Khamis, 23 Ogos 2007

Pendidikan kesihatan melonjak selepas 2000

BIDANG perubatan adalah bidang yang menjadi pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi. Kira-kira 18 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini menawarkan ijazah perubatan.

Ada institusi pengajian tinggi swasta yang menganugerahkan ijazah perubatan mereka sendiri, namun kebanyakannya menganugerahkan ijazah kedoktoran melalui program berkembar dengan universiti di luar negara yang kelayakannya diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia, contohnya Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Ada juga kolej swasta lain yang menawarkan kursus pra-perubatan sebelum pelajar ini memohon untuk memasuki kursus perubatan di institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Pendidikan perubatan di Malaysia berkembang selepas negara ini mencapai status merdeka pada1957. Perkembangan ini menjadi sangat pesat selepas 2000.

Tidak banyak kajian sejarah dibuat mengenai pendidikan perubatan di Malaysia sebelum merdeka. Walaupun ada usaha untuk mengkaji mengenai doktor Melayu yang mendapat ijazah mereka sebelum merdeka, hasil kajian itu belum lagi disebarkan untuk tatapan masyarakat umum.

Menurut buku yang di tulis oleh Muzaffar Desmond Tate Abdullah, Khoo Kay Kim dan Selvamany Gabriel yang diterbitkan oleh Akademi Perubatan Malaysia pada 2005 dan juga beberapa rujukan di laman web, sekolah perubatan pertama di negara ini mula beroperasi pada 3 Julai 1905 di Singapura dan dikenali sebagai ‘The Straits and Federated Malay States Government Medical School.’

Ia kemudian dikenali sebagai Kolej Perubatan King Edward VII. Kolej ini mengambil kumpulan pertama pelajar perubatan pada 1905. Pelajar perubatan yang menamatkan pengajian pada 1911 dikurniakan ijazah ‘Licentiate in Medicine and Surgery (LMS-Malaya)’.

Pada 1923, kelayakan akademik ini mendapat pengiktirafan oleh General Medical Council, United Kingdom (UK) sebagai kelayakan yang boleh didaftarkan untuk mengamal di UK. Antara graduan perubatan Kolej Perubatan King Edward VII yang terkenal adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau memulakan pengajian perubatannya pada 1947 dan dianugerahkan ijazah perubatan pada 1952.

Pada 1949, Universiti Malaya ditubuhkan. Universiti ini adalah gabungan dua institusi pengajian tinggi pada masa itu di Tanah Jajahan Malaya dan Singapura iaitu gabungan Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward VII.

Selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, dua pentadbiran autonomi universiti ini ditubuhkan pada 1959, iaitu satu di Singapura dan satu di Kuala Lumpur. Kerajaan Tanah Melayu pada masa itu melahirkan hasrat untuk menukar status cawangan Universiti Malaya di Kuala Lumpur menjadi sebuah universiti kebangsaan.

Pada 1962, Universiti Malaya ditubuhkan secara rasminya di Kuala Lumpur. Cawangan universiti ini di Singapura pula dikenali sebagai Universiti Singapura.

Fakulti Perubatan Universiti Malaya ditubuhkan pada 1963 untuk menangani kekurangan doktor tempatan pada masa itu. Kumpulan pertama pelajar perubatan universiti ini mendaftarkan diri pada 1964. Universiti Hospital, iaitu hospital pengajar bagi Universiti Malaya dibina pada 1965.

Peletakan batu asas pembinaan hospital ini dilakukan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak Hussein ketika beliau merasmikan pembukaan Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Hospital ini siap dibina pada 1968 dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agung pada masa itu, Tuanku Ismail Nasarudin Shah Ibni Alharmahum Sultan Zainal Abidin.

Graduan pertama universiti ini dianugerahkan ijazah MBBS (Malaya) pada 1969. Fakulti ini telah dikunjungi satu kumpulan yang mewakili General Medical Council (GMC) dan menyarankan kepada GMC supaya kelayakan MBBS (Malaya) diiktiraf GMC.

Bagaimanapun, disebabkan masalah dihadapi Universiti Malaya pada masa itu, pengiktirafan ini ditarik balik pada 1980-an.

Selepas negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957, banyak perkembangan dicapai dalam bidang pendidikan secara amnya. Perkembangan dalam pendidikan perubatan mula dilihat selepas 1970-an dan menjadi sangat pesat selepas 2000.

