Khamis, 23 Ogos 2007

Ibu kendong anak laung merdeka

Oleh Azrul Affandi Sobry

Rakyat serbu Padang Kelab Selangor sejak jam 4 petang untuk detik bersejarah

SAMBUTAN kemerdekaan yang diraikan pada masa kini jauh berbeza berbanding ketika kali pertama laungan keramat ‘Merdeka’ bergema pada 31 Ogos 1957 dari mulut Bapa Kemerdekaan sendiri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Malah, pada ketika itu, seluruh penduduk Tanah Melayu begitu ghairah ingin mengetahui kebenaran di sebalik kejayaan memperoleh kemerdekaan serta melihat sendiri sejauh mana meriahnya sambutan kemerdekaan.

“Justeru, seluruh rakyat dari segenap peloskk negara berpusu-pusu memenuhi setiap ruang di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) pada malam 30 Ogos 1957 dan Stadium Merdeka pada keesokan harinya semata-mata untuk merasai detik bersejarah itu.

“Keadaan itulah yang menjadikan segenap pelosok ibu negara sesak tambahan pula suasana itu bukan sekadar dirasai rakyat tempatan tetapi turut dikongsi oleh kebanyakan warga Eropah yang bekerja di negara ini,” kata Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.

Beliau yang pada ketika itu ditugaskan sebagai pegawai protokol bagi delegasi 12 pegawai dari Jepun, berkata sukar digambarkan bagaimana perasaan mereka dan suasana ketika itu kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku di negara ini sebelumnya.

Malah, katanya, walaupun polis sudah menyediakan laluan khas untuk tetamu kehormat, ia tetap menyebabkan kenderaan yang membawa orang kenamaan gagal tiba tepat pada masanya lantaran ramai hadir terutama golongan ibu yang menggendong anak berpusu-pusu di laluan itu.

“Sekarang, kita sudah boleh jangka apa yang bakal berlaku dalam sambutan kemerdekaan. Berbeza pada ketika itu (31 Ogos 1957) kerana semua yang hadir teruja ingin mengetahui apa yang akan terjadi. Keadaan itulah yang menyebabkan suasana lebih menggetarkan.

“Semua yang hadir di Padang Kelab Selangor tenang dalam gelisah. Suasana itu sudah mula dirasai seawal jam 4 petang kerana padang itu sudah mula dipenuhi orang ramai. Suasana menjadi lebih gelisah apabila lampu limpah mula dipasang pada jam 10 malam dan bendera ‘Union Jack’ dinaikkan,” katanya.

Menceritakan detik ketika malam 30 Ogos, Dr Yahaya, berkata semua yang hadir semakin merasakan debaran apabila kereta yang membawa Tunku diiringi 30 motosikal tiba di padang itu pada jam 11.58 malam.

“Tiada siapa yang mampu menghuraikan bagaimana bangga dan terharunya perasaan kami apabila melihat sendiri bendera ‘Union Jack’ diturunkan tepat jam 12 malam dan bendera persekutuan dinaikkan sejurus selepas itu diiringi lagu Negaraku.

“Tunku pula tidak putus-putus menerima laungan ‘Bapa Kemerdekaan Tanah Air’, malah delegasi Jepun yang saya iringi juga melaungkan ungkapan yang sama. Laungan menjadi lebih gemuruh apabila Tunku dengan perlahan mengelilingi padang bertemu dengan seberapa ramai rakyat yang hadir,” katanya.

Beliau berkata, Tunku meninggalkan padang tepat jam 1.30 pagi, namun laungan ‘Bapa Kemerdekaan’ masih kedengaran di sana sini malah berterusan sehingga padang itu lengang apabila hadirin perlahan-lahan meninggalkan kawasan sambutan.

Suasana pada sebelah pagi 31 Ogos pastinya lebih sesak tambahan hujan yang turun dengan lebat pada awal pagi, namun ia tidak menghalang rakyat berpusu-pusu ke Stadium Merdeka untuk meraikan kebebasan negara. Malah, hujan dan suasana yang sejuk itu menambahkan keghairahan mereka untuk menyambut kemerdekaan.

Dr Yahaya yang pernah bersekolah sekelas dengan Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berkata detik itu amat bermakna dan tidak akan berulang lagi tambahan melihat sendiri Tunku melaungkan ‘Merdeka’ dengan menjunjung tangannya.

“Cuba perhatikan tangan Tunku ketika itu. Unik dan berseni. Cukup bermakna dan menyentuh perasaan. Apa lagi kami menyaksikannya secara langsung ketika itu. Cukup mengharukan dan menyentuh perasaan. Malah wakil British yang hadir juga kelihatan sebak dengan suasana itu,” katanya.

Menceritakan serba sedikit berkenaan peribadi Tunku, Dr Yahaya berkata, semangat dan keazaman Tunku untuk memperjuangkan kemerdekaan amat besar maknanya, malah Tunku adalah individu yang amat diharapkan bagi menjayakan sambutan kemerdekaan.

