Oleh Ziauddin Sharuddin
Pelbagai prosedur di bawah banyak pihak cetus masalah
NAHAS jalan raya terburuk membabitkan bas ekspres yang mengorbankan 20 orang di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Bukit Gantang, 13 Oktober lalu sungguh menyedihkan. Berikutan kejadian itu, pelbagai kelemahan turut didedahkan seperti pemandu bas mempunyai 15 rekod kesalahan trafik, termasuk dua waran tangkap, tetapi tidak pernah disenaraihitamkan oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Apa yang pasti ialah kelihatan pelbagai agensi terbabit dalam kejadian ini. Agensi lain termasuk Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Puspakom. Ikuti pandangan Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran kepada Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin, supaya ada satu agensi tunggal dipertanggungjawabkan terhadap pengangkutan awam.
Sebenarnya isu keselamatan jalan raya, sama ada membabitkan kenderaan persendirian, perdagangan atau awam adalah isu yang sudah lama dibincangkan. Setiap kali ada kemalangan membabitkan jumlah kehilangan nyawa yang tinggi, perkara ini menjadi tajuk utama dalam media massa. Semua pihak menyatakan pandangan masing-masing.
LPKP sebagai agensi yang mengeluarkan permit kenderaan sebagai pengangkutan awam atau perdagangan, mempunyai peranan secara tidak langsung bagi menentukan keselamatan jalan raya, terutama membabitkan kenderaan pengangkutan awam seperti bas yang sudah tentu membawa ramai penumpang.
Sebagai contoh dari segi pemanduan, LPKP menetapkan syarat bahawa bas ekspres untuk perjalanan jarak jauh mesti menggunakan dua pemandu serta menyediakan buku log yang membolehkan kita memeriksa pada pertukaran pemandu dilakukan. Ini bertujuan menjaga kebajikan pemandu supaya cergas, siap sedia, tidak mengantuk dan letih.
Kebanyakan kenderaan pengangkutan awam mematuhi syarat ini. Cuma kadang-kadang dari segi pentadbiran, saya mendapati ada syarikat tidak menggunakan buku log. Pertukaran pemandu dilakukan, tetapi tidak direkodkan dalam buku log.
LPKP menyedari selain pemandu, usia bas juga adalah antara punca kemalangan berlaku. Ini yang menyebabkan LPKP pada Julai 2005, membuat keputusan bahawa bas ekspres tidak boleh berusia lebih 10 tahun. Secara teknikal, bas ekspres sudah tentu bergerak jauh dan berada dalam keadaan uzur selepas 10 tahun.
Walaupun ada hujah bahawa teknologi pembuatan kenderaan zaman sekarang lebih canggih dan harga mahal serta bantahan persatuan pengusaha bas ekspres dengan alasan kos operasi tinggi, LPKP tetap tegas melaksanakan peraturan itu.
Bagaimanapun, dalam kes Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Bhd yang terbabit dalam kemalangan itu, bas terbabit tertakluk mengikut peraturan lama sebelum 2005. Undang-undang di negara ini menegaskan tidak boleh membuat undang-undang yang ke belakang. Ini bermaksud jika dulu tidak salah dan sekarang menjadi salah, kita menghukumnya sekarang. Ini yang menyebabkan ada bas baru dan lama.
Kemalangan yang berlaku bukan perkara baru. Adakah kita tidak pernah serik?
Saya tidak melihat masalah pengangkutan awam hanya membabitkan bas. Kita perlu melihat keseluruhan sistem pengangkutan awam dan komersial.
LPKP hanya mempunyai kuasa untuk meluluskan permit dan menguatkuasakan perlanggaran peraturan berkaitan syarat permit. Kita perlu ingat bahawa ada pelbagai pihak berkuasa lain seperti polis, JPJ, Puspakom dan Jabatan Alam Sekitar (pemeriksaan asap kenderaan).
Kita tidak ada kuasa jika kesalahan membabitkan pemanduan oleh pemandu sendiri. Jika dia memandu melebihi had kelajuan ditetapkan atau memandu secara berbahaya, tetapi implikasi perbuatan itu ialah terhadap kewibawaan pengangkutan awam, iaitu keselamatan penumpang.
Di negara kita seolah-olah ada ruang lingkup tertentu yang orang ramai, malah media massa sendiri tidak faham. Hanya pihak yang duduk dalam bidang kuasa itu yang akan mengerti setakat mana kuasa mereka.
