Khamis, 23 Ogos 2007

Risda capai matlamat penubuhan

Agensi diilham Allahyarham Tun Razak tingkat taraf hidup pekebun kecil

MENJELANG sambutan kemerdekaan negara minggu depan, rakyat terutama masyarakat Melayu atau Bumiputera lain yang berada di luar bandar tidak akan lupa jasa Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Perdana Menteri kedua itulah melahirkan pelbagai agensi bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat Bumiputera dan ini termasuk penubuhan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Meskipun selepas sekian lama industri getah negara berada dalam keadaan malap, ia kini kembali menyinar dengan kenaikan harga komoditi itu ke paras yang lebih selesa. Ini sekali gus memberikan nafas baru kepada industri itu setelah sekian lama ‘tidak dipedulikan’ berikutan harganya di pasaran antarabangsa merudum sehingga pokok getah di kampung mati begitu saja.

Namun, apabila harga getah mula naik mendadak sejak kebelakangan ini, pokoknya sudah mula dijenguk dan ditoreh. Minat masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil untuk menoreh sudah meningkat kembali selepas mendapati kegiatan ekonomi itu mampu memberi sumber pendapatan lumayan.

Siapa sangka, kini ramai yang sudah menjadikan kegiatan menoreh getah sebagai kerja sampingan. Guru sekolah dan kakitangan kerajaan juga antara mereka yang menggunakan masa lapang melakukan kegiatan berkenaan.

Dalam hubungan ini, peranan Risda tidak dapat dinafikan kerana bertindak mengurus, mengendali dan membangunkan sektor itu untuk memastikan nasib pekebun kecil yang menyumbang 95 peratus kepada pengeluaran komoditi berkenaan, terus terbela.

Justeru, Risda pada pertengahan 1994 menggunakan pendekatan baru untuk memantapkan industri getah dan sektor pekebun getah supaya mengekalkan potensinya sehingga masa depan.

Penubuhan Risda adalah sebagai langkah untuk memperbaiki dan meningkatkan taraf sosioekonomi pekebun kecil. Pelbagai program bersepadu dilakukan untuk memastikan masalah pekebun kecil dapat ditangani menerusi pembaharuan bidang penanaman semula, pembekalan benih bermutu tinggi serta perkhidmatan lain seperti pengurusan kebun, pembukaan ladang, pemerosesan dan pemasaran.

Kajian oleh International Rubber Study Group menunjukkan harga getah akan berada pada tahap yang memberangsangkan sehingga 2020. Dengan harga kira-kira RM7.09 sekilogram (kg) ia boleh mencecah kepada RM9.06 pada 2010 dan seterusnya RM11 pada 2020.

Jika dilihat dari segi pengeluaran hasil getah negara untuk lima bulan pertama tahun ini, ia mencatat sebanyak 489,632 tan iaitu peningkatan 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi eksport pula untuk tempoh sama, turut meningkat kepada 72,589 tan. Secara keseluruhannya eksport getah Malaysia adalah ke China iaitu sebanyak 127,000 tan; Jerman (57,000 tan); Amerika Syarikat (24,000 tan); Perancis dan Korea masing-masing (22,000 tan); Brazil (14,000 tan) dan Portugal (10,000 tan).

Ketua Pengarah Risda, Datuk Mohammad Izat Hassan, berkata Risda akan mengekalkan tradisi membela nasib golongan pekebun getah menerusi pelbagai program.

Katanya, kesungguhan kerajaan ke arah itu terserlah apabila memperuntukkan RM1.051 bilion bagi tujuan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil, selain menjalankan aspek pengembangan, ekonomi tambahan dan membina prasarana.

“Tahun ini saja kerajaan memperuntukkan RM238 juta bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Berdasarkan potensi yang ada, projek tanam semula dan tanam pokok getah baru dipergiatkan mulai tahun ini. Mengikut Dasar Komoditi Getah Negara, Risda perlu mengelakkan keluasan tanaman getah produktif negara tidak kurang daripada 800,000 hektar dan mengekalkan pengeluaran getah negara sekurang-kurangnya 1.2 juta tan setahun.

Risda menerusi kerjasama Lembaga Getah Malaysia juga dari semasa ke semasa sentiasa meneroka teknologi baru untuk menggalak dan meningkatkan pengeluaran getah negara seperti memperkenalkan klon baru serta penggunaan alat perangsang.

Setakat ini, Risda sudah menggunakan 33 klon dengan yang terbaru Latex LTC Siri 2000. Selain itu, penggunaan kaedah ethylene – ia dapat merangsang pengeluaran susu getah dengan peningkatan 30 peratus berbanding kaedah penorehan biasa selain sistem torehan intensiti rendah (menoreh tiga atau enam kali sehari bagi menggantikan kaedah lama menoreh setiap hari).

Ketika ini, Risda juga sedang menjalankan kajian dengan kerjasama saintis di Lembaga Getah Malaysia untuk memperkenalkan sistem torehan awal. Menerusi sistem berkenaan, semua pokok getah boleh mengeluarkan hasil selepas tiga setengah tahun ditanam selama enam tahun.

“Kita akan dapatkan teknologi itu untuk diguna pakai oleh pekebun kecil. Oleh itu, pekebun tidak akan menunggu lama untuk menoreh getah mereka.

“Risda akan melaksanakan dengan gigih untuk membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil. Oleh itu, peluang yang terbuka luas seharusnya membuka mata masyarakat terutama pekebun getah yang tidak aktif untuk memulakan semula aktiviti itu,” katanya.

Oleh Jami'ah Shukri

Berita Harian
22 Ogos 2007