Rabu, 26 September 2007

Ramadan bulan terbaik didik kanak-kanak nilai murni


KITA hampir melepasi pertengahan bulan umat Islam berpuasa. Saban malam masjid dan surau meriah dengan kehadiran ibu bapa, remaja dan kanak-kanak mengerjakan solat fardu Isyak berjemaah dan solat sunat tarawih.

Inilah waktunya seluruh umat Islam memenuhkan masjid di seluruh negara kerana tidak mahu meninggalkan atau melepaskan ganjaran yang begitu banyak dan melimpah ruah sepanjang Ramadan ini.

Tidak ketinggalan bersama kita adalah golongan kanak-kanak. Sungguh riang mereka datang ke masjid. Tidak seperti bulan sebelumnya.

Malangnya, bukan memenuhi barisan solat berjemaah sebaliknya hanya memenuhi kawasan masjid. Inilah yang dikesalkan.

Begitu ramai kanak-kanak memenuhi kawasan dalam dan luar masjid. Mereka bermain-main, bising menyebabkan suasana tidak selesa. Lebih dikesalkan ialah ketika jemaah sedang khusyuk bersolat, ada yang berani bermain mercun dan bunga api.

Mujurlah imam masih tidak tersasul atau terkejut apabila mendengar letupan kuat mercun itu. Hairannya, bagaimana masih ada mercun yang dijual di kedai dan bagaimana pula tahap penguatkuasaan pengharaman mercun.

Mungkin ada yang menganggap kanak-kanak ini memang begitu sifatnya.

Bermain-main, tak usah dihalang dan tak usah dikawal. Jadi saya terfikir, sampai bila kita hendak anak kita menjadi manusia yang bermain-main.

Tidakkah ada waktu mendidik anak-anak kita dengan serius dengan sungguh-sungguh.

Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk kita mendidik. Bukan saja mendidik diri, malah mendidik anak, isteri dan keluarga ke arah membina keluarga serta masyarakat Islam yang sempurna.

Membina keluarga bukan seperti kita menyediakan mi segera sedangkan membina keluarga adalah tanggungjawab yang sangat berat. Sebab itulah dalam Islam, perkahwinan adalah amanah dan tanggungjawab, bukan sekadar upacara akad nikah dan untuk memenuhi keperluan.

Perkahwinan bukan sekadar untuk melepas diri daripada maksiat hingga pasangan boleh berkahwin tanpa keizinan daripada ibu bapa.

Hilanglah keberkatan dan restu daripada ibu-bapa. Paling utama sebelum perkahwinan ialah kefahaman agama dan ilmu yang mantap.

Justeru, itulah Ramadan yang perlu dihayati. Setiap ibu-bapa perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak.

Apabila setiap ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik kanak-kanak, kita yakin dan percaya masjid akan menjadi medan terbaik untuk mendidik anak.

Setiap ibu bapa akan menjaga anak mereka. Kadangkala kita sedih, mungkin ketika kita sedang khusyuk menunaikan solat, anak kita di belakang sana sedang bermain-main dan membuat bising dalam kawasan masjid.

Entah di mana rasa prihatin dan sayang kepada anak kita. Tidakkah al-Quran menyebut bahawa kita wajib melindungi keluarga kita daripada tercebur ke dalam api neraka?

Tidak cukup bagi seorang ayah atau ibu khusyuk menunaikan solatnya tanpa mempedulikan anak-anak.

Antara punca utama masalah kanak-kanak ialah ibu bapa tidak kenal benar-benar anak mereka. Maksudnya ibu bapa kenal nama anak mereka, tetapi tidak kenal dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi, apa mereka lakukan.

Tidakkah kita sedih jika kita sedang khusyuk menunaikan solat, anak kita sedang leka bermain permainan video, melayari internet di kafe siber, bermain mercun dan mungkin merokok dan pada waktu yang sama masih memakai baju Melayu. Tidakkah kita sedih?

Sepatutnya ibu bapa mendekati anak dan mendidik mereka menghayati Ramadan dan memberikan kefahaman mengenai ibadat.

Kanak-kanak bukan sekadar mereka yang bermain-main, tetapi generasi muda masa hadapan.

Zaman kanak-kanak adalah waktu terbaik untuk mendidik dan menanam kefahaman.

Sebab itulah waktu kanak-kanak bukan sekadar waktu untuk bermain-main. Kalau kita toleh, kita toleh ke belakang, cendekiawan dan ulama besar Islam menghafal al-Quran dan menghabiskan pengajian ketika waktu kanak-kanak.

Sebagai contoh, Imam Syafie, menjadi ulama fatwa ketika beliau masih kanak-kanak. Usah kita perkecilkan potensi kanak-kanak. Anak kita dibentuk oleh kita.

Lahirnya Imam Syafie kerana berkat kesungguhan ibunya yang mendidik beliau sejak kecil.

Namun, pendidikan adalah usaha berterusan dan sepanjang hayat. Pendidikan bukanlah terhenti pada Ramadan saja.

Masjid perlu dipenuhkan bukan saja pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, setiap waktu solat fardu.

Kanak-kanak ramai ke masjid pada Ramadan kerana mencontohi ibu atau bapanya yang datang ke masjid. Oleh itu, golongan ayah terus konsisten memenuhi masjid dalam bulan-bulan lain juga.

Selain itu, masjid juga dicadang melakukan aktiviti yang dapat menarik perhatian kanak-kanak.

Sebagai contoh, mungkin dengan melakukan aktiviti kumpulan kecil, seperti bercerita mengenai kisah remaja Islam yang berjaya, mengajar kanak-kanak berzanji.

Yang lebih utama ialah memberi kefahaman kepada anak mengenai Ramadan dan penghayatannya.

Masjid perlu kembali dijadikan seperti fungsi asalnya sebagai pusat masyarakat. Seluruh masyarakat perlu mendekatkan diri dengan masjid.

Semua pihak perlu bekerjasama membantu masjid ke arah membina generasi muda yang terbaik. Supaya nanti generasi muda yang terbentuk, hidupnya biar berjasa.


Oleh Mohd Firdaus Mohamed Khairi

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Berita Harian 27 September 2007