Khamis, 23 Ogos 2007

Patriotisme bukan hanya kibar bendera

OGOS adalah bulan kemerdekaan, bulan yang menuntut individu bergelar rakyat Malaysia menzahirkan patriotisme dan menghayati erti kemerdekaan sebenar. Sebut saja patriotisme, yang terlintas di fikiran ialah kibaran Jalur Gemilang, perarakan, perbarisan dan laungan Merdeka yang bergema setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Wujud semacam stereotaip seolah-olah itulah patriotisme atau kesetianegaraan. Walhal ukuran patriotisme cukup subjektif dan amat luas ertinya. Ia bukan isu politik atau gimik dan tidak sekadar semangat. Ia lebih bersifat spiritual, rasa kecintaan yang mendalam, subur dan kental kepada negara yang turut dicirikan oleh beberapa nilai seperti kesungguhan, keyakinan, keberanian dan kesinambungan.

Menyemarakkan semangat patriotisme suatu hal tetapi menyayangi negara adalah hal yang berbeza. Memadaikah dengan mengibar Jalur Gemilang pada kereta atau rumah sebagai manifestasi patriotisme untuk membuktikan seseorang itu berjiwa patriotik dan memahami erti sebuah kemerdekaan?

Bukankah sifat seorang pekerja yang amanah, berdisiplin, sifar rasuah dan menganggap tanggungjawab sebagai satu ibadat dianggap patriotik?

Tentunya seseorang itu berjiwa patriotik jika ia tidak terbabit dengan gejala vandalisme seperti merosakkan harta awam.

Gejala negatif ini bukan saja merendahkan tamadun malah jelas mencerminkan kelunturan kesedaran sivik dan betapa gersang semangat patriotisme. Vandalisme mencetuskan pelbagai implikasi. Selain kerugian besar kepada kerajaan, perilaku seumpama itu turut mengancam ketenteraman dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Jika tidak dibendung sudah tentu gejala buruk ini akan diwarisi generasi akan datang dan lambat laun masyarakat akan melupakan nilai kesopanan dan kesusilaan.

Menghayati keindahan tanah air sendiri juga adalah sebahagian daripada nilai patriotisme yang perlu tersemat di sanubari setiap rakyat. Kalau bukan kita sendiri yang menghargai keindahannya, siapa lagi?

Konsep melancong dalam negara sepatutnya diterima secara meluas dan dijadikan satu budaya kerana ia akan menyuburkan lagi rasa kecintaan kepada tanah air.

Destinasi pelancongan bukan terhad kepada pantai, air terjun atau hutan lipur tetapi turut meliputi keindahan semula jadi, ladang getah dan kelapa sawit yang menghijau serta rumah tradisional kampung di sepanjang perjalanan ke destinasi itu.

Menyokong dan membeli barang buatan tempatan juga tidak saja mencerminkan patriotisme malah boleh mengurangkan import barangan bagi memastikan ekonomi negara terus terpelihara.

Kecintaan kepada alam sekitar atau ‘pro-persekitaran’ dengan mematuhi undang-undang atau akta yang berkaitan dengan pengurusan hasil bumi juga boleh dikaitkan dengan patriotisme.

Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatakrama, bertatasusila luhur, berupaya memaju, melindungi dan mematuhi serta memulihara undang-undang dan peraturan.

Untuk membentuk masyarakat madani, pemupukan nilai murni menerusi pendidikan dan tarbiah secara berkesan penting kerana pembangunan material serta kepesatan perkembangan ekonomi semata-mata belum menjanjikan terbinanya masyarakat bermoral.

Gejala keruntuhan moral yang berlaku sekarang adalah satu tamparan kepada proses pembentukan insan yang dicita-citakan. Generasi muda alaf ini tidak lagi meletakkan maruah sebagai aset penting dalam kehidupan.

Di mana letaknya maruah dan imej bangsa sekiranya pembangunan yang diadun itu hanya melemahkan moral dan tatasusila warga Malaysia? Dan apakah erti kemerdekaan kalau nilai kehidupan bangsa tidak dapat dibetulkan?

Sewajarnya kita memerdekakan minda kita daripada budaya memuliakan orang hina seperti pelaku rasuah yang dapat hidup mewah, sebaliknya menghinakan orang mulia yang bersih tetapi selalu tersisih.

Sindrom penyakit minda `lulus cukup makan’ di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi juga harus dikikis kerana ia bukan saja membantut proses perkembangan diri malah membuatkan mereka tidak mempunyai ketahanan diri.

Mereka juga seharusnya mereformasi tatasusila diri dan mempamerkan identiti yang bersih supaya nilai murni tidak tenggelam dek emosi darah muda yang tiada batasannya.

Adakah golongan ini patriotik sedangkan mereka ternyata tidak menghargai peluang dan pengorbanan orang lain bagi membolehkan mereka melangkah ke menara gading dan memenuhi impian ibu bapa, masyarakat dan negara? Patriotisme merangkumi kecintaan kita mengamalkan semangat kekitaan dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.- Bernama