Khamis, 23 Ogos 2007

Rahmat pembangunan di sebalik tsunami landa Aceh

Oleh Hanisah Selamat

MASIH terbayang kesengsaraan warga Aceh ketika dilanda bencana tsunami tiga tahun lalu. Walaupun bencana itu hanya ditonton menerusi televisyen dan paparan akhbar, apa yang dilihat dan dibaca sudah cukup meruntun jiwa.

Cerita rakan sekerja yang ditugaskan ke bumi Aceh tatkala bencana itu menimpa juga amat mengharukan. Di mana saja ada bergelimpangan mayat dan mereka yang hidup pula masih dalam kebingungan biarpun selepas beberapa hari tragedi berlaku.

Itu kisah tiga tahun dulu. Baru-baru ini giliran penulis pula berpeluang mengikuti rombongan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) membuat liputan penyerahan Rumah Anak Yatim Yayasan Mina Raya Padang Tiji, Pidie, kira-kira tiga jam perjalanan dari Banda Aceh.

Wajah ceria dan keramahan penduduknya menyambut kehadiran kami. Di sana, anggota PBSMM begitu dihormati berikutan sumbangan serta khidmat yang dihulurkan, malah seramai enam sukarelawannya ditempatkan di Aceh sejak tragedi menimpa.

Saat menjejakkan kaki ke bumi Aceh, diri terpegun seketika melihat pembangunan di kawasan itu yang sebelum ini dikhabarkan begitu mundur berbanding wilayah Indonesia lain. Bak kata sebilangan warga yang ditemui, kehadiran tsunami sebenarnya membawa rahmat besar.

Mana tidaknya, sebelum musibah keadaan wilayah terbabit serba kekurangan baik kemudahan prasarana mahu pun jalan menghubungkan setiap daerah yang kebanyakannya sekadar laluan tanah merah.

Kini, dengan bantuan kemanusiaan serta sumbangan Amerika Syarikat yang membiayai pembinaan rangkaian jalan raya, warga wilayah luar Banda Aceh turut ‘terkena tempias’ arus pembangunan.

Pertelagahan antara puak yang sebelum ini menyebabkan suasana tegang hingga memaksa pemerintah mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan juga semakin reda. Kehidupan kini lebih makmur dan harmoni.

Namun paling menarik adalah cara kehidupan masyarakatnya yang masih menebal dengan adat dan budaya. Di sana amat sukar melihat wanita tidak bertudung, malah warga asing yang sering berulang alik di wilayah itu turut menghormati penduduk kerana mereka dilihat mengenakan penutup kepala sebaik saja turun pesawat.

Gadis Aceh juga dikatakan jarang keluar malam tanpa ditemani ahli keluarga bagi mengelakkan fitnah sekali gus memelihara maruah keluarga. Agama menjadi teras terpenting, tidak hairan mengapa Aceh digelar Serambi Makkah.

Jika di negara kita remaja atau anak muda lebih senang melepak di pusat beli-belah, senario berlainan dapat kita dilihat di sana apabila mereka menjadikan masjid lebih daripada pusat ibadat. Di Masjid Raya Baiturrahman di tengah Banda Aceh yang berusia lebih 350 tahun, pelbagai peringkat usia dapat dilihat melakukan bermacam aktiviti. Namun apabila azan berkumandang, berduyun-duyun mereka menuju ke masjid menunaikan solat.

Pada waktu malam, suasana Banda Aceh yang menjadi pusat wilayah berkenaan, tidak mati. Walaupun operasi perniagaan ditutup hingga jam 9 malam, pengusaha deretan gerai makanan kira-kira 500 meter dari masjid, rancak mengatur strategi.

Masing-masing cuba menarik perhatian pelanggan dengan melaungkan menu istimewa mereka. Kerang bulu antara sajian popular iaitu kerang rebus bersaiz besar, tiga kali ganda berbanding saiz kerang di negara kita. Memakannya dengan dicicah sambal pastinya menjadi hidangan wajib yang mesti dinikmati jika ke Banda Aceh.

Seperti di Jakarta, pengemis masih menjadi masalah utama tambahan pula selepas tragedi tsunami. Tentunya medan makan antara tumpuan pengemis yang bergerak dari satu meja ke satu meja untuk menagih simpati.

Seorang warga Aceh, Solihin berkata jumlah pengemis dirasakan semakin meningkat sejak tsunami terutama di kalangan kanak-kanak yang sebahagian besarnya dikatakan digunakan sindiket tertentu untuk mengaut keuntungan.

Namun itu hanya secebis kisah pilu di celah kehidupan masyarakatnya. Dalam perjalanan melawat rumah anak yatim di Lhokseumawe, kira-kira empat jam perjalanan, mata disajikan pemandangan indah sawah padi dan kebun sayur yang menjadi nadi ekonomi penghuni wilayah ini.

Meskipun kebanyakan anak mudanya sudah terkorban dibaham tsunami dan sebahagian lagi berhijrah mencari rezeki di negara orang, saki baki yang tinggal tetap meneruskan hidup seperti biasa. Boleh dikatakan, mempunyai sebuah motosikal sudah memadai untuk mereka beriadah atau bergerak ke mana-mana.

Dengan status ekonomi serba kekurangan, motosikal adalah pengangkutan terpenting. Tidak hairan, pelekat bergambar menjadi aksesori penting malah di mana-mana ceruk tempat gerai menjual pelekat serta bengkel motosikal pasti ramai pengunjungnya.

Apa pun kunjungan ke beberapa daerah di Aceh dalam tempoh dua hari belum cukup untuk mendekati atau mengenali masyarakatnya.

Berita Harian
18 Ogos 2007