
PADA 1957, keluarga saya tinggal di Kampung Pinang berdekatan Bandar Taiping. Rumah di kampung itu adalah rumah papan. Keadaan di tempat itu daif dan serba kekurangan. Apabila televisyen diperkenalkan hanya satu keluarga yang mampu memilikinya dan pada waktu petang kanak-kanak tumpang menonton di luar tingkap rumah itu.
Kini rumah papan di kawasan Kampung Pinang sudah diroboh dan diganti rumah teres dua tingkat. Wajah kampung sudah berubah. Kemajuan Kampung Pinang mencerminkan kemajuan Malaysia pada keseluruhannya.
Dari segi ekonomi, politik, sosial-budaya, kita sudah mencapai satu tahap lebih kukuh dan mantap. Dengan usaha lebih gigih, negara kita akan memasuki satu era yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Lima dekad sejak kemerdekaan adalah era yang penuh kemajuan.
Pencapaian kita berasaskan perpaduan yang kita pupuk sejak dari awal lagi. Kita sedar bahawa kita berlayar dalam kapal sama, segala cabaran dan halangan haruslah kita tempoh bersama.
Semangat dan falsafah kita yang berpegang teguh pada perundangan dan perundingan mendatangkan manfaat kepada kita semua. Kita tidak menuntut kemerdekaan dari British dengan kekerasan. Kita menggunakan cara diplomasi dan penuh tata susila.
Apabila bendera British ‘The Union Jack’ diturunkan, kita bergembira dan bersorak, tetapi kita tidak mengambil kesempatan mengejek-ejekkan British. Kita menunjukkan kematangan. Kemesraan ini tanpa ‘bad blood’ antara kita dengan British membolehkan kita dapat bantuan daripada mereka apabila kita memerlukannya.
Hubungan kita dengan negara lain juga baik dan Malaysia adalah negara yang aktif dan disegani.
Perundangan menjamin ketenteraman awam dan dipelihara. Proses demokrasi dipupuk dan diamal dengan pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun. Semangat berkongsi kuasa adalah falsafah sosial-politik Malaysia.
Kita sering mencari jalan mempertingkat semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Kita sedar perpaduan itu tunjang kesejahteraan dan kebahagiaan semua.
Kekayaan yang kita ada sekarang membolehkan generasi muda dapat menikmati pendidikan tinggi bukan saja di negara sendiri, malah di Oxbridge, Harvard dan Yale. Sebelum 1957 hanya segelintir yang dapat peluang keemasan ini.
Bukan semua negara mencapai kemerdekaan pada era lima puluhan dapat mencapai kemajuan. Ada juga yang masih terkandas dalam keadaan kemunduran dan serba kekurangan. Kita bernasib baik kerana kita ada pemimpin berwibawa serta berjiwa rakyat dan memberi tumpuan kepada pembangunan insan selain infrastruktur tanpa mengabaikan aspek kerohanian. Pembangunan adalah bersifat holistik.
Kini Malaysia sudah dikenali ramai. Iklim yang baik dapat menarik pelabur, pelancong dan pelajar dari luar. Mereka kagum dengan ‘kisah kejayaan’ Malaysia dan ingin mencontohi acuan kita menuju kejayaan dan kemakmuran.
Selagi kita hidup bermuafakat dan berganding bahu, kita akan mencapai kemajuan yang berterusan. Selamat maju Malaysia!
Oleh Dr Koh Aik Khoon (UKM)
Berita Harian
7 September 2007