SELAIN sebagai tempat menimba ilmu, sekolah sebenarnya adalah landasan yang penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum. Jika ia gagal memupuk semangat toleransi dan menghormati antara kaum di kalangan generasi muda, sudah pasti kesannya akan berlarutan dalam jangka panjang sehingga berpotensi menggugat kestabilan negara. Oleh itu, kita mahu semangat patriotik yang menjadi tunjang kekuatan pejuang kemerdekaan negara disemai di kalangan rakyat supaya Malaysia terus kekal menjadi negara berdaulat dan bermartabat. Semangat patriotik inilah yang menyatu padukan pemimpin pelbagai kaum di bawah kepemimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sehingga berjaya mengalahkan dasar pecah dan perintah penjajah British ketika menuntut kemerdekaan negara dulu. Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula melahirkan rasa kesal kerana beberapa program integrasi di sekolah yang sudah dipersetujui kerajaan tidak dapat dilaksanakan kerana ada pihak membantah sehingga tahap perpaduan pada masa ini dipersoalkan. Menurut Perdana Menteri, perpaduan dan toleransi kaum yang membolehkan Malaysia maju dan makmur selama ini mesti dipupuk di kalangan pelajar supaya mereka terus ‘menjadi kawan dan bukan lawan’ apabila meningkat dewasa kerana negara akan hancur jika rakyat pelbagai kaum bergaduh. Sememangnya, anak-anak kita dididik bahawa perpaduan, kerjasama, muafakat dan toleransi kaum itu amat penting, supaya apabila membesar nanti mereka dapat bersama.
Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan pada peringkat sekolah untuk menyemai nilai jati diri ke arah perpaduan membabitkan semua bangsa. Kita tidak mahu pembelajaran dan pengajaran hanya berorientasikan peperiksaan sehingga pelajar lupa sahsiah diri. Niat kerajaan apabila mewujudkan sekolah kebangsaan atau sekolah wawasan selama ini adalah untuk memperkukuh persefahaman jitu antara pelajar pelbagai kaum dan fahaman agama. Kita mesti ingat falsafah pendidikan negara iaitu suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian serta kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, kita menyambut baik kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin bahawa kementeriannya akan melaksanakan program khas sebelum akhir bulan ini bagi meningkatkan lagi perpaduan di kalangan murid sekolah berlainan aliran atau sekolah yang didominasi satu kaum saja. Kita mahu menyemai nilai ini kepada anak kita sejak di bangku sekolah lagi.
Satu lagi perkara ialah aspek pembangunan sahsiah yang mesti diberi perhatian sewajarnya dalam usaha melengkapkan pelajar dengan pengetahuan. Tiada ertinya bagi negara dan bangsa sekadar melahirkan lulusan yang mempunyai pencapaian akademik cemerlang, tetapi tidak memiliki sifat nilai amanah, bertanggungjawab, jujur dan adil. Tanpa falsafah dan pendirian kepemimpinan yang murni, semangat berkhidmat untuk bangsa dan negara akan menjadi tipis. Ketika itu, negara akan tempang dan jika berlarutan, kemerdekaan bangsa akan tergadai dan negara akan runtuh. Sempena sambutan kemerdekaan negara ke-50 yang bakal disambut tidak lama lagi, semua pihak harus berazam menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman makmur dengan rakyatnya menikmati pembangunan dan kemajuan dalam semangat penuh keharmonian.
Berita Harian
20 Ogos 2007