Satu lagi pihak yang terbabit dalam pengangkutan awam ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menentukan urusan berkaitan terminal bas dan teksi, tempat letak kenderaan komersial dan awam serta depoh.
Sesetengah PBT main buat saja terminal dan teksi lalu mengarahkan semua bas dan teksi mesti beroperasi di situ tanpa mempunyai sedikit idea mengenai kesesuaian lokasi terminal itu. Masalah berlaku kerana tidak semua PBT mempunyai kepakaran dalam bidang pengangkutan awam. Sewajarnya pemilihan lokasi mengambil kira kesesuaian lokasi itu.
Begitu juga dengan masalah ulat tiket. Antara punca ada terminal yang mempunyai kaunter tiket yang PBT beri kepada bukan pengusaha bas yang kemudian menjadi ejen kepada syarikat bas. Ada syarikat bas sendiri tidak mempunyai kaunter untuk menjual tiket. Ini berlaku!
Malah setiap agensi berkaitan pengangkutan awam berada di bawah kementerian berlainan. LPKP di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, JPJ (Pengangkutan), polis (Dalam Negeri), PBT (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), JAS (Sumber Asli dan Alam Sekitar). Apabila berlaku kemalangan ini, masing-masing menuding jari antara satu sama lain?
Saya rasa bukan menyalahkan. Setiap pihak berkuasa tidak berani menjawab perkara yang di luar bidang kuasa masing-masing. Itu dilihat sebagai ini bukan masalah saya dan tidak boleh jawab. Tanya pihak di sana. Kemudian pihak lain pula yang dikatakan perlu menjawab seolah-olah seperti menuding jari.
Kalau saudara tanya kepada saya mengenai pemeriksaan kenderaan, saya tidak mahu jawab kerana itu di luar bidang kuasa saya. Bagaimanapun, pandangan orang ramai berbeza. Tengok! LPKP menyalahkan pihak lain.
Cadangan untuk menyelesaikan persoalan ini?
Kalau kita benar-benar mempunyai kesungguhan untuk menyelesaikan isu ini, saya mencadangkan supaya rombakan secara menyeluruh dilakukan terhadap sistem pengangkutan awam dan komersial dengan meletakkan kuasa berkaitan pengangkutan LPKP, JPJ, PBT, Puspakom dan JAS di bawah satu agensi.
Kita perlu ada kekuatan untuk menubuhkan agensi khas yang mengambil alih semua kuasa itu, tetapi bukan seperti cadangan sebelum ini, iaitu mewujudkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Lembah Klang. Kita tidak mahu ambil sebahagian daripada itu, tetapi kuasa di atas masih dalam keadaan yang sama.
Di mana suruhanjaya itu hendak ambil kuasa? Dari LPKP, JPJ dan JAS. Lebih baik kaedah pengurusan, kawalan, menetapkan peraturan dan akhir sekali, perkara yang amat penting ialah penguatkuasaan undang-undang diletakkan di bawah satu badan khas.
Ini bermakna semua kuasa adalah di tangan agensi itu. Saya tidak mahu menyebut negara tertentu, tetapi ada negara yang pihak berkuasa pengangkutan darat mempunyai kuasa hingga boleh membina jejambat. Agensi itu boleh membantah keputusan perancangan PBT dan memberi pandangan mengenai pembinaan jalan raya.
Adakah kita kekurangan kemahuan politik untuk menjadikan cadangan itu sebagai suatu kenyataan?
Saya tidak berani komen, tetapi perlu ada usaha ke arah itu. Sekarang kita hanya mengambil satu bahagian demi bahagian. Sebagai contoh, Akta Kementerian Pelancongan mengambil sebahagian kuasa LPKP. Melesenkan kenderaan bas pelancongan atau pesiaran adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan dan bukan LPKP.
Bagaimanapun, siapa yang hendak menguatkuasakan peraturan berkaitan bas pelancongan? Akhirnya JPJ, LPKP dan polis sedangkan itu adalah satu kuasa memberi lesen. Fungsinya sama. Mungkin ada sebab tertentu yang saya tidak boleh komen perkara ini.
Ini adalah satu contoh bahawa kita mengambil pendekatan satu bahagian demi bahagian dan bukan menyeluruh. Pada suatu tahap, kita sendiri tidak tahu ke mana hendak pergi. Ada soalan ditanya kepada saya, `adakah Kementerian Pelancongan mempunyai kuasa menguatkuasakan peraturan berkaitan kenderaan pelancongan. Saya kata tidak boleh jawab. Perlu tanya kepada kementerian itu sendiri.
