Ahad, 27 Januari 2008

Marak semula - Kes mangsa api misteri timbul kembali


PENGHULU mukim Air Canal, Wan Zain Wan Deraman menunjukkan dinding yang disambar api misteri.


TANAH MERAH – Jika dahulu di Pasir Mas, kali ini satu keluarga di Kampung Air Canal di sini pula diserang api misteri dan kejadian itu sudah berlaku tujuh kali sejak minggu lalu.
Mangsa, Mek Kalsom Namat, 48, memberitahu, serangan terbaru berlaku kira-kira 8 pagi semalam apabila kertas di atas meja di rumahnya terbakar secara tiba-tiba.
Sebelum itu, kejadian yang sama bermula Sabtu lalu dan kemudiannya diserang bertalu-talu melibatkan kebakaran tilam, kain, kerusi dan dinding rumahnya.
“Kami dah buntu. Serangan tanpa henti api ini menyebabkan kami sekeluarga hampir seminggu tidak tidur, cukup takut kalau tidak sempat selamatkan barang dan akhirnya rumah terbakar,’’ ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mek Kalsom, kejadian pelik itu mendorong penduduk Kampung Air Canal mengadakan solat hajat baru-baru ini.
Menceritakan semula kejadian, Mek Kalsom memberitahu, serangan api misteri yang pertama berlaku Sabtu minggu lalu bila tilam di bilik anaknya tiba-tiba terbakar.
“Semasa itu saya pergi ke rumah saudara di Ayer Lanas dan terkejut menerima panggilan dari anak mengenai api menyambar tapi sempat dipadamkan,’’ ujarnya.
Kejadian kedua, selang sehari selepas itu, katanya, api yang sama membakar kain yang dilipat dan disedari oleh anaknya sebelum memadamkannya.
“Pada hari yang sama juga, kerusi kayu di rumah saya terbakar dan diikuti dinding dekat jendela,’’ jelasnya.
Menurutnya, sebelum serangan api misteri, ada kejadian pelik berlaku apabila ramai penduduk mendakwa kehilangan wang di rumah masing-masing termasuk dirinya.
“Saya pelik dengan apa yang berlaku kerana ia tidak pernah terjadi di kampung ini sebelum ini,’’ jelasnya sambil merayu kepada sesiapa yang dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Sementara itu, menantu Mek Kalsom, Samsilawati Salahuddin, 26, pula berkata, ketika kejadian pertama beliau sedang duduk di ruang tamu sambil mendukung anaknya.
Tiba-tiba beliau ternampak asap hitam keluar dari dalam bilik tidur sebelum memanggil adiknya yang berada di luar rumah dan mendapati tilam terbakar di dalam bilik.
Api itu kemudiannya dipadamkan dengan bantuan adik serta datuknya yang ketika itu baru mahu mendirikan solat Maghrib.
Kejadian api misteri kali ini merupakan kali kelapan berlaku yang dilaporkan KOSMO! sejak dua tahun lalu melibatkan Johor, Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan.


Info api misteri

Mac 2006 di Felda Tenggaroh Timur 1, Mersing, Johor, apabila Jamilah Abu Ubaidah mengalami kejadian aneh seperti dirasuk manakala makanan yang dimasak berisi pasir.

Mei 2006: Kejadian ini mula merebak ke Kuala Lumpur dan Yahaya Mohd. Ning dari Kampung Pandan, turut mengalami insiden serupa.

Mei 2006: Norhayati Rasah dari Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor menjadi mangsa hingga meracau dan ia berlarutan sehingga beberapa minggu. Pakaian dan langsir rumahnya turut terbakar.

19 April 2007: Saerah Bakri dari Parit Sulong, Batu Pahat, Johor apabila api misteri memusnahkan peralatan rumah serta mengalami lemah badan, melecur ketika cuba memadamkan api.

23 April: Belum pun sempat misteri api ini dirungkai, Shamsuddin Abu Hassan dari Felda Bukit Waha, Kota Tinggi, Johor menjadi mangsa malah lebih pelik apabila kipas syiling di rumahnya tiba-tiba bengkok.

26 Julai: Keluarga Din Hassan, 53 dari Kampung Perol, Tok Uban, Pasir Mas menjadi mangsa api misteri yang membakar rak pakaian dan sofa di rumahnya.

November 2007: Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Kemaman, Terengganu, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berbelas kali diserang api misteri sehingga menyebabkan dapur dan bilik tidur rumahnya mengalami kebakaran kecil.

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
Kosmo!