Khamis, 6 September 2007

Bajet 2008: PKS masih perlu dibantu tingkat daya saing


SEPERTI tahun sebelumnya, pembentangan Bajet 2008 oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini memang ditunggu dengan penuh debaran dan harapan agar kerajaan menyediakan imbuhan menarik untuk rakyat dan industri. Tidak kira apa latar belakang mereka, orang kampung mahu pun bandar, syarikat besar atau kecil, pasti mempunyai tanggapan dan harapan tersendiri.

Bajet bukan saja penting kepada rakyat malah ia memberi kesan kepada semua pihak kerana ia mencorak hala tuju ekonomi negara dan kehidupan masyarakat. Bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tonggak kepada aktiviti ekonomi negara, Bajet 2008 diharapkan tidak mengetepikan kepentingan sektor itu dalam senarai peruntukannya.

Dalam kedudukan ekonomi dunia yang semakin mencabar dan berdepan persaingan sengit, pengusaha PKS mengharapkan kerajaan turut menyelitkan beberapa bentuk bantuan dalam usaha mengukuhkan daya saing sedia ada.

Meskipun kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu merangsang pertumbuhan sektor PKS tempatan, bajet kali ini dijangka masih memberi tumpuan bagi menggerakkan pertumbuhan industri tertentu seperti pertanian dan perkhidmatan yang juga menjadi antara nadi PKS.

Sarikat PKS perlu digalakkan untuk terus berkembang demi kemajuan berterusan ekonomi negara. Dianggarkan ada sekurang-kurangnya 600,000 perniagaan bertaraf PKS di negara ini, menggambarkan betapa ramai bilangan usahawan negara ini. Adalah sangat penting bagi sesebuah negara untuk terus mewujudkan lebih ramai usahawan cemerlang.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas, berkata dewan turut menetapkan sasaran mewujudkan 10,000 usahawan baru setiap tahun dan pada masa yang sama turut meningkatkan 10,000 usahawan kecil sedia ada kepada peringkat lebih tinggi.

Justeru, beliau membayangkan Bajet 2008 mampu terus menjadi belanjawan seimbang dalam meneruskan kesinambungan kemajuan negara.

Dengan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan modal insan dan pembasmian kemiskinan, Bajet 2008 dijangka menitikberatkan usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Penekanan kepada meningkatkan latihan dan tenaga kerja mahir serta pembangunan teknologi juga adalah antara aspek yang turut difokuskan pada bajet kali ini. Ini penting dalam merealisasikan hasrat kerajaan ke arah menuju matlamat Wawasan 2020, katanya.

“Kesannya kelak akan turut melimpah kepada perkembangan sektor PKS yang kini menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Masyarakat perdagangan kecil dan sederhana tidak terkecuali daripada mendapat manfaat kepada perkembangan ini. Jika ekonomi makmur, lebih banyak peluang pekerjaan boleh ditawarkan dan ini tentunya memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, 81 tabung kewangan PKS yang sudah disediakan kerajaan sehingga kini dengan nilai dana kira-kira RM12 bilion perlu dipermudahkan penyalurannya kepada komuniti perniagaan itu.

“Setakat ini dianggarkan kira-kira RM5 bilion dana sudah disalurkan kepada syarikat PKS. Kerenah birokrasi adalah antara sebab mengapa dana ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat PKS dan ini perlu ditangani pihak terbabit agar tidak ada syarikat yang terpaksa gulung tikar kerana ketiadaan modal untuk meneruskan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar usahawan memerlukan bantuan modal untuk berniaga dan rungutan selama ini ialah tidak mudah mendapat bantuan modal daripada pelbagai institusi kewangan.

Dalam pada itu Syed Ali berkata, penubuhan SME Bank oleh kerajaan turut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan sektor PKS tempatan. Ia bukan saja membantu menyediakan kemudahan kewangan dan khidmat nasihat kepada PKS, malah juga bertujuan meningkatkan tahap saingan syarikat tempatan di pasaran dalam dan luar negara.

“Bagi memastikan keberkesanannya, SME Bank perlu mempertingkatkan kecekapan dalam menyalurkan dana yang diperuntukkan kerajaan kepada syarikat PKS. Ini penting bagi memastikan mereka terus berdaya saing.

“Kelewatan menyalurkan dana akan memberi kesukaran kepada syarikat untuk meneruskan pengembangan operasi mereka,” katanya.

Selain itu, katanya usahawan juga perlu membina kemahiran pengurusan terutama berkaitan pengurusan kewangan, pengurusan modal insan dan pengurusan pemasaran.

Bagi DPMM yang dianggotai kira-kira 130,000 ahli, pelbagai program turut dijalankan dalam membantu meningkatkan daya saing usahawan.

“Dewan sendiri sedang menilai 450 produk makanan dan kesihatan keluaran usahawan kecil yang berpotensi untuk pemasaran dan diberi bantuan dari segi pembangunan produk,” katanya.

Bajet 2008 katanya, diharapkan terus menjamin kestabilan negara secara keseluruhan bagi jangka panjang.

Kemajuan dan kestabilan ekonomi mampu terus mewujudkan ramai usahawan cemerlang kerana hanya usahawan cemerlang akan dapat mencipta perniagaan cemerlang.

Oleh Nor Liza Ahmad

Berita Harian
7 September 2007