Bagaimana dengan LPKP. Apakah pasukan penguat kuasa sedia ada mencukupi?
LPKP baru mendapat kakitangan tambahan. Sejak dulu memang ada dan sejak memasuki LPKP, saya mendesak supaya kakitangan tambahan diberikan, Hasilnya, LPKP kini mempunyai 91 kakitangan penguat kuasa, iaitu tambahan 24 orang kepada 67 orang sebelum ini.
Bilangan ini memang tidak cukup. Di seluruh Semenanjung saja ada lebih 360,000 permit yang hendak dikawal. LPKP bukan hanya meluluskan lesen dan menjalankan tindakan penguatkuasaan. Kita turut menjalankan penyiasatan, membaharui permit, menukar syarat, membuat kajian mengenai keperluan peraturan baru dan dasar yang hendak dilaksanakan.
Nanti orang kata berapa ramai baru cukup? Adakah setiap kenderaan perlu ada seorang penguat kuasa atau 360,000 orang penguat kuasa. Ini mustahil dan dalam keadaan demikian, kita perlu memaksimumkan sumber manusia yang ada.
Bagaimana LPKP menilai keadaan syarikat bas ekspres di seluruh negara?
Saya boleh menyatakan secara umum situasi dan prestasi syarikat. Ada syarikat yang cemerlang dari segi pengurusan, iaitu kewangan, kawalan terhadap kenderaan, pengambilan pemandu dan penyelenggaraan.
Sesetengah syarikat berada pada tahap sederhana dengan menghadapi sedikit masalah seperti kewangan dan tidak cukup pemandu. Pada peringkat paling bawah, ada pula syarikat yang mempunyai pengurusan lemah. Sentiasa rugi dan pemandu tidak berhemah.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna syarikat cemerlang bebas daripada semua masalah. Ini tidak mungkin kerana mereka juga manusia biasa. Sekali kesilapan berlaku walaupun mungkin hanya mengambil masa lima saat, itulah kejadian yang berlaku.
Kita tidak boleh mengkategorikan syarikat itu sebagai tidak mempunyai prestasi baik kerana perlu mengambil kira bahawa perniagaan pengangkutan awam di negara ini adalah perniagaan yang dikawal dari segi lesen, peraturan dan paling utama dari segi kadar tambang.
Setakat ini yang tidak dikawal, itu pun sektor komersial ialah kontena yang telah diliberalisasikan. Apabila kadar tambang dikawal, itulah pendapatan siling sedangkan kos operasi semakin meningkat dari segi harga minyak, tayar, casis, badan bas dan terbaru, bateri. Margin keuntungan yang boleh dijangka semakin lama semakin menurun dan menghimpit pengusaha. Apabila ini berlaku, maka mulalah hendak mengurangkan kos.
Adakah ini yang menyebabkan ada kaitan antara syarikat yang mempunyai pengurusan cemerlang dan syarikat bermasalah terhadap kualiti perkhidmatan?
Sudah tentu ini juga mendatangkan kesan terhadap keselamatan dan risiko kemalangan, prestasi pemandu yang mudah cepat marah. Apabila penumpang menegur, bukan semakin perlahan, tetapi memandu lebih laju.
Ada kemungkinan kerana kita manusia biasa. Cuma di pejabat, kita melepaskan kemarahan tanpa menyebabkan kematian. Paling teruk, cuma fail yang terbang. Bagaimanapun jika pemandu bas mengalami tekanan perasaan, kesan akibat kelalaian yang berlaku adalah ramai nyawa melayang.
Jika syarikat bas henti-henti di Lembah Klang boleh digabungkan, mengapa tidak syarikat bas ekspres bermasalah atau tidak berdaya saing digabungkan menjadi sebuah atau beberapa buah syarikat yang berupaya menyediakan perkhidmatan dan jaminan keselamatan lebih baik?
Ini adalah idea yang baik, tetapi pada saya agak sukar untuk dilaksanakan. Bukan saya hendak cepat mengalah. Saya tidak akan mengalah, tetapi akan menghadapi masalah yang cukup besar. Ketika kita hendak menggabungkan perkhidmatan bas henti-henti di Lembah Klang, berapa kali menemui kegagalan?
