Oleh Johan Jaafar
Perasmian Tugu Peringatan Tentera Australia imbau sejarah zaman Jepun
PADA 4 September ini, ramai veteran perang dari Australia, United Kingdom (UK) dan mungkin Jepun akan berhimpun di pekan Parit Sulong, Johor. Pada hari itu akan dirasmikan Tugu Peringatan Tentera Australia. Tugu itu memperingati 145 tentera Australia dan India yang dibunuh oleh tentera Jepun pada 22 Januari 1942.
Ada yang mengatakan nama itu daripada salah seorang keturunan Panglima Gantang yang bernama Sulong, orang besar Kerajaan Johor dan Pahang yang tersingkir ke Bukit Inas. Ada pula yang mendakwa nama itu mengambil sempena nama bapa pengarah filem terkenal Jamil Sulong, salah seorang pengasas pekan itu, yang juga pernah menjadi penghulu. Keluarga Jamil juga menjadi mangsa kekejaman Bintang Tiga apabila Jepun menyerah kalah di Malaya.
Peristiwa pada 1942 itu berlaku di sekitar sebuah berek lama JKR yang masih berdiri di tepi jalan besar tidak jauh dari jambatan baru yang menyeberangi sungai besar di pekan itu.
Apabila tentera Jepun mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember 1942, mereka tidak menghadapi banyak tentangan sepanjang perjalanan. Mereka berjaya menundukkan bandar-bandar utama, termasuk Kuala Lumpur dengan pantas. Mereka sendiri tidak percaya tentera sekutu memberikan laluan mudah ke selatan.
Hanya di Bakri sebuah pekan tidak jauh dari Muar dan di pinggir Sungai Muar, barulah bala tentera Jepun bertemu buku dengan ruas. Mereka sampai di Muar 38 hari selepas pendaratan di Kota Bharu.
Di Muar dan Bakri, tentera Australia yang masih berkobar-kobar untuk membuktikan kejaguhan mereka sedang bertahan. Merekalah yang memberikan tentangan paling hebat bagi menghalang kemaraan mudah tentera Jepun ke Singapura.
General Tomoyuki Yamashita yang digelar ‘Harimau Malaya’ mengakui bahawa perang di Bakri adalah yang paling ‘sengit’ dihadapi oleh tentera Jepun. Sekiranya tidak, nescaya tentera Jepun akan sampai ke Singapura lebih awal daripada 45 hari. Yamashita juga mengakui bahawa Batalion 2/29 Tentera Diraja Australia (AIF) memberikan tentangan paling hebat pada pasukannya di Bakri. Akibatnya, banyak pegawai muda tentera Jepun maut di situ. Hal ini cukup memeranjatkan Yamashita dan pimpinan tentera Jepun di Malaya.
Pertahanan di Bakri dipimpin oleh Lt Jeneral Charles Anderson. Beliau adalah salah seorang penerima Victoria Cross atau pingat keberanian tertinggi dalam bidang ketenteraan kerana khidmat beliau di Bakri. Beliau juga penerima tunggal pingat itu dalam mana-mana medan tempur di Malaya. Pertempuran di Bakri menyebabkan banyak anggota tentera Australia yang maut dan cedera.
Apabila mereka sampai di Parit Sulong, arahan yang diterima oleh Anderson ialah meninggalkan mereka yang cedera dan sakit di situ, dengan harapan tentera Jepun akan menjadikan mereka tawanan perang dan merawat mereka sebaiknya.
Tugas Anderson untuk meletupkan jambatan Parit Sulong bagi menghalang kemaraan tentera Jepun. Beliau gagal melakukannya. Anderson berundur ke selatan untuk bersatu tenaga dengan pasukan sekutu bagi memperkukuh kedudukan di Singapura.
Tentera Australia yang berbaki di sekitar Parit Sulong dan Bakri menjadi kucar-kacir sementara mereka yang cedera dan sakit ditempatkan di berek JKR. Tentera Jepun sampai ke Parit Sulong dengan keadaan marah dan terhina. Mereka mendirikan ibu pejabat tentera di Panggung Wak Raden, sebuah pawagam milik orang tempatan yang baru dibina pada 1941.
