Khamis, 23 Ogos 2007

Balu Iraq hidup melarat

Oleh Nurul Adlina Kamaludin

Ribuan wanita melacur, gadis dijual ibu bapa akibat miskin.

PENCEROBOHAN tentera Amerika Syarikat di Iraq bukan setakat mengkucar kacirkan keadaan di negara Teluk berkenaan tetapi mencetuskan bencana kemanusiaan, khususnya kepada kalangan penduduk awamnya yang tidak berdosa.

Sebelum pencerobohan itu, kalangan balu in yang kehilangan suami ketika Perang Iran-Iraq, mendapat bayaran pampasan manakala anak-anak mereka menikmati kemudahan pendidikan secara percuma. Malah, bagi kes tertentu, mereka turut diberi rumah percuma.

Malangnya, kemudahan sedemikian tamat sebaik bumi Iraq diceroboh pasukan tentera asing, diketuai Amerika pada 2003 atas alasan mahu menggulingkan kerajaan bekas Presiden Saddam Hussein.

Pergolakan yang semakin buruk baik akibat serangan kumpulan pejuang, operasi ketenteraan Amerika dan pihak berkuasa tempatan yang tidak berkesudahan, menyaksikan Iraq terus diselubungi pergolakan dan kemiskinan.

Pejabat ditutup dan pekerjaan yang terhad menyebabkan ramai rakyatnya yang biarpun sihat dan berpendidikan, menganggur.

Sudahlah berdepan ancaman serangan dan operasi ketenteraan yang menyebabkan mereka tidak tidur malam, kehidupan pula berubah menjadi terdesak.

Hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Anak-anak pula keciciran pelajaran dan sebahagian besar kehidupan bermain di tepi jalan dan memudahkan mereka menjadi sasaran serangan bom baik kumpulan penentang mahu pun tentera asing.

Di kawasan tertentu, bilangan anak kecil dan wanita mengatasi lelaki menyebabkan tanggungjawab ketua keluarga bertukar tangan kepada ibu tunggal.

Seperti diakui pertubuhan bukan kerajaan, Women's Freedom in Iraq (OWFI), 15 peratus wanita Iraq yang menjadi balu akibat pencerobohan Amerika, kini hidup terdesak dan mencari perlindungan sementara termasuk sanggup mengikat perkahwinan kontrak dan menjadi pelacur demi memastikan mereka ditanggung dari segi kewangan dan perlindungan akibat pergolakan yang berlaku.

Rana Jalil, 38, kehilangan suami tersayang dalam satu letupan di Baghdad tahun lalu. Belum pun air matanya sempat kering, dia terpaksa mencari kerja demi menyara hidup empat anaknya yang masih kecil.

“Tetapi seumur hidup ini saya tidak pernah menyangka menjadi pelacur untuk menyara hidup. Saya sudah mencuba segala-galanya, mencari pekerjaan lain tetapi pencerobohan tentera Amerika ini turut melenyapkan semua pekerjaan yang ada sebelum ini."

“Saya mengemis simpati orang ramai, merayu pemilik kedai, ketua pejabat dan syarikat supaya saya diberi tugas, namun semuanya tidak berhasil. Jangankan simpati, kebanyakan mereka memandang rendah terhadap saya,” katanya yang menitiskan air mata dalam temubual dengan stesen Aljazeera, baru-baru ini.

Beberapa minggu selepas kematian suaminya, satu lagi berita buruk diterima Rana - anaknya disahkan mengalami masalah kekurangan zat makanan.

“Tuhan saja tahu betapa beratnya hati ini untuk melakukan kerja terkutuk ini kerana arwah suami adalah satu-satunya lelaki yang bersama saya. Tapi saya tiada pilihan lain....anak-anak saya kelaparan.”

Fikirannya amat celaru, cemas dan ketakutan ketika melangkahkan kakinya ke pasar terdekat bagi mencari pelanggan pertamanya.

“Tidak sukar mencari pelanggan kerana rupa paras saya yang agak menarik. Selepas mendapat pelanggan pertama, saya menolaknya kerana masih terbayang wajah suami dan anak-anak, tetapi lelaki itu memukul dan merogol saya. Dia kemudian mencampakkan wang dan pada saat itulah saya sedar sudah pun bergelar pelacur.”

Nuha Salim, jurucakap OWFI mendakwa kemelut hidup ibu tunggal yang terpaksa melacur, semakin serius.

“Mereka menjadi pelacur bukan atas kerelaan diri. Akibatnya, mereka menjadi mangsa keadaan kerana tidak tahu apa lagi cara yang ada bagi memastikan anak dapat diberi makan.”

Berikutan itu, beratus-ratus wanita mencari jalan mudah menyara kehidupan sendiri dan insan tersayang kerana tidak mendapat pembelaan mahu pun simpati majikan yang berminat menggaji mereka.

Nuha mendakwa selain pertubuhan itu dan badan bukan kerajaan lain merekodkan kehilangan seramai 4,000 wanita yang mana 20 peratus daripadanya berusia bawah 18 tahun, sejak pencerobohan Amerika.

Pertubuhan wanita itu percaya kebanyakan mangsa terbabit sama ada diculik dan dijual kepada sindiket pelacuran di luar Iraq.

Biarpun statistik rasmi bilangan sebenar ibu tunggal Iraq, Kementerian Hal Ehwal Wanitanya berkata ada sekurang-kurangnya 350,000 balu di Baghdad saja dan anggaran lebih 8 juta orang di seluruh Iraq.

FAKTA NOMBOR: Kemelut wanita di Iraq

> 15 - Peratus daripada keseluruhan wanita jadi balu

> 8 - Juta anggaran ibu tunggal di seluruh Iraq

> 350,000 - Janda di Baghdad

> 4,000 - Wanita, gadis hilang sejak pencerobohan Amerika

> RM1,700 - Harga seorang gadis dijual kepada sindiket pelacuran.

Berita Harian
18 Ogos 2007