Masalah berlaku kerana ada banyak kepala, daripada kecil hingga besar. Saya sudah mencuba, bukan dari segi kepentingan ekonomi. Cuma hendak menyelaraskan E-Ticketing, penjualan tiket melalui hanya satu sistem.
Sistem ini untuk mengetepikan peranan ulat tiket. E-Ticketing membolehkan orang ramai membeli tiket menggunakan saluran seperti internet dan telefon. Tiket pula dicetak berkomputer seperti tiket kapal terbang. Sekarang kebanyakan tiket masih menggunakan tulisan tangan. Siapa pun boleh tulis.
Kita cuba buat begitu, tetapi mendapat tentangan sesetengah pihak sedangkan kos satu tiket menggunakan sistem E-Ticketing hanya dua sen. Mereka lebih rela membayar ulat tiket yang minta RM4 untuk satu tiket.
Saya membuat siasatan sendiri di Terminal Larkin, Johor Bahru. Ulat yang mendapat 40 penumpang akan memberitahu `aku ada 40 tiket yang telah dijual. Okay untuk Kuala Lumpur, aku mahu RM4 satu tiket. Butterworth, aku mahu RM5 satu tiket.
Jika pengusaha bas ekspres tidak tunduk terhadap permintaan itu, bas keluar dari terminal tanpa penumpang. Adakah tidak mahu bayar atau biarkan bas kosong? Ada yang jadi begini. Saya sendiri mengaku bahawa amalan yang berlaku sekarang hampir tidak terkawal. Terlalu banyak masalah.
Dasar yang kita buat, semua faktor yang kita ambil kira sebelum meluluskan sesuatu permohonan dan temu duga dilakukan dengan baik dan teliti. Bagaimanapun, sekejap saja selepas sijil diserahkan untuk tujuan pelesenan, amalannya berbeza.
Saingan perniagaan ini terlalu sengit hingga ada pihak memberitahu saya bahawa setiap empat minit, sebuah bas ekspres keluar dari Terminal Larkin ke semua destinasi. Adakah setiap bas mempunyai cukup penumpang. Perkara ini perlu dilihat. Apabila terlalu sengit, orang tidak lagi memikirkan perkara keselamatan, kebajikan dan kecekapan. Semua berebut mahu cari makan.
Itulah yang berlaku. Kembali kepada cadangan asal, kalau kita serius, kita perlu adakan satu agensi dengan kuasa yang menyeluruh, besar dan mempunyai kekuatan. Kita terpaksa buat.
Untuk pengetahuan saudara, selepas saya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara), saya menjadi pegawai penguat kuasa JPJ dan ditempatkan di Kuala Lumpur dan Selangor (1979 dan 1980). Antara bidang tugas saya termasuk menangani kerenah pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter, mengenakan tambang berlebihan. Saya juga terbabit menyediakan laporan mengenai masalah bas mini.
Saya terbabit dalam penguatkuasaan pada waktu malam ketika musim perayaan. Kemudian saya masuk Universiti Malaya (UM) dalam bidang undang-undang, menjadi pensyarah, peguam dan Ahli Parlimen serta sekarang diberikan tugas memimpin LPKP.
Selepas 26 tahun meninggalkan JPJ dan apabila memberi tumpuan terhadap tugas sebagai Pengerusi LPKP, saya melihat tidak banyak penambahbaikan yang berlaku. Peraturan tetap sama, tetapi sikap pemandu bas, teksi, kenderaan perdagangan, keseluruhan situasi sistem pengangkutan awam dan komersil masih sama seperti dulu, jika tidak menjadi lebih teruk.
Kita sudah cuba mengubah keadaan ini dan masih tidak mencapai banyak kemajuan. Kenapa tidak kita bergerak ke arah sesuatu yang baru dan lebih bertenaga, berbanding menghukum kes demi kes. Apabila timbul isu, kita cadangkan itu dan ini.
Ada Sistem Kejara, tetapi apa sudah jadi? Kenyataan Ketua Polis Negara yang mengakui bahawa sistem itu tidak dilaksanakan. Apa terjadi kepada waran tangkap? Apabila timbul kejadian menyedihkan, kita tercari-cari.
Kita perlu melakukan sesuatu. Itu harapan saya jika kita ingin melihat ada peningkatan dari semua aspek.
Siapakah yang hendak memulakan langkah?