Di Parit Sulong berkumpullah pemimpin tertinggi pasukan tentera Jepun yang menyerang Malaya. Di antara mereka ialah Lt Jeneral Takuma Nashimura, pegawai kanan Yamashita yang juga pegawai tertinggi ketika itu; Lt Tadahiro Inagaki, pegawai pentadbir batalion; Major Eisaku Morioka, yang bertanggungjawab terhadap logistik; Kolonel Kamejiro Imai, Ketua Staf dan Lt Seizaburo Fujita yang diberikan tugas menjaga tawanan perang di Parit Sulong.
Apa yang sebenarnya berlaku hari itu masih samar-samar. Nashimira yang akhirnya digantung kerana bertanggungjawab dalam peristiwa di Parit Sulong mungkin mengarahkan Fujita ‘menghapuskan’ tawanan perang. Mereka harus bergerak pantas ke selatan. Tawanan yang cedera dan sakit akan melambatkan pergerakan mereka. Lagi pula bekalan makanan dan peralatan diperlukan untuk menawan Singapura.
Menurut Lynette Ramsay Silver dalam bukunya The Bridge at Parit Sulong: An Investigation of Mass Murder, hanya tiga orang saja yang terselamat ketika tentera Jepun membunuh tawanan perang beramai-ramai hari itu. Mereka semua dibawa ke belakang berek itu untuk diikat pada palang dan ditembak. Sebahagian mayatnya dibuang ke Sungai Simpang Kiri sementara yang lain dibiarkan busuk di tempat pembunuhan.
Salah seorang yang ditugaskan untuk menanam mayat yang mulai reput dan berbau itu ialah Mohd Ali Mohd Salleh atau dikenal sebagai Tok Ali, bekas Ketua Kampung Parit Sulong. Saya dan Dr Chandran Jeshurun dari Badan Warisan Malaysia menemui beliau beberapa kali untuk mendapatkan gambaran sebenar peristiwa di Parit Sulong sebelum beliau meninggal dunia baru-baru ini. Beliau mengakui tidak menyaksikan sendiri pembunuhan itu, tetapi melihat bagaimana mayat yang sudah reput dan berkecai bergelimpangan di sepanjang jalan di hadapan berek dan juga di kawasan sekeliling di belakang berek itu.
Menurut buku Lynette itu, hanya tiga orang yang terselamat dalam kejadian itu – Lt Ben Hackney, Lt Hugh Tibitts dan Prebet Reg Wharton. Hackney bukan saja terselamat di Parit Sulong, tetapi bertahan di Penjara Pudu dan Changi, Singapura dan lebih istimewa lagi terselamat ketika dihantar ke sempadan Burma untuk menjadi tawanan perang menyiapkan jalan kereta api. Hackney meninggal dunia pada 1984 membawa bersama-samanya tragedi dan kesengsaraan perang di Malaya, khususnya di Parit Sulong. Tidak ada penghormatan tentera untuk beliau.
Parit Sulong hari ini banyak berubah. Jambatan bersejarah yang dikatakan dibina atas arahan Baginda Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim sudah digantikan dengan jambatan baru.
Jambatan lama itu penuh dengan pelbagai cerita dan peristiwa, termasuk peristiwa pembunuhan pada 1942 itu. Banyak pihak kesal mengapa jambatan lama itu dirobohkan. Tentera Inggeris dan Australia gagal meletupkan jambatan itu, begitu juga tentera Jepun, tetapi kontraktor tempatanlah yang merobohkannya tanpa sebarang pertimbangan pada kepentingan sejarahnya.
Mudah-mudahan dengan pembinaan Tugu Peringatan Tentera Australia itu akan meletakkan pekan kecil ini dalam peta sejarah dunia. Moga-moga bukti tinggalan peristiwa itu – dari berek hingga kawasan sekitar di mana berlakunya pembunuhan itu – akan dikekal dan dipelihara. Pekan ini memerlukan juga suntikan ekonomi daripada lawatan pelancong – khususnya veteran perang dan saudara mereka. Parit Sulong mempunyai rahsia yang lebih hebat daripada banyak tempat yang mengalami peristiwa sama di rantau ini.
Dengan pembinaan tugu ini mudah-mudahan akan menjadi mercu tanda satu peristiwa bersejarah yang selama ini hampir diabaikan.
Berita Minggu
19 Ogos 2007