempatkan roh orang mati.

Pemilik pertama rumah itu, Sarah Winchester pada mulanya memiliki kehidupan yang bahagia bersama keluarganya yang hidup mewah hasil perusahaan syarikat pembuatan senjata api milik suaminya. Akan tetapi, secara tiba-tiba pelbagai musibah menimpa dirinya. Anak perempuannya, Annie meninggal dunia pada 1866 diikuti suaminya pada 1881. Daripada seorang psikik, dia diberitahu yang keluarganya sudah disumpah untuk bernasib malang oleh roh orang mati yang menjadi mangsa senjata api keluaran syarikat suaminya itu.

Psikik itu memberitahu bahawa 'ribuan manusia sudah mati akibat ditembak senjata api keluaran syarikatnya dan sekarang roh mereka sedang berusaha untuk membalas dendam'. Bagi menghentikan sumpahan itu, Sarah diberitahu yang dia perlu berpindah ke barat serta membina kediaman untuk dirinya dan untuk roh mangsa pembunuhan terbabit. Dia tidak boleh berhenti membina rumah berkenaan atau sumpahan itu akan kembali mengejarnya dan Sarah akan mati.

Sejak itu, Sarah berpindah ke California dan mula membina Winchester House tanpa henti, kerja pertukangan dan pembinaan memakan masa 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu selama 38 tahun sebelum wanita itu meninggal dunia. Daripada sebuah rumah yang kecil, Winchester House akhirnya menjadi sebuah istana atau kota kecil disebabkan proses pembinaannya yang tidak pernah berhenti. Selepas kematiannya, rumah itu kini menjadi antara tapak bersejarah bagi California selain lokasi tumpuan pelancong.

Selain fenomena paranormal, jumlah bilik di dalam kediaman berkenaan turut menjadi misteri kerana jumlahnya berbeza setiap kali ia dikira. Pada suatu ketika, didapati jumlah biliknya adalah 148 tetapi apabila dikira pada waktu lain, jumlah itu menjadi 160 pula. Selain Winchester House, rumah berhantu turut terdapat di negara kita antaranya Kellie's Castle di Perak selain puluhan rumah usang yang ditinggalkan di seluruh negara.

Membincangkan persoalan rumah hantu, sesetengah penyelidik menyatakan bahawa pihak yang mendakwa mengalami gangguan mistik mungkin mengalami keracunan gas karbon monoksida sehingga menyebabkan mereka mengalami gangguan emosi, keletihan dan berhalusinasi. Dalam satu kes, pakar mata, Dr William Wilmer, menceritakan pengalaman pesakitnya pada 1921 dalam Jurnal Ophthalmology: "Encik dan Puan H berpindah ke rumah baru apabila mereka mengadu sakit kepala dan keletihan. Di rumah itu, mereka mula mendengar bunyi loceng dan tapak kaki bergerak pada waktu malam. Seterusnya mereka mula merasakan kewujudan kelibat misteri.

"Siasatan kemudian mendapati pemilik rumah sebelum mereka turut mengalami pengalaman sama. Akhirnya, didapati simpton itu berpunca daripada kebocoran gas karbon monoksida daripada relau di dalam rumah berkenaan. Selepas relau itu dibaiki, pasangan berkenaan tidak lagi mengalami 'gangguan' berkenaan," jelas laporan itu.


INFO: Rumah berhantu

* wujud kehadiran makhluk halus di dalamnya.

* penghuni mendakwa terlihat kelibat tertentu, mendengar bunyi aneh atau peralatan bergerak dengan sendirinya.

* kajian sains mendapati penghuni mungkin mengalami keracunan gas karbon monoksida.


Oleh Nasron Sira Rahim
Berita Minggu