Jumaat, 24 Ogos 2007

Ganjaran bukan cara serlah patriotisme warga Malaysia

BOLEH dikatakan setiap tahun menjelang tarikh kemerdekaan, kerajaan terpaksa merayu kepada orang ramai, khasnya golongan muda, supaya menzahirkan patriotisme dengan mengibarkan bendera kebangsaan.

Sedih sekali, rayuan kerajaan ini sering kali tidak dihiraukan dan setiap tahun menjelang 31 Ogos tidak ramai yang menunjukkan rasa sayang mereka kepada negara. Rayuan untuk mengibarkan Jalur Gemilang, di premis pejabat dan kediaman, jelas menunjukkan sikap ‘tidak apa’ masyarakat.

Adakah mengibarkan Jalur Gemilang sesuatu yang begitu membebankan rakyat Malaysia? Mengapa pula perlu mengeluarkan rayuan demi rayuan kepada rakyat negara ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang untuk meraikan hari kebangsaan negara?

Tahun ini Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-50. Seperti tahun sebelumnya, sikap orang ramai nampaknya tidak banyak berbeza.

Bagi ahli sejarah Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim, generasi muda hari ini tidak menghargai nilai bendera negara.

“Kita mempunyai satu generasi yang tidak menghargai kedaulatan negara. Saya rasa nilai bendera itu tidak membawa makna kepada generasi muda. Pada 1940-an dan 50-an, sekolah menekankan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Sekolah akan mengajar sejarah Amerika atau Britain untuk menunjukkan sejarah yang tersirat pada bendera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malah katanya, banyak daripada filem yang ditayangkan sebelum ini menunjukkan betapa pentingnya bendera kebangsaan, tetapi dengan peralihan masa nilai bendera itu tidak lagi penting kepada kita.

Khoo berkata, sekolah juga perlu dipersalahkan kerana rakyat hari ini tidak menunjukkan patriotisme kerana mereka gagal menjelaskan betapa pentingnya bendera negara.

“Pendidikan hari ini adalah sangat akademik dengan penekanan menyeluruh untuk mencapai keputusan A dalam semua mata pelajaran. Pelajar pula tidak digalakkan bertanya, sebenarnya pelajar jarang bertanya,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda hari ini mementingkan diri dan tidak banyak berminat dalam hal yang tidak menawarkan ganjaran.

“Golongan muda begitu taksub mengejar kekayaan kebendaan dan melupakan nilai hidup murni. Ini satu ironi kerana sikap ini sebahagian besar berpunca kerana kemakmuran Malaysia. Kemajuan negara, daripada segi infrastruktur khasnya menyebabkan masyarakat semakin melupakan nilai murni.

“Mereka menilai antara satu sama lain daripada jumlah wang yang mereka mampu peroleh dan nilai murni ini tidak penting bagi mereka,” katanya.

Dalam keadaan terdesak untuk melihat rakyat menunjukkan patriotisme mereka menerusi Jalur Gemilang, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim memberi amaran kepada premis perniagaan supaya “kibarkan Jalur Gemilang atau hadapi risiko digambarkan oleh media sebagai tidak patriotik”.

Untuk menggalakkan orang ramai mengibarkan bendera negara, kerajaan bercadang menawarkan rebat cukai bagi syarikat atau individu yang menyumbangkan lebih daripada RM5,000 untuk membeli bendera kebangsaan bersempena dengan ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM1.7 juta bagi 219 kawasan Parlimen di seluruh negara meraikan hari istimewa itu dengan meriah.

Bagaimana pula dengan tahun-tahun akan datang? Langkah ini tidak membantu kerana usaha kerajaan hanya menumpukan pada kejayaan sambutan ulang tahun ke-50 dan bukan untuk memastikan rakyat menunjukkan patriotisme mereka kepada negara sepanjang masa.

Sambutan merdeka tidak boleh dikomersialkan. Begitu juga Jalur Gemilang sepatutnya mudah didapati. Jalur Gemilang harus disediakan kepada rakyat secara percuma. Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mesti mengambil usaha memastikan yang setiap tahun bendera negara diagihkan kepada rakyat.

Adakah ini satu permintaan keterlaluan?

Aktivis sosial Zaitun Kasim percaya langkah memaksa warga Malaysia mengibar Jalur Gemilang menjadikan rakyat Malaysia hipokrit.

Zaitun berkata, ada banyak alasan mengapa orang ramai tidak mahu mengibarkan bendera negara.

“Ada yang mungkin tidak berbangga mengibarkan bendera negara ataupun berasa ia tidak perlu. Saya sendiri ada kalanya hairan apa yang mereka lihat dan rasa akan bendera negara,” katanya.

Zaitun berkata, adalah sukar untuk memahami apa makna kemerdekaan bagi golongan muda hari ini.

Beliau menjelaskan: “Selagi mereka tidak banyak membaca dan diberi ruang mencari sendiri makna kemerdekaan, ia sukar untuk menghargai di mana kita berada hari ini berbanding sebelum ini atau berbanding negara lain di dunia.

“Di sinilah saya dapati kebebasan maklumat sangat penting. Orang ramai mesti tahu maklumat sebenar akan masa lampau mereka untuk menghargai sepenuhnya masa depan mereka,” katanya.

Berita Harian
24 Ogos 2007