KALI terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjejak kaki di Felda Sendayan, awal tahun lalu, lebih 50,000 cucuk sate dan 800 batang lemang disediakan kerajaan negeri serta jutawan Felda di situ untuk dijamu kepada lebih 10,000 tetamu yang hadir.
Ketika itu, kehadiran Perdana Menteri adalah untuk menyempurnakan acara simbolik penyerahan cek pampasan kepada peneroka Felda yang bersetuju menjual tanah mereka kepada kerajaan negeri untuk dibangunkan selepas 10 tahun tergendala.
Sebagai balasannya, lebih 500 peneroka terbabit menerima pampasan RM450,000 hingga RM550,000, tanah pertanian 0.8 hektar bernilai RM350,000 serta sebuah banglo bernilai lebih RM200,000.
Kejayaan mengatasi masalah dihadapi orang kampung itu nyata menggembirakan Pak Lah yang diterjemahkan melalui luahannya, “... saya juga tumpang gembira dan bersyukur dengan perkembangan ini.”
Hari ini, pemimpin tertinggi negara sekali lagi bertandang ke Felda yang terletak di laluan antara bandar ini dan Sepang, kali ini untuk melihat perkembangan di kawasan itu selepas setahun setengah berlalu.
Selepas lebih setahun, suasana di kawasan itu sudah berubah, deretan banglo untuk peneroka sudah kelihatan dan bakal disusuli pelbagai projek pembangunan lain yang sudah dirangka kerajaan negeri.
Tidak lama lagi, akan wujud kawasan pertumbuhan baru di situ, dikenali sebagai Bandar Seri Sendayan (BSS), satu daripada pakej pembangunan di barat Negeri Sembilan yang turut meliputi Nilai, Bandar Enstek dan Labu Jaya dengan pengisiannya dalam sektor pendidikan, bioteknologi dan farmaseutikal.
Pembangunan sedemikian menyokong hasrat Pak Lah yang tidak mahu penduduk kampung, terutama generasi muda terlalu ghairah berhijrah ke bandar seperti pesannya ketika melawat Felda Sendayan, awal tahun lalu.
“Jangan ingat tinggal di kampung tidak boleh usaha apa-apa... perlu ke Seremban atau Kuala Lumpur saja. Di kampung juga banyak yang masih boleh diusahakan kerana pokok pangkalnya mahu atau tidak saja,” katanya.
Keprihatinan pemimpin tertinggi negara menjenguk penduduk Sendayan, amat disanjung peneroka kawasan terbabit serta ahli keluarga mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sendayan, Mohd Yusof Ismail, berkata mereka amat terharu, berbesar hati dan berbangga dengan kesudian Pak Lah datang sekali lagi bertandang ke kawasan berkenaan.
“Kami amat bertuah kerana dah dua kali Pak Lah sudi datang ke Sendayan. Rasa amat berbesar hati dan bangga,” katanya.
Selain Felda Sendayan, Abdullah juga akan ke Kampung Beting, Parit Tinggi di Kuala Pilah, merasmikan upacara pecah tanah projek pembinaan kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Pilah yang tertangguh sejak lapan tahun lalu.
Projek itu memang ditunggu-tunggu masyarakat di sana yang berpendapat ia akan menjadi pemangkin melonjakkan pertumbuhan ekonomi Kuala Pilah yang sudah lama menunggu kegiatan ekonomi berskala besar yang baru.
Dengan projek pembinaan laluan baru Seremban-Kuala Pilah atau lebih dikenali sebagai Jalan Bukit Putus rancak berjalan dan dijangka siap dua tahun lagi, Kuala Pilah pastinya berubah selepas ini dan ia tentu menggembirakan semua pihak.
Seperti kata seorang pengurus bank di pekan berkenaan, selama 10 tahun berkhidmat di cawangan itu, rata-rata muka yang sama dilihat berurusan dengannya dan tentu sesuatu yang menyegarkan jika ada pelanggan baru.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek, berkata projek pembinaan kampus di kawasan seluas 32 hektar yang dianggar menelan belanja RM150 juta itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut konsep pembinaan kampus Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai.
“Saya yakin pembinaan kampus tetap itu mampu melengkapkan Kuala Pilah sebagai bandar pendidikan yang semakin berkembang dengan wujudnya pelbagai institusi pengajian,” katanya.
Satu lagi kawasan luar bandar dijangka dilawati Perdana Menteri ialah Kampung Tengkek, Kuala Pilah bagi menyertai sambutan Jubli Intan sempena ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Kampung Tengkek, antara sekolah tertua di Negeri Sembilan.
Beliau yang turut disertai isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah memulakan lawatan dengan membuat kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman di Istana Hinggap, Seremban dan mengakhirinya dengan jamuan makan malam di Hotel Royal Adelphi.
Oleh Ahmad Naim Tahir
Berita Harian
22 Ogos 2007