Ya! Nanti pembaca kata saya sendiri Ahli Parlimen, cakaplah di Parlimen. LPKP hanya satu agensi...kecil. Ia adalah satu bahagian daripada keseluruhan. Saya sebagai individu hanya melontarkan cadangan. Mungkin kerangka asas boleh kita siapkan, tetapi daripada kesungguhan untuk melaksanakan adalah perkara lain.
Timbul persoalan jika sebuah bas syarikat yang besar seperti Transnasional dengan 1,600 bas terbabit dalam kemalangan maut. Tidakkah keputusan untuk menghentikan keseluruhan operasi bakal menimbulkan masalah lebih besar, terutama jika kebetulan berlaku ketika musim perayaan?
Kita tidak boleh menjadikan tindakan itu sebagai faktor untuk menghukum. Saya sedar bahawa jika LPKP menghentikan keseluruhan operasi, ini akan menjejaskan pemandu bas lain. Dalam kes Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Bhd yang mempunyai 34 bas, angkara sebuah bas menyebabkan 33 bas lain terpaksa berhenti.
Apa yang terjadi terhadap mereka yang hendak cari makan. Kita bukan hanya melihat pemandu, tetapi isteri dan anak-anak yang hendak bersekolah. Kita tidak boleh berlaku kejam terhadap mereka yang tidak melakukan kesalahan. Mungkin pemandu lain cermat.
Kita menghentikan operasi untuk membolehkan siasatan dijalankan. Saya minta pasukan penyiasat menjalankan tugas dengan segera, membuat keputusan dan melepaskan yang lain jika tidak bersalah. Pada masa sama, kita perlu ada persediaan menyediakan pengangkutan lain jika tindakan menghentikan keseluruhan operasi dilakukan.
Bagaimana dengan dakwaan bahawa antara punca kemalangan ialah sikap pemandu bas ekspres yang mengejar trip kerana bergantung kepada komisen untuk menambah pendapatan?
Tidak semua syarikat begitu. Ada syarikat yang membayar gaji berpatutan dan memberi imbuhan lain berdasarkan kecekapan dan tiada saman. Bagaimanapun saya difahamkan, sejauh mana benar saya tidak tahu, ada syarikat memberi gaji asas yang rendah, iaitu antara RM300-RM400 dan selebihnya adalah berdasarkan trip. Masalah ini bukan hanya membabitkan bas ekspres, lori pun banyak.
LPKP tidak mengawal perkara ini. Permit untuk bas ekspres hanya berkaitan perkara seperti laluan perjalanan dan kapasiti tempat duduk. Kalau kenderaan perdagangan, ia membabitkan berat dengan muatan dan tanpa muatan serta jenis kenderaan.
Sejak mengetuai LPKP, saya bertindak tegas dengan membatalkan permit mereka yang bermasalah, terutama pemandu teksi. Saya hairan kerana masih ramai yang buat perangai, tidak bimbang dan tidak sayangkan permit. Saya pula yang apabila hendak membuat keputusan berasa sedih kerana tindakan itu pasti menjejaskan periuk nasi mereka.
Saya sangat sedih, tetapi mereka tidak layak berada di jalan raya. Bukan orang kecil seperti saya, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Yang di-Pertuan Agung sendiri memberi perhatian serius terhadap keselamatan penumpang bas ekspres.
Mungkin syarikat dan pemandu bas ekspres perlu diberikan sedikit peringatan dan nasihat?
Saya mahu pengusaha dan pemandu bas ekspres lebih berhati-hati. Ada syarikat bas ekspres mengadu bahawa mereka menghadapi masalah tidak cukup pemandu. Jika saya tidak silap, dulu pernah sebuah institut ditubuhkan untuk melahirkan pemandu kenderaan berat, termasuk bas yang cekap, terlatih dan berhemah.
Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada institusi itu. Kalau ada, di mana mereka dan mengapa tidak diteruskan. Kalau tiada, mengapa tidak dibuat. Syarikat pengangkutan awam menghadapi masalah kekurangan pemandu hingga ada teksi yang dipandu oleh warga Indonesia dan Bangladesh. Saya tidak menafikan ada syarikat yang baik, tetapi lebih banyak yang tidak baik. Risiko berlaku kemalangan tetap ada, tetapi pengusaha perlu meminimumkan risiko itu.
Berita Minggu
19 Ogos 2007