Jumaat, 24 Ogos 2007

Silap sendiri jika bahasa kebangsaan makin terpinggir

WALAUPUN sudah 50 tahun merdeka, masih ada pihak yang kelihatan masih janggal untuk menggunakan bahasa kebangsaan sama ada secara bertulis termasuk pada minit mesyuarat atau ucapan pada majlis keramaian. Bahasa Malaysia rojak masih berleluasa dan iklan pada papan tanda masih banyak menggunakan bahasa yang silap. Pihak berkuasa tempatan (PBT) bagai merelakan pencemaran pada bahasa kebangsaan apabila ia bebas dipasang di papan tanda merata tempat. Sari kata bahasa Malaysia di rancangan televisyen, yang seharusnya semakin baik selaras dengan usia kemerdekaan negara, bertukar sebaliknya. Penggunaan bahasa Inggeris terutama pada iklan bagaimanapun semakin ketara seolah-olah hanya mereka yang menguasai bahasa itu mempunyai kuasa membeli. Apakah kita masih kurang yakin dengan bahasa Malaysia pada hal ia adalah bahasa asal dan perantaraan di seluruh nusantara kepulauan Melayu termasuk Singapura, Filipina, Brunei dan Indonesia. Selama ini bahasa Melayu memang menjadi bahasa pengantar di semua negara itu. Sebagai contoh, rakyat Indonesia sama ada berketurunan Bugis, Jawa atau Acheh, menggunakan bahasa Melayu sekiranya ingin berinteraksi dengan orang lain di kepulauan Melayu ini. Mereka mengguna bahasa Melayu walaupun ramai pejuang kemerdekaan republik itu berketurunan Jawa dan dari pulau itu.

Walaupun kita dijajah Inggeris pada babak terakhir penaklukan asing selama 400 tahun dan sudah semestinya pendidikan awal di sekolah kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris melainkan sekolah pondok, sistem pendidikan sudah berubah. Sejak pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan selepas kemerdekaan, khususnya mulai 1970-an, dianggarkan lebih kurang lima juta pelajar daripada semua kaum telah terdidik dalam bahasa kebangsaan. Beratus ribu pelajar berjaya mendapat pendidikan pada peringkat tinggi dalam bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Beribu-ribu sarjana, profesor, profesor madya dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu dan profesion lahir daripada sistem pelajaran kebangsaan itu yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utamanya. Sebelum 1957, tidak ada seorang pun anak Melayu dan juga anak dari kaum lain yang menjadi sarjana, profesor dan ahli sains melalui pendidikan dalam bahasa Malaysia sejak peringkat sekolah rendah. Ini bermakna generasi selepas merdeka adalah generasi berpendidikan bahasa Malaysia.

Sementara kita menyambut baik saranan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar kelmarin supaya menteri dan pemimpin masyarakat memberi keutamaan kepada penggunaan bahasa Malaysia sepanjang Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2007 yang bermula 1 hingga 30 September ini bagi memperkasakan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan, kita berharap ia tidak seharusnya diperkasakan sepanjang BBSN saja. Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan sepatutnya diguna pakai sepanjang masa kecuali untuk majlis yang dihadiri ramai rakyat asing. Usaha memperkasakan bahasa kebangsaan mesti disertai oleh semua peringkat masyarakat bukan hanya pelajar, pemimpin negara malah pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta mereka yang terbabit dalam industri pengiklanan. Kita berasa kecewa apabila iklan masih banyak menggunakan bahasa Inggeris. PBT harus lebih sensitif dan memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Malaysia yang betul pada papan iklan di kawasan masing-masing. Sementara kita menyokong penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam era globalisasi kini, kita tidak mahu hakikat itu dijadikan alasan bagi pihak tertentu memperlekeh dan menghina bahasa kebangsaan.

Berita Harian
24 Ogos 2007