WARISAN Alam Sekitar Dunia boleh didefinisikan sebagai “persekitaran asli yang mengandungi formasi fizikal dan biologi atau kumpulan bagi formasi seumpama, yang mempunyai nilai sejagat menakjubkan dari sudut estatik dan saintifik.
”Pulau Sipadan menepati kehendak definisi yang ditetapkan Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk memenuhi sebarang keperluan lain, bagi memastikan ia mendapat status terbabit dalam tempoh tiga tahun lagi.
Bagaimanapun, untuk mendapat status warisan dunia ini Malaysia perlu membuktikan komitmen penuh dalam usaha untuk memulihara warisan dimiliki mengikut kemampuan yang ada.
Antara komitmen terbabit membabitkan usaha menggariskan dasar yang sesuai, perundangan serta peraturan mantap, penyelidikan saintifik serta langkah untuk terus melindungi warisan dan nilai sejagat yang luar biasa.
Selepas melalui pelbagai peristiwa pahit dan manis, Sipadan kini diuruskan oleh Taman-Taman Sabah yang bertanggungjawab menjaga kuota penyelam, memulihara hidupan marin serta flora dan fauna di darat, serta mengadakan pelbagai penyelidikan.
Pengurus Taman Sabah, Ariffin Johari, berkata banyak perancangan sudah dibuat bagi memastikan pengurusan di pulau terbabit dilaksanakan selaras dengan usaha untuk mendapatkan status warisan dunia.
Pengalaman Taman-Taman Sabah mendapatkan status yang sama bagi Gua Mulu dan Taman Kinabalu, membuatkan Ariffin yakin Pulau Sipadan tidak menghadapi masalah untuk disenaraikan sebagai warisan dunia.
“Untuk mendapatkan status ini kita perlu menepati kriteria tertentu antaranya memastikan hidupan marin dan persekitaran laut Sipadan tidak mengalami sebarang gangguan pembangunan, langkah untuk meminimumkan kerosakan yang ada dan usaha melakukan pemuliharaan.
“Contohnya, kawasan terumbu karang yang mati kerana musnah seperti dilanggar tongkang tempoh hari ditutup kepada semua pengunjung, hidupan marin yang menjadikan Sipadan sebagai habitat tidak ‘menghilangkan diri’, pemuliharaan penyu, manakala flora dan fauna di darat turut dipulihkan,” katanya.
Ariffin berkata, pihaknya memang mengalu-alukan penyelidikan dan kajian untuk menaik taraf atau meningkatkan jumlah hidupan marin sedia.
“Antara kajian dilakukan selepas semua pengusaha pusat peranginan keluar dari Sipadan, kami dapati statistik penyu mendarat serta telurnya yang dikumpul mencatat peningkatan lebih 50 peratus,” katanya.
Berita Harian
20 Ogos 2007