Oleh Misiah Taib
Generasi muda mesti teruskan perjuangan pertahan isi kemerdekaan
KENANGAN mengusik jiwa, namun patah tumbuh hilang berganti. Itulah yang mungkin dirasai warga pra merdeka, termasuk kira-kira 3,500 veteran mewakili Umno, MIC dan MCA, yang turut serta bersama puluhan ribu warga Malaysia berkumpul di padang Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada malam 17 Ogos lalu.
Sebaik laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkumandang di segenap penjuru padang bersejarah itu, ada di kalangan veteran yang hadir kelihatan tidak dapat mengawal perasaan, sehingga sebilangannya mengesat air mata, menangis kegembiraan.
Apa lagi melihat kelibat model kereta sama yang pernah dinaiki Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, bersama bekas Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin dan Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab Abdul Aziz – kereta Nash Rambler Custom Convertible 1951, kali ini membawa pula Perdana Menteri kelima, wira Malaysia abad ke-21.
Jika pada 20 Februari 1956, Almarhum Tunku tiba menaiki kereta bernombor pendaftaran M 4442 itu ke Padang Pahlawan (kini Dataran Pahlawan), untuk mengumumkan tarikh negara merdeka, ketibaan Pak Lah ke lokasi sama pada malam 17 Ogos lalu adalah menandatangani Watikah Pengisytiharan Kemerdekaan Negara ke-50.
Mungkin mengimbau perit jerih yang dilalui sebelum merdeka dan perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan itu sendiri, pelbagai reaksi dapat disaksikan pada wajah veteran merdeka, yang turut dirakamkan di enam skrin televisyen gergasi yang dipasang di sekitar padang berkenaan.
Veteran seperti bekas Setiausaha Umno Melaka, Datuk Wira Borhan Md Yaman dan Datuk Fatimah Ahmad, malah Pengerusi Veteran Umno, Datuk Tajuddin Ali, antara yang hadir. Pengorbanan besar veteran merdeka, seperti dikatakan Pak Lah sendiri sanggup ‘berhabis-habisan’, bukan saja wang ringgit, malah barang kemas dan apa saja harta yang ada dalam memperjuangkan kemerdekaan, sememangnya tiada tolok bandingnya.
Justeru selayaknya Pak Lah sendiri memberi penghormatan kepada veteran berkenaan dengan menjemput mereka sama-sama naik ke pentas berdiri bersama beliau pada pertengahan ucapannya.
Majlis Sambutan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena kemerdekaan negara ke-50 itu berlangsung penuh warna-warni, dengan segmen imbasan kembali kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London pada 20 Februari 1956, selepas berjaya memperoleh kemerdekaan negara daripada British.
Segak berpakaian baju Melayu merah, Pak Lah diarak menaiki ‘kereta merdeka’ model Nash Rambler Custom Convertable 1951, dari Hotel Reinassance ke Dataran Pahlawan, sambil di sepanjang jalan disambut penduduk dan pelajar yang mengibarkan Jalur Gemilang dan puluhan ribu penduduk setibanya di padang Dataran Pahlawan.
“Ketika Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan 51 tahun yang lalu, saya turut berada di sini dan perasaan suka duka ketika itu sukar digambarkan. Malam Jumaat lalu, saya juga berada di sini dan cukup tersentuh melihat ribuan kanak-kanak turut berhimpun... nasib mereka tidak seperti kami dulu, dengan wujud kemerdekaan, budak-budak ini tak kira bangsa semuanya mendapat pelajaran dan kehidupan sempurna,” kata Fatimah, 69.
Dengan kelihatan bangga, Fatimah seterusnya menceritakan: “Puas... hati, memang puas hati saya melihat pencapaian negara selepas 50 tahun merdeka, Alhamdulillah... bersyukur kepada Allah SWT. Cuma hati benar-benar tersentuh, sedih, melihat kereta model sama yang pernah dinaiki Almarhum Tunku 51 tahun yang lalu. Ramai yang tidak tahu, dulu kita pinjam kereta itu daripada seorang Cina untuk membawa Almarhum Tunku.
