PENDIDIKAN menjadikan seseorang lebih memahami persekitaran dan sensitif kepada keperluan semasa serta mampu berfikir secara lebih rasional dalam menangani pelbagai permasalahan yang ditempuhi. Lazimnya, pendidikan juga dijadikan penanda aras kepada kestabilan politik, ekonomi dan taraf sosial masyarakat sesebuah negara.
Menyedari pentingnya pendidikan dalam membentuk peradaban masyarakat, tamadun sesuatu kaum itu dilihat kepada pencapaian elemen berkenaan yang merangkumi pelbagai bidang kemajuan sejagat. Ia merangkumi sains, teknologi serta astronomi dan menerusi penguasaan itu mereka dapat menakluk dunia.
Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Hubert J Gijzen, berkata pemerhatiannya mendapati, faktor pendidikan juga antara tonggak utama kepada keamanan sejagat.
Pendidikan mampan katanya, menjadikan seseorang itu boleh berfikir dengan lebih rasional dan mampu membuat keputusan yang tidak meletakkan emosi lebih tinggi daripada pemikiran.
Sehubungan itu, beliau dalam ucaptama merasmikan program pendidikan Persamaan Antara Budaya Menjurus Ke Arah Kesatuan dan Keamanan Asean anjuran Universiti Malaya baru-baru ini menekankan pentingnya pendidikan dalam membentuk keamanan sejagat.
Pencapaian pendidikan yang mantap katanya menjanjikan kesempurnaan dalam kehidupan. Pencapaian itu memerlukan komitmen berpanjangan menerusi perbincangan dan dialog dalam usaha bertukar maklumat dan pengetahuan semasa.
Pendidikan juga membentuk kesempurnaan dalam sesuatu kaum dan itu penting dalam membentuk kesatuan dalam Asean itu sendiri. Persamaan budaya dan norma hidup masyarakat membentuk rasa hormat menghormati setiap agama yang dianuti.
Selain pendidikan, Gijzen berkata, pertukaran ilmu menerusi aktiviti pendidikan, perkara penting yang juga perlu diberi perhatian khusus dalam pembentukan keamanan Asean ialah menerusi budaya, komunikasi dan perkongsian maklumat terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Penguasaan elemen berkenaan turut membentuk persamaan dan keserasian jitu di kalangan ahli.
Ia membentuk tolak ansur yang menjadi tunggak kepada keamanan dan kemakmuran sesuatu tempat mahupun empayar.
Sebelum pergi lebih jauh, beliau berkata, wajar bagi Asean mengukuhkan pendidikan sedia ada dengan meningkatkan kualiti menerusi latihan serta program pertukaran pakar dalam pelbagai bidang. Menerusi pertukaran itu ia membentuk kesefahaman dan kerjasama yang lebih erat.
“Pendidikan berkualiti berpotensi membangunkan persefahaman yang menyeluruh. Ia membentuk peradaban pelbagai bidang dan ia seterusnya mewujudkan rasa hormat dan menghargai perbezaan budaya dan agama.
“Kini Malaysia sudah dinobatkan sebagai hab pendidikan serantau dan menjadi tanggungjawab semua pihak terutama negara anggota memberi sokongan padu dalam memperkasakan program sedia ada,” katanya.
Malah, kejayaan Malaysia kata Gijzen dalam menyediakan latihan kepada tenaga pengajar mahupun pihak pengurusan sekolah diperakui. Malaysia yang mempunyai kuasa pembiaya tinggi dapat menyediakan latihan kepada rakan dari Indonesia, Thailand, Cambodia, Vietnam dan juga Brunei. Kesungguhan Malaysia itu mendapat pengiktirafan Kerajaan Oman.
Beliau berkata, pengiktirafan itu adalah satu penanda aras kepada kejayaan Asean dalam membentuk persamaan dan keamanan serantau ke arah membentuk satu gagasan pendidikan setaraf negara maju mahupun kesatuan lain yang mendakwa lebih unggul.
“Secara peribadi saya berpendapat masyarakat Asean lebih bertimbang rasa dan mampu menangani permasalahan dengan lebih rasional.
“Perbezaan yang tidak begitu ketara dalam bidang politik, ekonomi, sosial mahupun budaya menyumbang kepada kestabilan serantau,” katanya.
Jika ada pergolakan sekalipun, Gijzen berkata, ia dapat diselesaikan secara bermuafakat sesama anggota tanpa membabitkan campur tangan pihak luar yang lazimnya membawa kepada komplikasi yang lebih sukar ditangani.
Gijzen juga tidak menafikan usaha memperkasakan pendidikan serantau turut mengambil kira kerjasama semua pihak dengan mengguna pakai pendekatan dilaksanakan menerusi usaha sama dengan badan sedia ada iaitu Member State Unesco.
Perkongsian pengalaman, pengetahuan serta pemerhatian itu katanya, dapat mempromosikan pendidikan berkualiti kepada semua dengan mengambil kira modul pendidikan itu sendiri serta latihan kepada guru yang dapat menjana modal insan yang lebih seimbang.
Pembentukan modal insan itu, menurut beliau turut mengambil kira keseimbangan dari segi pencapaian akademik yang cemerlang serta stabil secara emosi dengan memberi tumpuan kepada pembentukan nilai murni, pengetahuan holistik, etika, sikap serta kemahiran.
“Kita tidak mahu generasi hari ini cemerlang dalam bidang akademik semata-mata dan pada masa sama emosi mereka lemah dan mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang sering dikaitkan gejala sosial dan salah faham mengenai tuntutan agama serta fahaman fanatik.
“Tidak dinafikan wujud segelintir cerdik pandai yang cetek emosinya antara mereka yang terjebak dengan aktiviti yang tidak terfikir dalam kotak fikiran mereka yang waras,” katanya.
Dalam menuju arus pembangunan sejagat, Gijzen berkata, Asean tidak boleh lari daripada perkembangan sains dan teknologi sejagat dengan mengambil kira kedua-dua bidang pendidikan berkenaan sebagai satu yang perlu dikongsi bersama.
Unesco kini, kata beliau sedang mempelbagaikan kerjasama intelektual dengan mewujudkan rangkaian pertukaran ahli cerdik pandai menerusi dialog berkaitan dari semasa ke semasa.
Penekanan sains dan teknologi ini penting kerana ia membabitkan pelbagai isu berbangkit antaranya perubahan cuaca, pemanasan global serta pencemaran yang memerlukan perbincangan berterusan di antara semua pihak.
“Saya yakin keadaan Asean yang tidak begitu luas dengan jumlah penduduk sederhana ini dapat membentuk persefahaman dan kestabilan yang lebih sempurna,” katanya.
Dalam bidang budaya pula, banyak persamaan di kalangan negara anggota. Arcipelago setempat membentuk kesamaan yang memudahkan lagi proses mengenali budaya antara satu sama lain dan kesamaan itu mempercepatkan proses mengenali antara satu sama lain.
Persamaan budaya dan norma hidup masyarakat Asean kata Gijzen, seterusnya membentuk ideologi yang seimbang dan mampu mengelakkan daripada timbul rasa tidak puas hati dengan pelbagai isu yang menimbulkan sensitiviti kepada rakan serantau.
Konsep ini katanya, dilaksanakan menerusi Deklarasi Sejagat Dalam Kepelbagaian Budaya yang berlangsung di Bali baru-baru ini.
Berita Harian
24 Ogos 2007