Khamis, 6 September 2007

Bajet 2008: Pendekatan ‘murah hati’ ditunggu


Kakitangan awam mahu bajet penuhi kebajikan untuk tingkat produktiviti


BAJET 2008 yang dibentangkan hari ini, seperti tahun sebelum ini, ditunggu-tunggu orang ramai apakah pengumuman kerajaan mengenai insentif tertentu yang mungkin boleh membawa khabar gembira.

Bagi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), mereka mengharapkan bajet kali ini lebih seimbang dan menyeluruh membabitkan kepentingan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kakitangan awam.

Presidennya, Omar Osman, berkata apa yang diharapkan ialah supaya kerajaan terus mengamalkan pendekatan ‘murah hati’ kepada kakitangan awam bagi melengkapkan kehendak mereka selepas diberi kenaikan gaji baru-baru ini bagi meningkatkan lagi kebajikan mereka di seluruh negara.

Oleh itu katanya, kakitangan sektor awam masih memerlukan insentif tertentu seperti kemudahan pinjaman perumahan, penambahbaikkan sistem penyampaian pada semua peringkat serta lain hal berkaitan kepentingan sektor awam.

Penumpuan kepada sektor awam dianggap penting kerana sektor itu meliputi seramai 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara. Khidmat mereka dalam pelbagai jabatan amat besar dan penting dalam membantu menggerakkan pembangunan negara.

Malah, sumbangan mereka diperlukan untuk memastikan matlamat negara mencapai Wawasan 2020 dapat direalisasikan.

Bagaimanapun kata Omar, tidak keterlaluan bagi Cuepacs yang mewakili golongan pekerja sektor awam mengharapkan supaya ada suatu yang menggembirakan dalam bajet kali ini.

“Harapan pekerja sektor awam sempena 50 tahun kemerdekaan negara bukan saja untuk terus mempamerkan taat setia kepada kerajaan dan negara, malah menginginkan bajet memenuhi kebajikan golongan pekerja.

“Oleh itu, kita mengharapkan supaya kerajaan memberi pertimbangan dengan memberi bonus untuk kakitangan awam dan lanjutan usia persaraan daripada 56 kepada 58 tahun atau sehingga 60 tahun. Ini adalah dua perkara asas diperjuangkan kami setiap tahun,” katanya.

Walaupun kerajaan sudah meluluskan kenaikan gaji sehingga 35 peratus kepada kakitangan awam baru-baru ini, beliau berkata, dua perkara itu tetap dianggap penting dalam usaha memperhebatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya lebih cekap bagi membantu meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam di negara ini.

“Hasil pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, maklum balas yang diterima mengenai soal dua perkara itu adalah positif, tetapi masih dibincang pada peringkat akhir.

“Ia terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meluluskannya. Berdasarkan pertemuan itu, ia seperti ada harapan. Mungkin ketika membentangkan bajet itu nanti Perdana Menteri akan membuat pengumuman seperti diharapkan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tuntutan itu diluluskan, ia akan membabitkan semua peringkat jawatan dan ini sekali gus memberi peluang kepada kakitangan awam yang sudah bersara menyambung perkhidmatannya dengan kerajaan.

Setiap tahun sekurang-kurangnya 20,000 kakitangan awam yang bersara wajib pada pelbagai peringkat di seluruh negara.

“Sekiranya mereka diberi peluang menyambung khidmat selepas usia persaraan wajib dilanjutkan, sudah pasti kemahiran serta pengalaman mereka dapat digunakan dengan sebaiknya ke arah kecemerlangan perkhidmatan di sektor awam,” katanya.

Memorandum mengenai lanjutan usia persaraan sudah dikemukakan kepada kerajaan, pada 1997, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana faktor kewangan berikutan kemelesetan ekonomi ketika itu serta kesannya beberapa tahun kemudian.

Omar berkata, memandangkan suasana ekonomi negara semakin stabil serta pencapaian yang baik dalam segenap segi, sudah tiba masanya kedua-dua tuntutan itu dipertimbangkan.

“Kita mengharapkan supaya ada satu bajet yang dapat menceriakan kami. Malah, kenaikan gaji diterima sekarang hanya sah hingga 2010 dan perlu disemak semula,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu wujud masalah yang membelenggu pekerja kerana kecemerlangan sesebuah negara memerlukan suasana serta persekitaran pekerjaan yang selesa dalam semua aspek.

Cuepacs mendapati masih banyak lagi kepincangan dalam sektor awam, terutama membabitkan kebajikan pekerja yang berkhidmat di luar bandar seperti tidak dilengkapi kemudahan infrastruktur (peralatan teknologi maklumat, ruang pejabat sempit), elaun tidak mencukupi dan pelbagai lagi. Semua itu akhirnya memberi kesan kepada sistem kerja mereka.

“Tidak seperti di Putrajaya semua peralatan canggih, berbanding di cawangan yang masih berada pada tahap lama dan menyedihkan. Sistem penyampaian buruk menyebabkan mereka menghadapi tekanan ketika bekerja.

“Jika semua sektor awam seperti di Putrajaya mungkin suasana lebih ceria, menyeronokkan dan meyakinkan dapat diwujudkan.... taklah mereka ingin balik awal, keluar rehat terlampau lama, tidak hadir bertugas dan mencuri tulang,” katanya.

Selain itu, untuk bajet kali ini, katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat umum seperti meningkatkan lagi usaha ke arah membasmi kemiskinan, kerana kemiskinan masih wujud, walaupun negara sudah 50 tahun merdeka.

Sementara itu, Perunding Kanan Hartanah, Zarila Ahmad, mahu Bajet 2008 lebih mesra rakyat dengan menurunkan kadar cukai pendapatan individu bagi mengurangkan bebanan.

Katanya, dengan pertumbuhan ekonomi yang seimbang pada kadar lebih lima peratus setiap setahun menunjukkan keseimbangan negara dari segi kekukuhan ekonomi.

“Selain itu, saya juga berharap kerajaan dapat mengurangkan masalah kesukaran mendapat pinjaman dari institusi kewangan membabitkan perusahaan kecil sederhana (PKS), selain perlu melalui proses prosedur yang merumitkan serta mengambil masa lama untuk diluluskan.

“Jika pinjaman itu dipermudahkan ia dapat mengurangkan risiko sebilangan pihak mendapatkan khidmat along,” katanya.

Oleh Jami’ah Shukri

Berita Harian
7 September 2007