Rabu, 26 September 2007

Panel bebas memadai siasat klip video peguam


Gambar dipetik dari Agenda Daily


KLIP video selama kira-kira lapan minit yang dikatakan dirakam pada 2002 di rumah seorang peguam kanan di Kelana Jaya, menjadi satu isu hangat sehingga memaksa kerajaan menubuhkan Panel Bebas Khas untuk menyiasat bagi menentukan kesahihan rakaman serta perbualan yang memaparkan visual peguam berkenaan berbual menerusi telefon, kononnya dengan seorang hakim. Klip itu tersebar luas di internet dan pembangkang kemudian mengambil kesempatan mengetengahkannya sebagai isu mereka. Bagaimanapun kerajaan bersikap terbuka dan menubuhkan panel bebas bagi menyiasat perkara itu. Panel Bebas Khas itu dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan membuat keputusan menubuhkan panel bebas itu kerana dakwaan dan spekulasi pihak tertentu berhubung isu berkenaan boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara. Panel itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya minggu ini dan sehingga itu, kita belum pasti sama ada tugas mereka hanya untuk mengenal pasti hakim terbabit atau menyiasat keseluruhan dakwaan dalam perbualan itu.

Walaupun ada pihak mendesak supaya kerajaan menubuhkan satu siasatan diraja bagi menyiasat perkara itu, kita berpendapat panel bebas khas itu sudah memadai. Yang penting ialah tindakan susulan selepas panel bebas itu selesai mengemukakan laporan mereka nanti serta sokongan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Pejabat Peguam Negara. Kita percaya, kerajaan, selepas menerima rumusan dan hasil laporan itu nanti, akan mengumumkannya supaya semua pihak tahu perkara sebenar. Tindakan menubuhkan panel khas terbabit adalah bukti ketelusan kerajaan untuk menangani masalah terbabit daripada terus dijadikan isu oleh pihak tertentu. Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan beliau memandang serius isu itu dan sudah meminta polis menjalankan siasatan segera mengenainya. Mungkin pihak BPR juga boleh memulakan siasatan meskipun kes itu belum diberi klasifikasi dengan membuat kajian terlebih dulu implikasi tindakan berkenaan. Kes ini nampaknya tidaklah rumit sangat kerana ia cuma membabitkan perbualan telefon antara dua pihak iaitu seorang peguam dan hakim.

Dalam video klip itu, kita hanya melihat seorang bercakap tetapi kita tidak tahu siapa yang bercakap atau suara siapa di sebelah sana yang dikatakan sedang berbual dengan peguam terbabit. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini menyatakan bahawa hakim kanan yang didakwa berbual dengan peguam itu, menafikan bahawa beliau adalah orang dihubungi peguam terbabit. Perdana Menteri dikatakan sudah menerima video klip itu bersama transkrip yang dihantar ke pejabatnya. Apa yang kita harapkan, hasil siasatan panel khas itu nanti dapat merungkai permasalahan serta isu yang ditimbulkan itu sebelum sebarang tindakan susulan diambil. Kita tidak mahu isu ini dieksploitasi untuk kepentingan pihak tertentu sama ada oleh kumpulan politik atau pengamal undang-undang. Yang penting ialah kita mahu badan kehakiman kita bersih, bebas dan adil. Justeru, sebarang unsur yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap hakikat itu, harus ditangani segera.

Berita Harian 27 September 2007