KEJAYAAN pasukan negara muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Formula Future Dunia di Jerman, Ahad lalu dengan mengutip dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa amat membanggakan, lebih-lebih lagi menjelang kita menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Kecemerlangan berpaksikan slogan Malaysia Boleh itu dicatatkan ketika sukan utama negara khususnya bola sepak, hoki dan badminton terkapai-kapai mencari hala tuju di persada antarabangsa. Meskipun kejayaan itu sedikit sebanyak berupaya mengubat kekecewaan skuad badminton dalam Kejohanan Dunia serta pasukan bola sepak kebangsaan di Piala Asia baru-baru ini, soalnya sampai bila sukan seperti bola sepak, hoki, badminton, olahraga berada pada takuk lama dan bolehkah bangkit semula pada tahap dunia. Apakah kita perlu menunggu 50 tahun atau 100 tahun lagi untuk melihat kembalinya kegemilangan bola sepak negara seperti pada era Allahyarham Mokhtar Dahari atau melihat kembali era badminton seperti zaman kegemilangan anak Datuk Sidek. Kejayaan diperoleh dua anak muda negara, Khairuddin Abdul Khalil, 9, yang menjuarai Kelas Satu untuk pingat emas pada kejohanan Formula Future Dunia dan Syazwan Mohd Noor, 11, bagi pingat emas dengan menjuarai Kelas Dua membuktikan bahawa masa depan negara dalam bidang sukan itu adalah cerah jika bakat sudah diasah dari kecil lagi. Begitu juga dengan bola sepak yang mempunyai pasukan tiga peringkat umur Bawah 15, Bawah 19 dan Bawah 20 yang harus diberi perhatian untuk mengembalikan semula imej bola sepak negara.
Kita ada sekolah sukan di Bukit Jalil dan selepas 50 tahun merdeka, segala kemudahan sukan sudah disediakan. Kita ada stadium untuk pelbagai jenis sukan. Tetapi di mana silapnya apabila prestasi sukan negara tetap tidak berubah kecuali dalam permainan bowling dan skuasy. Bukan fizikal menjadi ukuran atau alasan kerana atlit Jepun, China dan Korea Selatan juga hampir sama seperti kita. Apakah arahan Kabinet melarang ahli politik terutama Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen memegang jawatan dalam badan sukan akan memberi kesan. Di Amerika Syarikat, pembabitan ahli politik amat terhad kerana amalan di negara itu, persatuan sukan diterajui jurulatih profesional, pengurus atau bekas atlit. Tempoh memegang jawatan juga dihadkan dengan maksimum hanya dua penggal, tanpa ada istilah presiden seumur hidup. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Kongres Patriotisme Remaja 2007 di Putrajaya minggu lalu, memberi contoh pasukan bola sepak, badminton dan hoki negara yang satu ketika dulu pernah menjadi juara pada peringkat serantau mahupun dunia tetapi kerana kealpaan, mereka kini sukar menang dalam sesuatu pertandingan.
Kita berharap semua persatuan sukan di negara ini melakukan sesuatu bagi mengkaji punca sebenar kemerosotan pelbagai jenis sukan negara dan memikirkan langkah seterusnya untuk memperbaiki keadaan. Selepas 50 tahun merdeka, dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan negara, tiba-tiba prestasi sukan negara semakin merosot. Apakah kita sudah alpa dengan kejayaan lalu. Setengah abad merdeka tidak bermakna Malaysia boleh berpuas hati dengan pelbagai kejayaan dan pembangunan yang dicapai kerana usaha memperkasakan diri masih perlu untuk menghadapi cabaran masa depan. Kita yakin generasi pasca merdeka mempunyai kebolehan dan kemampuan menguruskan bidang sukan negara dengan lebih hebat asalkan semua pihak mempunyai iltizam untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.
Berita Harian
21 Ogos 2007