SEJAK zaman berzaman, masyarakat Melayu mempercayai khasiat tumbuhan herba dan akar kayu yang berfungsi sebagai makanan kesihatan serta ubat-ubatan mengubati pelbagai jenis penyakit.
Sehingga kini, ia kekal menjadi rawatan alternatif yang popular di kalangan masyarakat pelbagai kaum seiring dunia perubatan moden yang berkembang pesat hari ini.
Namun, bagi mereka yang bukan tergolong dalam dunia perubatan tradisional, mereka mungkin hanya mengenali dan mendengar beberapa jenis akar kayu seperti tongkat ali dan kacip fatimah saja, yang sekarang dikomersialkan dengan meluas terutama dalam bentuk minuman tiga dalam satu atau empat dalam satu.
Bagi mengembalikan semula tradisi nenek moyang terdahulu dalam mementingkan penjagaan dalaman dan luaran tubuh badan, sebuah syarikat industri herba, Araz Success mengorak langkah proaktif dengan memperkenalkan produk berasaskan akar kayu yang dapat mengembalikan kesihatan semula jadi.
Pengarah Urusannya, Norazman Parmin, 39, berkata keyakinan yang tinggi terhadap herba kayu yang dipercayai mempunyai ‘kuasa ajaib’ dalam menyembuhkan pelbagai penyakit mendorong beliau menceburi dunia perniagaan ini.
Di samping itu, kerjaya beliau sebagai penceramah Islam Hadhari di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri Perak, membuka ruang lebih luas kerana memerlukannya bergaul dengan masyarakat Orang Asli yang sememangnya mahir dalam perubatan berasaskan sumber hutan itu.
Pengalaman melihat kehidupan penduduk di 189 perkampungan masyarakat Orang Asli di daerah Batang Padang, Perak, yang mengamalkan corak kehidupan berteraskan tumbuhan dan akar kayu dianggap sebagai bonus kepada beliau, selain diberi tunjuk ajar oleh Tok Batin di perkampungan itu, lantas memberi idea untuk dirinya menghasilkan produk berkenaan.
“Saya percaya kepada konsep kesihatan yang baik bermula daripada keadaan dalaman tubuh badan yang sihat. Dengan itu, syarikat kami menghasilkan Pati Jus Akar Kayu yang diproses daripada campuran 47 jenis ramuan akar kayu serta daun kayu diadun secara tradisi tanpa mengandungi bahan pengawet serta pewarna untuk semua lapisan usia.
“Pati Jus Akar Kayu ini dihasilkan berikutan minuman tradisi ini mula dilupakan sedikit demi sedikit berikutan kurangnya kesedaran masyarakat mengenai khasiatnya.
“Minuman ini bukan saja bertindak sebagai minuman kesihatan, bahkan boleh mengubati penyakit seperti angin ahmar, barah payu dara, darah tinggi, kencing manis, senggugut, resdung, sakit urat saraf, sakit sendi, sakit buah pinggang, lumpuh, migrain, buasir dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, Araz Success di Merlimau, Jasin, Melaka.
Menceritakan mengenai detik awal pembabitannya, Norazman berkata, pada 2004 beliau dan isterinya, Rosnah Mohd Arshad, 29, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan berbekalkan modal kurang RM100 dengan hanya memproses produk minuman akar kayu di rumah mereka.
Selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, terutama ahli keluarga, rakan dan masyarakat setempat, beliau melalui syarikatnya memutuskan memperbesarkan pasaran produk melalui jalinan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri Melaka.
Berkonsep ‘Mengembalikan Kesihatan Semulajadi’, produk lain yang dikeluarkan oleh Araz Success ialah Shahirah Herbal Block, Krim Akasila, Aura Resdung, Mandian Sauna Najiha, Bedak Air Akasila dan Masker yang dijual pada harga berpatutan.
Sejak mengkomersialkan produk berasaskan akar kayu itu lebih setahun lalu, produk keluaran Araz Success mendapat sambutan dan hingga kini mengeluarkan antara 3,000 hingga 5,000 unit produk sebulan.
Di Melaka, produk mereka boleh didapati di Bazaar 24 Jam, Melaka Sentral, selain pengedar syarikat berkenaan di seluruh negara. Malah, syarikat itu juga sudah berjaya menembusi pasaran di negara luar seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan turut menarik perhatian beberapa negara Eropah.
“Masyarakat luar negara hakikatnya menyedari kehebatan herba dan akar kayu yang mempunyai nilai kesembuhan yang tinggi berbanding ubat-ubatan sintetik sedia ada. Ia cara alternatif untuk mengembalikan kesihatan tanpa mengamalkan ubat mengandungi bahan kimia,” katanya.
Berita Harian
24 Ogos 2007