Khamis, 23 Ogos 2007

Kesatuan sekerja ragui VSS sektor awam

15-08-2007 09:09:04 PM Oleh SORAYA JAMAL & NURUL HALAWATI AZHARI

KUALA LUMPUR: Cadangan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya Skim Perpisahan Sukarela (VSS) diperkenal bagi melepaskan kakitangan awam bermasalah diragui oleh pelbagai pihak.

Kesatuan sekerja dan kakitangan awam berpendapat sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memperkenalkan VSS, ia akan mengundang pelbagai masalah baru kepada lebih sejuta kakitangan awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata pada dasarnya Cuepacs menolak cadangan memperkenalkan VSS sebagaimana dilakukan bagi kakitangan swasta.
Tetapi Cuepacs sedia berunding dengan kerajaan tentang hal ini.

Manakala presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud pula berkata pada umumnya MTUC tidak bersetuju dengan VSS kecuali dalam keadaan yang betul-betul sahih atau dapat dipastikan tiada pilihan lain yang lebih baik.

Katanya VSS bukan cara terbaik untuk menyelesaikan isu pekerja-pekerja bermasalah baik dalam sektor awam mahupun swasta kerana ia akan mengundang ketidakadilan.

BUKAN VSS SEKTOR SWASTA
Apa yang dimaksudkan Mohd Sidek bukanlah menerima sepenuhnya skim VSS seperti yang diamalkan oleh sektor swasta tetapi lebih kepada meminjam konsep skim itu dalam menangani pekerja bermasalah.

Konsep itu akan dikaji dan diperhalusi dahulu keberkesanannya dalam sektor perkhidmatan awam.
Umum sedia maklum VSS dalam sektor swasta sinonim dengan pengurangan bilangan pekerja. Ia adalah kaedah yang menjadi pilihan majikan sektor swasta untuk mengurangkan pekerja terutamanya ketika kedudukan ekonomi tidak mengizinkan.

VSS juga dilaksanakan apabila syarikat bergabung atau diambil alih oleh kumpulan yang lebih besar bagi mengelakkan pertindihan pekerja.Lazimnya pemberhentian pekerja atau VSS adalah jalan mudah bagi kebanyakan syarikat untuk keluar daripada masalah kewangan.Ada juga yang mempraktikkannya apabila menjangka masalah dalam waktu terdekat, atau prestasi syarikat merosot, pertukaran dalam hak milik syarikat, penjenamaan semula, penyumberan luar atau pengenalan teknologi baru. Jadi tidak hairanlah kenapa skim ini seringkali disalahgunakan.

Ambil VSS cipta stigma Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsudin Bardan berpendapat jika pihak SPA tetap mahu melaksanakan skim berkenaan sebagai cara mengatasi pekerja bermasalah, ia perlu kajian yang lebih teliti terlebih dahulu. "Jika kita lihat di pihak swasta, VSS ditawarkan kepada mereka yang menerimanya secara sukarela. Sektor swasta melaksanakan VSS sebagai jalan penyelesaian kepada situasi tertentu. Perkataan VSS untuk pekerja bermasalah tentunya akan memberi tanggapan buruk ataupun stigma terhadap mereka yang memilih VSS.

Tambahan pula jika dibandingkan dengan pihak swasta, mereka yang mengambil VSS bukan kesemuanya bermasalah. Pekerja swasta dinilai berdasarkan prestasi, jadi mengapa pihak majikan perlu membayar untuk melepaskan mereka, tanya beliau.

"Kenyataan VSS untuk pekerja bermasalah itu akan menimbulkan masalah lain pula kepada pekerja yang dihentikan melalui skim itu. Mereka daripada sektor awam yang dikenakan VSS akan dicap sebagai bermasalah.

"Ini mungkin menyukarkan mereka apabila cuba memasuki sektor swasta atau berhadapan dengan majikan baru," ulasnya lagi.

Elak perkataan VSS Shamsudin menyifatkan skim VSS berkesan di pihak swasta kerana dilakukan secara sukarela dan individu yang ditawarkan skim berkenaan mempunyai pilihan untuk menolaknya. Apabila kakitangan menolaknya, pihak majikan perlu mencari jalan penyelesaian lain misalnya dengan melatih semula pekerja berkenaan.

"Sebabnya ramai sudah tahu tujuan sebenar VSS. Jika hendak teruskan dengan VSS sebagai contoh, saya mencadangkan sektor awam gunakan perkataan atau skim lain yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

"Contohnya seperti Skim Persaraan Awal yang memberi pilihan kepada kakitangannya.

"Sekiranya individu itu sudah lama berkhidmat, mereka diberi pampasan kerja misalnya faedah penamatan kerja dan dilaksanakan mengikut undang-undang seperti yang terdapat di dalam Akta Pekerjaan," cadang beliau.

BERNAMA