Selasa, 4 September 2007

Mogok lumpuh operasi Tube di kota London



LONDON: Sebahagian besar rangkaian kereta api bawah tanah London terpaksa ditutup semalam berikutan mogok oleh kesatuan sekerjanya sehingga memaksa beribu-ribu pengguna berjalan kaki, menaiki bas atau tidak ke tempat kerja.

Seramai 2,300 anggota Kesatuan Sekerja Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan Kebangsaan melancarkan mogok 72 jam mulai jam 6 petang waktu tempatan kelmarin, berikutan pertikaian yang menyaksikan syarikat pengurusan mereka Metronet, ditutup.

Tiada perkhidmatan membabitkan 9 daripada 12 laluan kereta api bawah tanah itu, kata syarikat pengendali Transport for London.

Datuk Bandar London Ken Livingstone menyesali tindakan kesatuan itu yang disifatkannya sebagai menjejaskan kehidupan warga kota raya itu tanpa sebarang alasan munasabah.

“Tindakan mogok ini adalah yang paling tidak masuk akal pernah dibuat. Ini disebabkan semua isu yang mereka bangkitkan sudah pun diselesaikan,” katanya.

Pekerja Metronet yang terbabit dalam usaha pemuliharaan landasan, operasi kereta api dan lampu isyarat di beberapa laluan paling sibuk sistem berkenaan, menuntut jaminan yang pekerjaan mereka dapat dilindungi mengikut persetujuan bagi menyelamatkan syarikat berkenaan.

Metronet dilaporkan terpaksa gulung tikar kerana gagal melangsaikan hutangnya.

Pihak London Underground berkata dua pertiga daripada sistem kereta api bawah tanahnya yang turut dikenali sebagai Tube, tidak beroperasi. – AP