Perkembangan program perubatan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta ini dapat dilihat dengan lebih jelas seperti berikut:

Sekolah Perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam:

> Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada 1973 untuk menghasilkan lebih ramai graduan perubatan tempatan bagi menampung kekurangan bilangan doktor sedia ada. Fakulti ini menghasilkan graduan perubatannya yang pertama pada 1979.

> Fakulti Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) adalah sekolah perubatan ketiga ditubuhkan pada 1981. Sekolah ini menghasilkan graduan pertamanya pada 1986.

> Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) ditubuhkan pada 1996. Sekolah ini menghasilkan graduan pertamanya pada 2001.

> Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) memulakan pengajian pra-siswazah perubatan pada 1995. Ia mengeluarkan graduan pertamanya pada 2000.

> Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) adalah sekolah perubatan pertama yang wujud di Malaysia Timur. Ia mendaftarkan kumpulan pertama pelajar perubatan pada 1995. Kumpulan pertama ini menamatkan pengajian pada 2000. Sekolah perubatan ini adalah sebuah sekolah perubatan yang mempraktikkan pengajaran berasaskan masalah (PBL) di dalam kurikulumnya.

> Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditubuhkan pada 2003. Kumpulan pertama pelajar perubatan di universiti ini belum lagi menamatkan pengajian mereka.

> Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada awalnya ditubuhkan sebagai Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pada 2002. Pada 2004, ia dipisahkan menjadi Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan. Kumpulan pertama 20 pelajar perubatan memulakan pengajian pada 2003 dan dijangka menamatkan pengajian pada 2008.

> Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mula beroperasi pada 2004. Kumpulan pertama pelajar perubatan seramai 29 orang memulakan pengajian mereka pada 2005 dan dijangka menamatkan pengajian pada 2011.

Sekolah Perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta:

> Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) ditubuhkan pada 1992 sebagai Kolej Perubatan Antarabangsa. Kolej ini diberikan taraf universiti pada 1999.

> Penang Medical College (PMC). Kolej Perubatan ini mula beroperasi pada 1996. Sejak 1999, enam kumpulan pelajar menamatkan pengajian mereka dan pada masa ini turut menyumbang di dalam perkhidmatan kesihatan sebagai pegawai perubatan dan pakar di Malaysia dan juga di luar negara.

> Melaka-Manipal Medical College (MMMC). Kolej Perubatan ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Manipal Academy of Higher Education pada 1993. Program perubatan yang ditawarkan membabitkan pembelajaran fasa pra-klinikal di India dan fasa klinikal dijalankan di Malaysia.

> Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST). Kolej ini memulakan operasi mereka pada 2001.

> Kolej Sains Perubatan Allianze (ACMS). Kolej ini memulakan operasi pada 2005.

> Universiti Antarabangsa Kolej Sedaya (UCSI). Kolej universiti ini mendaftarkan kumpulan pertama pelajar perubatan pada 2006. Pelajar ini dijangka menamatkan pengajian mereka pada 2011.

> Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS). Kolej universiti ini ditubuhkan secara rasmi pada 2005. Kumpulan pertama pelajar perubatannya memulakan pengajian pada 2005 dan dijangka menamatkan pengajian mereka pada 2011.

> Kolej Perubatan Diraja Perak memulakan operasi mereka pada 1999 dengan nama Kolej Perubatan Perak. Pada 2004, Sultan Perak berkenan untuk memberikan taraf ‘Diraja’ pada kolej ini.

> Universiti Monash, Malaysia. Kursus perubatan ditawarkannya mendapat akreditasi Australian Medical Council (AMC). Kursus perubatan ini dijalankan sepenuhnya di Malaysia. Kumpulan pertama pelajar perubatannya memulakan pengajian pada 2007 dan dijangka menamatkan pengajian mereka pada 2012.

Walaupun bilangan sekolah perubatan di negara ini meningkat selepas merdeka, hingga pada hari ini, ia masih belum dapat mengeluarkan bilangan doktor bertauliah yang cukup untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

Menurut fakta yang dikeluarkan oleh KKM, bilangan doktor berdaftar pada 2005 adalah seramai 20,105 orang dengan nisbah doktor:bilangan penduduk adalah 1:1300.

Walaupun negara kita sudah mengecapi kemerdekaan selama 50 tahun, masalah kekurangan doktor dan tenaga pengajar di sekolah perubatan masih belum dapat di atasi hingga ke hari ini. Sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai status seorang doktor bagi 600 orang pesakit pada 2018, adalah diharapkan bukan bilangan saja yang dipentingkan. Kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh doktor ini mestilah lebih diutamakan berbanding bilangan mereka.

Berita Harian
22 Ogos 2007