Khamis, 28 Februari 2008

Kereta teknologi jet catat rekod 544km/j


LONDON - Seorang jurutera Jerman berjaya mencipta sebuah kereta jalanan terpantas di dunia dengan kemampuan mencapai kelajuan 480 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 30 saat, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta yang dinamakan Acabion GTBO direka oleh bekas jurutera Porsche, Peter Maskus dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum 544 km/j.

Kenderaan yang mempunyai dua tempat duduk itu menggunakan teknologi pesawat pejuang dan kereta Formula Satu serta menggunakan enjin turbo 1,300 cc yang mampu mengeluarkan sejumlah 800 kuasa kuda.

Maskus berkata, GTBO yang dimajukan di Britain dan Switzerland itu menggabungkan pelbagai teknologi automotif paling moden.

Menurutnya, dia mensasarkan menjual kenderaan itu di Britain dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh tiga tahun lagi dengan harga £1.5 juta (RM9.53 juta) seunit.

Kereta jalanan paling laju ketika ini ialah SSC Ultimate Aero TT dari AS yang boleh mencapai 411 km/j.

- Agensi