Khamis, 23 Ogos 2007

Jangan cepat percaya tawaran percuma pemeriksaan kesihatan

KESEDARAN terhadap keadaan kesihatan, ancaman kepada penyakit kritikal dan kemampuan yang semakin meningkat di kalangan orang ramai dengan sendirinya menggalakkan pertumbuhan bidang perniagaan perubatan termasuk dari segi kemudahan hospital swasta di negara ini. Kebanyakan hospital swasta ini turut menyediakan pelbagai kemudahan canggih dan terbaru dalam bidang diagnostik dan ujian makmal. Pada masa sama, wujud persaingan di kalangan hospital swasta sendiri untuk mendapatkan seramai mungkin pelanggan. Perkembangan ini menyebabkan pihak tertentu cuba mengambil kesempatan dan menjalankan perniagaan dengan menawarkan pelbagai jenis ujian saringan kesihatan secara percuma di tempat awam sebelum merujuk mereka kepada doktor atau hospital tertentu untuk pemeriksaan lanjut. Kempen memeriksa kesihatan itu selalunya diadakan di pusat beli-belah, hotel ataupun farmasi dengan kerjasama pihak pengurusan tempat berkenaan. Selepas melakukan ujian, ‘pelanggan’ selalunya dirujuk kepada doktor atau hospital tertentu bagi pemeriksaan lanjut dan rawatan seterusnya. Walaupun ujian awal itu diadakan secara percuma, ada di kalangan pelanggan yang ‘terkena’ terpaksa membayar setinggi RM400 kepada doktor yang ditemui dan peniaga yang menjalankan saringan kesihatan itu akan mendapat komisennya daripada doktor atau hospital itu.

Cara tidak sihat ini didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek kelmarin. Malah beliau sendiri pernah terserempak dengan kempen kesihatan yang dianjurkan ketika berada di sebuah hotel di Melaka baru-baru ini. Sebenarnya, Kementerian Kesihatan tidak pernah memberi kebenaran kepada pemilik hotel atau pusat beli-belah untuk menjalankan kegiatan saringan kesihatan percuma kerana ia boleh dibuat oleh kementerian atau hospital yang diiktiraf. Pemilik bangunan yang membenarkan pihak tertentu melakukan saringan kesihatan tanpa kebenaran itu juga melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta dan Perkhidmatan 1998.

Kita berharap dengan penguatkuasaan Akta Patologi tahun depan, kementerian berkenaan boleh memantau semua makmal ini termasuk di hospital swasta dengan lebih berkesan lagi bagi mengelakkan penipuan. Pada masa ini sesiapa saja boleh masuk ke makmal bagi meminta dilakukan ujian tertentu tetapi dengan penguatkuasaan akta berkenaan, pesakit tidak lagi boleh sesuka hati melakukan ujian tanpa arahan doktor. Makmal juga perlu diketuai doktor, ahli patologi atau pegawai sains, bergantung pada jenis ujian yang dilakukan. Tahun lalu saja sejumlah 240 juta ujian makmal dilakukan iaitu kira-kira 650,000 sehari dan daripada jumlah itu, 46 peratus ujian dilakukan di hospital kerajaan, 10 peratus di hospital universiti dan 44 peratus di makmal swasta.

Selain ujian saringan, kita juga sering ditawarkan pemeriksaan mata di pusat persendirian atau kedai cermin mata yang juga boleh diragui. Namun pernahkah kita terfikir apakah pemeriksaan yang dilakukan oleh ‘pakar’ mata berkenaan boleh dipercayai sepenuhnya? Kadangkala wujud cermin mata yang diperakui didapati tidak tepat dengan keperluan penglihatan seseorang. Dalam keadaan ini adalah wajar kita terlebih dulu melakukan pemeriksaan mata di hospital mata bertauliah sebelum menempah cermin mata. Dalam isu yang membabitkan tahap kesihatan seseorang, adalah tidak wajar kita mengambil risiko dengan bergantung pada saringan kesihatan yang berselindung di sebalik taktik perniagaan pihak tertentu.

Berita Harian
22 Ogos 2007