WALAUPUN Selangor terkenal sebagai negeri paling pesat membangun di negara ini, terutama dengan pembukaan beberapa bandar dan bandar raya terkemuka seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Cyberjaya, banyak lagi kawasan lain akan dibangunkan.
Selangor terbahagi kepada sembilan daerah dengan tumpuan pembangunan terletak di kawasan Lembah Klang dan kedudukan ibu negara, Kuala Lumpur di tengah-tengah Lembah Klang dan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, menjadi nilai tambah kepada perkembangan ekonomi negeri.
Pengenalan beberapa projek pembangunan dan ekonomi seperti I-City di tepi Lebuhraya Persekutuan, Taman Sains Selangor 2 (SSP2) bersebelahan Cyberjaya dan Sepang Goldcoast di Pantai Bagan Lalang, adalah antara projek pembangunan yang bakal dan sedang dibangunkan untuk menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing ke Selangor.
Pembangunan projek I-City bernilai RM2 bilion di atas tanah seluas 28.8 hektar di pinggir Shah Alam itu adalah projek terkini yang bakal menjadi pusat teknologi maklumat di Shah Alam.
Namun, ia bukan sekadar pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menawarkan lokasi untuk syarikat ICT beroperasi, sebaliknya ia juga bakal menjadi kompleks pelaburan ICT untuk masyarakat ICT antarabangsa. Apabila siap kelak, I-City akan menjadi perbandaran moden berintegrasi yang menawarkan gaya hidup unik berasaskan ICT.
I-City Properties Sdn Bhd, anak syarikat I-Berhad, pengeluar produk digital terkenal yang diberi keyakinan menjayakan projek itu berhasrat membangunkan masyarakat ICT yang bukan saja terdiri daripada pemilik syarikat pengeluar produk ICT, malah bakal menempatkan pusat produk runcit berkaitan ICT di Shah Alam.
Selaras usaha itu, semua syarikat yang beroperasi di situ akan menerima status Koridor Raya Multimedia (MSC) dan menikmati insentif sama dengan syarikat yang beroperasi di Cyberjaya.
Kemudahan dijanjikan I-City juga sebenarnya tidak kurang menarik, kerana selain terletak di tepi lebuh raya utama, I-City juga menawarkan kemudahan super jalur lebar antara 10 megabit sesaat (Mbps) hingga satu gigabit sesaat (Gbps) serta memberikan perkhidmatan telekomunikasi bertindih bagi memastikan kelancaran rangkaian internet dan komunikasi.
Pengenalan telefon fleksibel yang menggunakan perisian khusus juga membolehkan telefon yang digunakan di pejabat diubah ke lokasi lain dan terus digunakan, tanpa perlu menghubungi syarikat yang menawarkan perkhidmatan talian untuk menghubungkan semula talian.
I-City juga mempunyai pusat data yang boleh dihubungi dengan talian internet dari mana-mana saja di dunia; rangkaian internet tersedia yang boleh digunakan tanpa perlu menunggu syarikat telekomunikasi memasangnya kerana ia dihubung terus dengan rangkaian internet utama; perkongsian fail yang boleh dilakukan, walaupun dari luar I-City serta satu sistem penyambut tetamu yang menerima panggilan luar dan disambungkan ke syarikat beroperasi dalam I-City.
Satu lagi kelainan cuba diketengahkan ialah sistem pejabat pintar yang mampu mengurangkan kos penyenggaraan berikutan kerjasama I-City dengan beberapa syarikat antarabangsa yang menawarkan penyenggaraan pejabat pintar.
Kerjasama dengan Cisco adalah untuk membangunkan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian, manakala kerjasama yang dijalin dengan ServCorp bagi penyenggaraan perkhidmatan berasaskan internet.
Apabila siap kelak, I-City akan terbahagi kepada ruang niaga dan pejabat, kediaman, institusi pendidikan serta hotel untuk memberikan kemudahan kepada satu lagi komuniti di Shah Alam dengan fasa pertama dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Selepas kejayaan Taman Sains Selangor 1 (SSP1) di Kota Damansara yang menarik minat pelbagai syarikat besar untuk beroperasi di situ, SSP2 dimulakan untuk mengulangi kejayaan sama.
Jika SSP1 terletak berhampiran Kuala Lumpur, SSP2 pula terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya dan Putrajaya.
Sesuai dengan gelaran negeri maju, pembukaan SSP2 adalah untuk meneruskan program pembangunan bagi memastikan sumber berterusan ke arah pembangunan seperti industri, pelaburan, maklumat dan pengetahuan serta kepakaran.
Pengarah Perkhidmatan Perundingan FI Group Sdn Bhd, syarikat perunding untuk pembangunan SSP2, Roslee Ishak, berkata SSP2 mengandungi kawasan industri, kawasan pembangunan komersial, kediaman, rekreasi, pusat hiburan, pusat perubatan dan kemudahan awam, bagi mewujudkan komuniti dan kawasan perbandaran baru yang melengkapi Cyberjaya.
Beliau berkata, selaras dengan usaha menyokong pertubuhan perindustrian di Selangor, hanya syarikat yang berasaskan teknologi tinggi diterima beroperasi di SSP2. “Syarikat yang beroperasi bakal menerima status perintis, elaun cukai pelaburan, insentif kajian dan penyelidikan serta geran untuk industri kecil sederhana.
“Pembangunan kawasan seluas 280 hektar itu akan membabitkan kos RM1.2 bilion dan beberapa syarikat multinasional sudah mula menunjukkan minat mereka untuk beroperasi di situ,” katanya.
Kini, kata Roslee kemudahan asas di kawasan itu masih belum dibangunkan dengan sempurna, tetapi menjangka ia siap sepenuhnya menjelang Mac 2008.
Katanya, laluan masuk ke kawasan itu juga dimulakan bulan ini dengan pembinaan persimpangan bertingkat dari Putrajaya bagi memudahkan ia dihubungi dari Lebuhraya Elite.
Beliau berkata, bagi memudahkan bakal pelabur, setiap pembeli hartanah di situ juga boleh memilih reka bentuk sedia ada dan boleh terus menghantar pelan bangunan untuk mendapat kelulusan segera.
Sektor pelancongan adalah satu lagi sektor yang mendapat perhatian kerajaan Selangor untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu, seterusnya meningkatkan pendapatan negeri dan penduduknya.
Pembukaan Sepang Goldcoast di Bagan Lalang, di Sepang adalah usaha memperbanyakkan tarikan pelancong ke Selangor, dengan menawarkan hartanah mewah di pesisir pantai yang kaya dengan sumber alam seperti paya bakau dan pantai yang cantik.
Tarikan berkonsepkan ekopelancongan itu akan dibangunkan di kawasan sepanjang 22 kilometer (km) bermula dari muara Sungai Sepang Kecil dan Sungai Sepang Besar serta Pantai Bagan Lalang hingga Tanjung Rhu, hasil kerjasama Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Sepang Bay Sdn Bhd.
Projek pelancongan dengan nilai pelaburan sebanyak RM3 bilion itu membabitkan 366 unit villa air mewah, pusat beli-belah, restoran dan pelbagai tarikan apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun lagi. Pada masa ini, pemaju sedang menyiapkan Golden Palm, iaitu rangkaian villa air mewah yang bernilai RM180 juta.
Pembangunan projek besar di sekeliling Lembah Klang dan di kawasan yang bakal digelar Lembah Klang 2 itu dijangka merancakkan lagi usaha Selangor untuk terus maju dan pada masa sama menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini.
Berita Harian
21 Ogos 2007