GEORGETOWN: Kira-kira 150 penumpang bas ekspres terkandas di Terminal Bas Sungai Nibong di sini, apabila 10 pemandu bas menghilangkan diri, dipercayai berikutan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik, pagi semalam.
Semua penumpang terbabit membeli tiket di kaunter terminal berkenaan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur dan Melaka.
Tinjauan Berita Harian mendapati lebih lima bas tersadai di platform sejak jam 9 pagi hingga 12 tengah hari selepas pemandunya dikatakan menghilangkan diri kerana khuatir disaman.
Penumpang yang terkandas amat kecewa dengan sikap syarikat bas kerana tidak memaklumkan kepada mereka mengenai masalah mereka tetapi terus menjual tiket.
Seorang penumpang, Roslan Ahmad, 32, berkata syarikat tidak sepatutnya menjual tiket jika mengetahui pemandu mereka enggan memandu bas.
Katanya, sikap tidak bertanggungjawab mereka mengakibatkan kesusahan kepada orang awam, khususnya yang mempunyai pelbagai urusan di Kuala Lumpur.
“Saya sendiri terlepas untuk menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang. Saya terpaksa menaiki bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur selepas menuntut harga tiket asal.
“Saya kesal dengan sikap pengurusan syarikat bas dan pemandunya yang tidak profesional serta menjatuhkan imej negara," katanya.
Seorang pelancong Iran, Muthanna F Abdul Karim, 30, berkata beliau dalam perjalanan untuk memperbaharui pasportnya di Kuala Lumpur selepas berada di setahun berada di negeri ini.
Muthanna yang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau terpaksa mengambil cuti untuk ke Kuala Lumpur tetapi gagal selepas bas yang sepatutnya bertolak jam 11 pagi ditunda ke jam 2 petang.
Sementara itu, seorang pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Zali, 39, berkata beliau enggan membawa bas kerana bimbang disaman JPJ.
“Pemandu bas kini tersepit dengan apa yang terjadi dan tidak mempunyai pilihan untuk mengelak daripada terus disaman JPJ," katanya.
Di KUALA LUMPUR, JPJ mengesan 100 kesalahan termasuk 12 bas ekspres yang tiada pemandu kedua dalam tempoh 24 jam pelaksanaan Ops Bersih II di seluruh negara, bermula kelmarin.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata pemeriksaan mulai jam 8 pagi kelmarin hingga 8 pagi semalam, membabitkan 669 kenderaan pelbagai jenis.
“Daripada 100 kesalahan dikesan, 69 kenderaan dikenakan tindakan dan 83 saman dikeluarkan. Paling banyak membabitkan pelanggaran syarat permit iaitu 27 kes, membabitkan kesalahan beroperasi di luar kawasan, tidak mengikut laluan atau membawa penumpang yang tidak dibenarkan.
“Kita juga mengesan 12 kesalahan bas kerana tiada pemandu kedua, kesalahan cukai jalan (12), kerosakan (10), lesen memandu (sembilan), lebih muatan (empat), lesen GDL/PSV (dua), buku log bas (satu) dan lain-lain kes (15),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Kelmarin, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapa Abdul Rashid dilaporkan berkata matlamat utama Ops Bersih II ialah menjamin keselamatan penumpang pengangkutan awam terutama bas ekspres, dengan memastikan semua pihak mematuhi peraturan.
Berita Harian
5 September 2007