Rabu, 26 September 2007

Aidilfitri tetap meriah tanpa dentuman mercun


Main bunga api sambut raya bukan budaya Islam


KECEDERAAN akibat bermain mercun buatan sendiri bukan satu perkara baru malah sering menjadi berita setiap kali menjelang Aidilfitri.

Meskipun peringatan dikeluarkan hampir saban tahun terhadap bahaya bermain mercun buatan sendiri serta larangan menjual, memiliki serta bermain bahan berkenaan seperti termaktub mengikut Akta Bahan Letupan 1957, masih ada yang berdegil.

Misalnya, arahan pengharaman pembakaran mercun dan bunga api dikuat kuasa sepanjang masa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 dan sesiapa didapati bersalah seperti mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, orang ramai perlu sedar sekiranya mereka didapati memiliki mercun dan bunga api yang tersenarai dalam barang larangan mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, mereka boleh dikenakan denda RM100 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.

Bagaimanapun, permintaan terhadap bahan itu masih tinggi di sebalik larangannya dikuatkuasakan bermula 1995 lagi. Malah, ibu bapa yang membiarkan anak bermain mercun juga boleh dihukum mengikut akta sama.

Namun, bukan sesuatu yang mengejutkan jika masih ada kalangan masyarakat di negara ini sanggup menyeludup masuk mercun dari negara jiran untuk mengaut keuntungan segera.

Maklumlah, barang ‘panas’ mestilah untung tinggi hingga sesetengahnya sanggup menjual bahan itu secara tertutup tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain, terutama kanak-kanak dan remaja jika penggunaannya tak dipantau.

Malah, sejak dua minggu lalu, kastam seluruh negara merampas bekalan mercun dan bunga api, dianggarkan bernilai RM5.5 juta yang dibawa masuk untuk pasaran di negara ini sempena musim perayaan dalam lima kes berasingan.

Sepanjang tahun lalu saja, kastam merampas mercun dan bunga api yang cuba diseludup bernilai kira-kira RM431,000.

Dalam kejadian terbaru, kastam merampas bunga api dan mercun bernilai hampir RM1 juta yang disembunyikan dalam dua buah lori di kawasan ladang tebu di Chuping, Padang Besar. Dalam rampasan pada 14 September itu, dua lelaki yang dipercayai pemandu kedua-dua lori itu turut ditahan untuk membantu siasatan.

Ia ditambah pula dengan rampasan dan beberapa cubaan yang berjaya dipatahkan polis terutama Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di kawasan sempadan negara dengan nilai rampasan juga hampir mencecah jutaan ringgit.

Yang pasti, hal itu berlaku kerana wujud permintaan tinggi di kalangan pengguna walaupun terpaksa membeli di pasaran gelap.

Meskipun Ramadan baru dua minggu dilalui umat Islam negara ini, kejadian kemalangan membabitkan ‘kreativiti’ tidak dipantau akibat bermain mercun sudah mula menjadi tajuk berita utama akhbar arus perdana.

Kes pertama pembuka tirai lembaran Ramadan kali ini membabitkan kemalangan angkara ‘kreativiti’ tidak terkawal dilaporkan di Bedong, Kedah, 17 September lalu hanya selepas lima hari umat Islam negara ini mula berpuasa.

Mohd Fitri Daud, 8, menjadi mangsa pertama bom karbaid buatan sendiri yang dibakar dalam tong plastik di rumahnya hingga hampir buta.

Kejadian dikatakan berlaku ketika Mohd Fitri bersama abangnya, Mohd Asyar Adha, 10; adik mereka, Ahmad Azfar, 6, dan seorang lagi rakan, Mohd Aulia Shukri, 10, bermain karbaid yang dijumpai di halaman rumah mereka.

Karbaid sebelum itu dibakar oleh seorang abang mangsa berusia 14 tahun pada petang Ahad, tetapi disebabkan tidak meletup ia ditinggalkan di halaman rumah.

Terbaru, seorang pelajar Tingkatan Empat cedera di mata, kaki, tangan dan kemaluan, manakala dua rakannya cedera mata dan bahu selepas mercun buatan sendiri meletup di Kampung Durian Mas, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu dipercayai berlaku selepas belerang yang dimasukkan ke dalam botol kaca oleh Mohd Fadhil Mohd Yasin, meletup ketika dua rakannya yang dalam perjalanan ke masjid singgah untuk melihat mercun itu.

Kemalangan di halaman rumah itu menyebabkan Mohd Fadhil dan Mohd Shahrul Ramli, 17, dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), manakala seorang lagi rakan mereka dikenali Aliff menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan AMBS.

Kesan kreativiti tidak kena tempat, akhirnya menjerat diri sendiri hingga ada mangsa gelap masa depan kerana kecederaan dialami terlalu serius seperti hilang anggota badan. Lebih menyedihkan, ibu bapa kadangkala tidak memainkan peranan yang sepatutnya, malah ada yang sanggup memenangkan anak sendiri jika perbuatan bermain mercun anaknya dipersoalkan.

Kenalan penulis, seorang pegawai kanan polis di Terengganu juga pernah menyuarakan rasa kurang senang dan sikap biadab segelintir remaja tidak menghormati teguran orang tua kerana bermain mercun. Lebih menyakitkan hati katanya, teguran yang dibuat dijadikan kata-kata ejekan, malah dia dikatakan bodoh dan tidak `sporting'.

Ada juga kes katanya, makin ditegur, gelagat mereka makin galak. Mereka meletupkan mercun sebagai tanda protes seolah-olah perbuatan mereka tidak salah dan tidak boleh ditegur.

Itu sebahagian kecil sikap dan budaya masyarakat kita yang lebih mengutamakan keseronokan sementara daripada memikirkan kesan perbuatan mereka.

Tradisi menjadikan mercun dan bunga api sebagai sebahagian daripada budaya dalam memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri yang meminjam budaya masyarakat Tionghua sudah tidak relevan lagi untuk dipraktikkan kerana kita mempunyai banyak lagi alternatif lain untuk memeriahkan sambutan perayaan.

Tidak semestinya, tiada dentuman mercun dan percikan bunga api bermakna sambutan menjadi hambar, sebaliknya meriah atau tidak sesuatu perayaan bergantung kepada bagaimana sambutannya dihayati.

Perkara paling utama dalam menangani masalah penyalahgunaan mercun di kalangan remaja adalah peranan ibu bapa dan masyarakat yang sama-sama perlu bertindak seiring.

Masyarakat tidak mampu menangani masalah ini dengan sendiri jika ada ibu bapa yang masih membiarkan diri mereka tuli hingga mengiyakan saja setiap perlakuan dengan alasan menambah kemeriahan sambutan perayaan yang diraikan setahun sekali.

Ibu bapa juga tidak mungkin berjaya menangani masalah ini jika masyarakat tidak bersama-sama membanteras serta membantu memberikan kesedaran terhadap bahaya dan implikasi yang timbul kesan daripadanya.

Paling penting tanggungjawab pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa, terutama polis dan kastam amat perlu selain kerjasama dan komitmen semua pihak.

Meskipun permintaan terhadap mercun dan bunga api ini bermusim dan menjadi alasan paling kuat untuk masyarakat memilikinya, cara terbaik untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya dan kesan penyalahgunaan mercun dan bunga api, perlu difikirkan.


Oleh Shaarani Ismail
Berita Harian 27 September 2007