“Boleh dikatakan apa saja yang hendak dilaksanakan pada ketika itu akan digerakkan oleh Tunku. Malah urusan menyediakan persalinan untuk Yang di-Pertuan Agong juga diuruskan oleh Tunku sendiri. Mujurlah Tunku juga berasal dari Istana yang sudah mahir dengan adat istiadat diraja. Perancangan untuk sambutan itu amat teliti dan semuanya diputuskan oleh Tunku. Maklumlah, ketika itu hanya ada sembilan menteri di bawahnya.

“Kami yang ditugaskan menguruskan protokol dan mengiringi delegasi juga diberi kursus selama dua minggu semata-mata untuk melancarkan program berkenaan. Tunku memang cukup teliti,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perkenalannya dengan Tunku, beliau mendapati Tunku adalah seorang yang amat menitikberatkan pendidikan malah setiap kali berbual dengannya, Tunku akan bercerita panjang mengenai pendidikan negara dan sentiasa mempunyai pandangan membina ke arah perkembangan bidang berkenaan.

Malah, apabila Tunku sudah bersara daripada sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau masih tidak jemu berbincang dan meminta perkembangan mengenai pendidikan negara setiap kali bertemu dengan pegawai Kementerian Pendidikan (kini Pelajaran).

“Saya kerap bertemu Tunku setiap kali solat Jumaat di Masjid Dhoby Ghaut Pulau Pinang. Kebanyakan orang segan untuk duduk di sebelah Tunku tetapi saya tidak kerana setiap kali berbual dengannya, topik mengenai pendidikan adalah satu keutamaan. Justeru, memang amat bersesuaian dengan bidang saya,” katanya.

PROFIL: Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim

> Umur: 78 tahun
> Tarikh lahir: 18 Februari 1929
> Tempat lahir: Bayan Lepas, Pulau Pinang
> Jawatan kini: Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
> Kejayaan: Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 1998.

Pendidikan

> 1952 – 1954: Sijil Perguruan dari Kolej Kirkby, Universiti Liverpool, United Kingdom.
> 1962 – 1963: Diploma Sains Pendidikan di Universiti Reading.
> 1974 – 1975: Sarjana Pendidikan di Universiti Southern Illinois, Amerika Syarikat.
> 1976 – 1979: Ijazah kedoktoran dari Universiti Southern Illinois, Amerika Syarikat.

Kerjaya

> 1954 – Guru di Melaka.
> 1968 – Jemaah Nazir, Kementerian Pendidikan.
> 1984 – Menubuhkan Yahaya Educational Services Sdn Bhd.

INFO: Kronologi malam 30 Ogos 1957 seperti dicatat Dr Yahaya

9 malam

> Hadirin mula memenuhi padang dengan kebanyakan wanita yang menggendong bayi mengisi barisan paling hadapan.

> Perwakilan Umno, MCA dan MIC dari seluruh negara mula mengambil tempat.

> Suasana diserikan dengan kebanyakan lelaki berbaju Melayu pelbagai warna, manakala wanita pula berbaju putih dan berkain batik dengan selendang di bahu.

> Hampir 2,000 pengawal berpakaian seragam mengawal di setiap penjuru padang walaupun keadaan ketika itu amat tenang dan terkawal.

> Bendera ‘Union Jack’ dinaikkan bersebelahan bendera Perikatan.

10 malam

> Lampu limpah mula dipasang menjadikan seluruh kawasan padang terang-benderang.

> Pemimpin Pemuda Umno, MCA dan MIC mengambil tempat di atas pentas.

> Hadirin sudah kelihatan semakin gelisah.

> Padang semakin sesak dengan warga Eropah yang bekerja di negara ini.

> Pemimpin Perikatan, jemputan dan pemimpin negara luar mengambil tempat mereka.

11.58 malam

> Kereta yang membawa Tunku tiba diiringi 30 motosikal.

> Tunku disambut timbalannya, Tun Abdul Razak Hussein.

> Semua lampu dipasang menjadikan suasana semakin bergemerlapan.

12 malam

> Bendera ‘Union Jack’ diturunkan diiringi lagu ‘God save the Queen’.

> Bendera itu diletakkan di atas dulang berwarna perak.

> Bendera Persekutuan dinaikkan diiringi lagu Negaraku.

> Negara berpenduduk seramai enam juta orang dengan rasminya bebas daripada penjajah.

> Tunku dikalungkan selendang bertulis ‘Bapa Kemerdekaan’ oleh Ketua Pemuda Umno, Sardon Jubir.

> Laungan ‘Bapa Kemerdekaan Tanah Air’ bergemuruh.

1.30 pagi

> Tunku beredar meninggalkan padang.

> Hadirin secara perlahan-lahan bergerak meninggalkan padang. Sesetengahnya terus menuju ke Stadium Merdeka.

Berita Harian
18 Ogos 2007