Khamis, 6 September 2007

Penunggang motosikal mesti ubah sikap


PELBAGAI langkah dibuat untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Selain kempen kesedaran kepada pengguna dan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga mengambil langkah proaktif membaiki jalan dan menyediakan kemudahan seperti jejantas pejalan kaki, memasang lebih banyak lampu isyarat dan papan tanda. Terbaru, kerajaan memperuntukkan lebih RM600 juta bagi menaik taraf 157 laluan maut di Semenanjung serta membina dan menambah baik lorong motosikal di seluruh negara dalam usaha mengurangkan kemalangan. Daripada jumlah itu, RM485 juta digunakan untuk pembinaan lorong motosikal sepanjang 323 kilometer, manakala RM125 juta lagi bagi menambah baik dan memasang papan tanda tambahan. Setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membelanjakan RM110 juta bagi menaik taraf dan membina lorong motosikal di seluruh negara.

Mengikut rekod polis, daripada hampir 6,000 kemalangan maut setiap tahun, sebahagian besarnya membabitkan penunggang motosikal, iaitu 3,693 orang tahun lalu berbanding 3,591 kematian pada 2005, meningkat 2.8 peratus. Justeru, langkah kerajaan memperbanyakkan lorong motosikal di seluruh negara adalah usaha untuk mengurangkan jumlah kematian dan cedera parah.

Berdasarkan kajian, laluan berasingan dapat mengurangkan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal daripada 60 peratus kepada 20 peratus. Itu adalah antara keistimewaan yang diberikan kepada penunggang motosikal di negara ini. Mereka bukan saja mendapat keistimewaan jalan sendiri, malah tidak perlu membayar tol dan tempat letak motosikal, cukai jalan dan insurans yang dikenakan juga murah. Walaupun punca sebenar kemalangan kerana sikap penunggang motosikal sendiri yang tidak berdisiplin, keperluan dan kebajikan mereka tetap diberi keutamaan. Kita berharap faktor keselamatan pengguna laluan motosikal juga diambil kira. Banyak kes samun dan peras ugut membabitkan pengguna di laluan motosikal seperti di jalan Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Selain memastikan laluan itu terang pada waktu malam, polis peronda bermotosikal harus kerap memantau di lokasi yang sering berlaku jenayah. Bagaimanapun, lebih penting lagi ialah penunggang motosikal haruslah lebih berdisiplin dan belajar mematuhi undang-undang. Penyediaan lorong khas motosikal adalah untuk kebaikan pengguna, tetapi selagi sikap mereka tidak berubah, selagi itulah kemalangan maut membabitkan mereka berterusan.

Kita kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penunggang motosikal walaupun diberi banyak keistimewaan, mereka tidak pernah berusaha menyelami kepayahan yang dialami pengguna lain. Dalam menyelesaikan sesuatu masalah, segala-galanya harus bermula dari awal. Usaha mengurangkan kemalangan seharusnya dimulai dengan menyemai nilai kesedaran dan menerapkan unsur pendidikan sejak kecil. Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dengan menanam kesedaran menerusi kempen kepada penunggang dan pembonceng motosikal bahawa pemakaian topi keledar bukan sekadar soal pematuhan undang-undang, malah untuk menjaga keselamatan diri. Pemakaian topi keledar dengan betul juga perlu ditekankan kerana kajian mendapati mereka yang memakai alat itu dengan betul lebih selamat jika berlaku kemalangan berbanding tidak memakainya dengan kemas. Dalam pada itu, ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen atau di bawah umur tidak menunggang motosikal bagi mengelakkan kemalangan maut.


Berita Harian
7 September 2007