“Hari ini kita miliki sendiri kereta model sama apabila Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan membelinya. Saya bangga kerana kita sudah ada kemampuan membelinya sendiri... semuanya adalah berkat daripada rahmat kemerdekaan,” katanya.
Fatimah juga diberi penghormatan menyerahkan keris dan watikah kemerdekaan negara ke-50 kepada Perdana Menteri pada majlis berkenaan, sambil diiringi enam pengawal berpakaian pahlawan Melayu.
Konvoi kemerdekaan membawa Pak Lah tiba di pekarangan Dataran Pahlawan tepat jam 9.15 malam sambil diiringi 50 motosikal klasik dengan sepanjang laluan jalan dikerumuni ribuan ahli Umno, MCA dan MIC, disusuli persembahan lagu Negaraku dan Malaysiaku Gemilang. Sebelum itu tayangan filem patriotik seperti Sarjan Hassan, Embun dan Leftenan Adnan turut dipersembahkan.
Suasana di Dataran Pahlawan benar-benar mengimbas kembali peristiwa bersejarah 51 tahun yang lalu, apabila ribuan ahli Pemuda Umno, MIC dan MCA, berpakaian baju dan seluar putih, selain membawa sepanduk antara lain berbunyi ‘Hidup Melayu’, ‘Malaya Tanah Air Tercinta’, ‘Melayu, Cina, India Bersatu Membina Malaya Yang Merdeka’ dan ‘Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baru’.
Kehadiran pelakon terkenal, Datuk Jalalluddin Hassan yang melakonkan semula watak Almarhum Tunku Abdul Rahman sekembalinya daripada mengetuai misi kemerdekaan di London juga begitu menyentuh perasaan.
Namun, percikan bunga api merdeka menerangi ruang udara Dataran Pahlawan selama lima minit sebelum acara berakhir pada jam 11.10 malam 17 Ogos lalu, bukanlah penanda berakhirnya perjuangan kita, selepas 50 tahun bergelar anak merdeka.
“Perjuangan kita belum selesai. Tugas mengisi kemerdekaan juga belum selesai biarpun dalam tempoh 50 tahun merdeka pemimpin bersilih ganti sudah pun berjaya membangunkan negara sehingga meningkat dari satu tahap ke satu tahap, menjayakan usaha pembangunan, mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Menjadi tugas dan tanggungjawab generasi penyambung pada hari ini untuk meneruskan usaha pembangunan bangsa dan negara, sekali gus menambah nilai diri, bangsa dan negara ke tahap lebih tinggi.
“Kita perlu memperbanyak dan menambahkan mutu serta nilai kerja kita, nilai khidmat kita dan nilai diri kita. Kita perlu memperkasakan diri kita dengan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi bagi memajukan lagi negara,” kata Pak Lah dalam ucapannya pada malam itu.
Justeru, marilah kita sama-sama menghayati pesanan pucuk kepemimpinan negara itu supaya generasi muda hari ini memahami dan menghayati makna sebenar kemerdekaan, yang bukan sekadar merayakan dan melaungkan ‘merdeka’ sekali setiap tahun.
Seperti ditegaskan Pak Lah: “Merdeka ertinya negara kita menjadi negara berdaulat, bangsa kita menjadi bangsa berdaulat, merdeka juga bererti kita memerintah negara kita sendiri, merdeka ertinya kita menentukan masa depan kita sendiri.
“Merdeka juga bermaksud kita mengisi kemerdekaan supaya kita menjadi bangsa yang maju, berjaya dan bangsa bermartabat. Merdeka dan bermartabat... inilah erti sebenar kemerdekaan.”
Marilah kita sama-sama meneruskan perjuangan mempertahankan kemerdekaan dengan sepenuh jiwa dan raga tanpa membenarkan sesiapa mencerobohi negara ini, sekali gus membuktikan bahawa kita benar-benar menghargai kemerdekaan yang kita warisi.
Penulis adalah Ketua Biro Berita Harian, Melaka
Berita Harian
20 Ogos 2007