Jumaat, 24 Ogos 2007

Usaha kolektif perangi penjajahan baru - Generasi muda tidak boleh dibiarkan terus leka dengan nikmat kemerdekaan

SELEPAS hampir 50 tahun kemerdekaan, tema perpaduan sudah menjadi agenda utama di dalam masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia. Malah, kemerdekaan yang kita peroleh ini membuktikan bahawa perpaduan antara kaum bukanlah suatu perkara mustahil.

Justeru, ia disambut baik oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai suatu cabaran dan harapan untuk mendokong perpaduan ini dalam pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang saling hormat-menghormati dan bersikap harmonis dalam merealisasikan sebuah bangsa merdeka.

Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan melihat perpaduan ini sebagai batu asas dan tunggak kemerdekaan Malaysia dengan menjadikan perbezaan budaya, warna kulit, agama dan adat resam sebagai keunikan bangsa Malaysia yang boleh kita banggakan hingga hari ini.

Perpaduan kaum yang berterusan hingga hari ini menjelaskan hubungan baik yang terbina antara pelbagai bangsa di Malaysia sejak sekian lama. Bagaimanapun, tidak dinafikan ada segelintir yang masih sangsi akan keunikan ini, dan ada juga yang berusaha untuk membuktikan bahawa prinsip serta formula perpaduan diamalkan di Malaysia tidak akan kekal lama.

Namun, dengan semangat akomodatif dan perasaan saling hormat menghormati diwarisi setiap budaya dan agama menjadi asas serta kekuatan kepada perpaduan ini.

Seperti ditegaskan Perdana Menteri bahawa perpaduan mesti terus menjadi matlamat pembangunan negara supaya Malaysia dapat mengekalkan keamanan serta mempunyai bangsa yang maju dan berjaya.

Ini dapat direalisasikan melalui definisi Perpaduan Negara itu sendiri yang ditakrifkan sebagai ‘satu keadaan di mana rakyat pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup aman damai sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen penuh kepada identiti kebangsaan berlandas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Kemerdekaan ini haruslah dihayati dengan penuh kesyukuran kerana masih ramai lagi insan yang dahagakan erti sebuah kemerdekaan. Dunia hari ini memperlihatkan bagaimana sebuah bangsa atau negara yang tandus perpaduan dijajah serta diperlakukan dengan kejamnya oleh bangsa asing, malah hidup melarat dan merempat di tempat sendiri.

Kita juga melihat daripada peristiwa ini, anak yang masih kecil mendambakan sebuah kemerdekaan dengan mengusung senjata ke mana saja dan bergadai nyawa untuk sebuah kemerdekaan.

Seharusnya kita menjadikan fenomena ini sebagai suatu tarbiyah hasanah yang mampu mempertahankan semangat perpaduan dan nilai murni tinggi dalam kehidupan masyarakat yang tidak memandang rupa, warna kulit atau perbezaan budaya.

Ini sangat bertepatan dengan apa dijelaskan Prof Dr Yusuf al-Qardawi (2000) bahawa kemerdekaan umat daripada belenggu penjajah pada abad ke-20 adalah suatu kejayaan yang amat besar bagi umat Islam. Bangsa yang lemah dari sudut fizikal, intelektual dan spiritual menjadi mangsa politik kepada sebuah bangsa dan negara yang lebih kuat.

Malah, cabaran besar bagi masyarakat hari ini adalah untuk mengekang sebarang unsur penjajahan moden bersifat ‘halus’ yang banyak memberi kesan kepada gaya pemikiran serta tatacara kehidupan masyarakat kita hari ini.

Jika dulu, perang menentang penjajah asing digambarkan menerusi titisan air mata, darah dan keringat yang digemblengkan pejuang kemerdekaan, tetapi usaha untuk memerangi penjajahan bersifat ideologi dan spiritual ini lebih memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak terutama golongan pendidik, ulama, pemimpin dan ibu bapa.

Budaya liar semakin berleluasa (seperti seks bebas, buang anak, dadah, berpeleseran, hidup untuk bersuka-suka, keganasan, pembunuhan dan lain-lain) yang banyak mempengaruhi minda terutama remaja kita pada hari ini, perlulah dibendung dengan sebaik mungkin atau kita merelakan ia mencemari budaya serta nilai agama yang kita dokong sehingga hari ini.

Anak yang bakal mewarisi generasi hari ini tidak boleh dibiarkan leka di dalam dunia mereka sendiri kerana kehidupan seumpama ini boleh membinasakan agama, bangsa dan negara. Seharusnya semangat perpaduan ini dipupuk sejak kecil lagi supaya mereka lebih memahami dan menghargai makna sebuah kasih sayang dan kehidupan aman-damai.

“Di atas robohan kota Melaka, kita bina jiwa merdeka” adalah kata-kata perangsang yang besar maknanya kepada kita semua kerana di dalam mengecapi kemanisan kemerdekaan bukan hanya nyawa yang terpaksa dikorbankan, malah ada nilai dan hakikat yang perlu kita pertaruhkan untuk membentuk sebuah masyarakat dan generasi baru yang berjiwa merdeka.

Oleh Marina Munira Abdul Mutalib

Penulis adalah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Berita Harian
24 Ogos 2007