Ahad, 25 November 2007

Lapohan, Warisan Yang Masih Kekal Di Pulau Salakan


Kehidupan mereka memang tenang. Tidak perlu terkejar-kejar dan berebut-rebut menaiki kenderaan awam ke tempat kerja.Tidak perlu kad perakam menentukan waktu untuk mereka mula bekerja.Apa yang penting adalah disiplin diri dan kerajinan mencari rezeki buat seisi keluarga.

Keselamatan anak-anak kecilnya juga terpelihara lantaran kedudukan kampung yang jauh dari bandar dan penempatan lain.Malah, jika ada pengunjung luar, sudah pasti akan disedari lantaran jalan masuk ke kampung hanyalah menerusi satu-satu jeti di pulau itu.

Pulau Salakan, letaknya kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot daripada Jeti SeaFest di Pekan Semporna, Sabah.Walaupun jauh dari hiruk-pikuk kota, pulau yang nyaman ini punya seribu cerita menarik untuk dikongsi bersama mereka yang belum pernah berkunjung ke sini.


KAMPUNG AIR

Kawasan perkampungan air ini mempunyai 33 rumah yang didiami 331 orang. Kesemua mereka adalah nelayan yang menghabiskan separuh daripada hari mereka di tengah-tengah laut.Menurut ketua kampung, Kapital Panta, 47, penduduk pulau ini mempunyai hubungan yang erat kerana mereka mempunyai pertalian darah.Setiap penghuni adalah saudara-mara dan mereka saling mengambil-berat di antara satu sama lain.

Berbekalkan tenaga elektrik daripada generator, mereka tetap menjalani kehidupan seperti orang lain. Terdapat sebuah sekolah rendah dengan empat orang guru yang turut menetap di kampung tersebut.Anak di peringkat sekolah menengah pula akan dihantar ke pekan Semporna dan tinggal di asrama.Sumber air adalah dari hujan yang ditadah dan ditapis terlebih dahulu sebelum disalurkan ke dalam tangki. Setiap buah rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah tangki air yang besar untuk kegunaan harian.

Keadaan agak sukar apabila tiba musim kemarau, di mana penduduk terpaksa mengangkut air dari pekan Semporna. Namun, bagi mereka semuanya alah bisa tegal biasa.Segala kesukaran tersebut adalah lumrah yang telah dilalui sejak bertahun-tahun dahulu lagi. Bukan hanya di pulau tersebut, tetapi juga pulau-pulau lain yang berhampiran seperti Pulau Bum Bum dan Pulau Mabul.


KRAFTANGAN AKTIVITI SAMPINGAN

Jika kaum lelaki ke laut mencari rezeki, kaum wanita pula menjalankan aktiviti men`ganyam tikar mengkuang, menternak dan mengeringkan rumpai laut serta membuat ikan kering.Namun, satu-satunya tradisi turun-temurun di kampung ini yang tidak terdapat di tempat lain ialah pembuatan dapur daripada tanah liat yang dijalankan secara tradisional.Siapa sangka, nun jauh di pedalaman masih ada tradisi lama yang perlu dihargai dan dipelihara.

Kerana sayangkan tradisi masyarakat yang sedia ada, Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan melalui Kraftangan Sabah menjejak kembali tradisi membuat dapur daripada tanah liat yang popular terutamanya di kalangan masyarakat Bajau dan Pala'u, iaitu (mereka yang tinggal di dalam bot.Nahima Taalil, 67, adalah satu-satunya pembuat dapur tanah liat atau 'lapohan' yang diwarisi daripada ibunya.

Sungguhpun kerja-kerja menyiapkan sebuah dapur mengambil masa dan juga memerlukan tenaga terutamanya untuk menumbuk tanah liat, tenaga tuanya masih lagi berkemampuan.Walaupun penggunaan dapur tanah liat tersebut tidak menyeluruh, setiap buah rumah di pulau ini memiliki dapur tersebut.

"Sekarang, dapur gas telah mengambil alih penggunaan lapohan, namun, ada ketikanya mereka masih menggunakan dapur ini.

"Misalnya untuk membakar atau memanggang, menanak nasi dan membuat gulai. Rasanya juga lebih enak berbanding hidangan yang dimasak menggunakan dapur gas," jelas ibu kepada lima anak ini.

Selain itu, lapohan yang dijual pada harga RM10-RM40 (bergantung kepada saiz) menjadi satu keperluan asas yang wajib dimiliki oleh kaum Pala'u memandangkan ruang dalam bot yang sempit dan terhad.


TINGGALKAN PEWARIS

Usaha Nahima mempertahankan hasil kraf tradisi itu mendapat perhatian apabila pihak kraftangan Malaysia meletakkannya di bawah projek kraf warisan.Beberapa orang muda-mudi kampung telah menawarkan diri sebagai pelapis. Selain mereka, cucu Nahima, Mansor Mandung, 44, turut mewarisi kemahiran neneknya itu.

"Dari kecil lagi saya lihat nenek tekun membuat lapohan. Kadang-kadang saya bantu mencari tanah liat," jelasnya.

Kaedah pembuatan lapohan hampir menyamai pembuatan labu sayong dan pasu seramik. Tanah liat yang telah dicampur dengan pasir halus dan air masin itu ditumbuk sehingga halus dan sebati sebelum diuli sehingga dapat dibentuk.Menurut Nahima, penggunaan air masin adalah bagi menghalang dapur tersebut daripada mudah pecah.

Setelah dikeringkan di dalam bilik selama dua atau tiga hari, dapur lapohan dibakar untuk tempoh 10 jam. Ini bertujuan untuk mengekalkan warnanya.Tidak semua orang memiliki kecekalan dan kesabaran membuat dapur lapohan secara tradisional. Apatah lagi menjaga unggun api yang hanya menggunakan bahan bakar yang diperoleh di sekitar kampung tersebut.


TOKOH KRAF WARISAN

Beliau kini boleh menarik nafas lega kerana kemahirannya bakal diperturunkan. Bahkan pihak Kraftangan Sabah turut melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Warisan.Nahima juga pernah mengikuti lawatan pihak Kraftangan ke Kuala Kangsar, Perak melihat sendiri bagaimana labu sayong dihasilkan secara komersil.

Sungguhpun lapohan jarang-jarang digunakan penduduk di sini, namun Nahima tetap meneruskan usahanya itu kerana permintaan tetap ada daripada masyarakat Pala'u.

Dengan bantuan serta nasihat yang diterima daripada Kraftangan Malaysia seperti mendirikan sebuah bengkel untuk beliau menurunkan ilmunya kepada golongan muda, Nahima sangat berharap agar warisan yang diwarisi turun-temurun itu tidak akan hapus ditelan zaman."Jika pun tidak digunakan, ada juga cadangan menjadikannya sebagai produk cenderamata. Malah saya berharap ia akan terus kekal dihasilkan di Pulau Salakan ini," kata beliau.


Oleh Nurul Halawati Azhari
Bernama