
ANTARA cabaran awal TIME Engineering Bhd. (TIME) semasa mula-mula melaksanakan projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah mengenal pasti bidang yang boleh disertai syarikat bumiputera dan memaksimumkan penyertaan mereka.
Ini kerana antara matlamat awal PPSMI ialah melibatkan syarikat atau usahawan bumiputera, sekali gus melebarkan peluang mencipta kejayaan dan ia tidak boleh tertumpu pada satu kumpulan atau kawasan tetapi secara menyeluruh ke pelosok negara.
Selain itu, PPSMI berperanan mendedahkan syarikat-syarikat bumiputera ke bidang yang boleh berlaku perpindahan pengetahuan dan teknologi, yang bertujuan mempersiapkan mereka bagi kegiatan ekonomi yang lebih tinggi di masa depan.
‘‘Menerusi pelaksanaan projek PPSMI di fasa 2 hingga 5, TIME telah berjaya mencapai semua matlamat tersebut,” kata Pengarah Urusan TIME, Amiruddin Abdul Aziz kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurutnya, TIME berjaya membangunkan lebih daripada 250 syarikat bumiputera menerusi projek (PPSMI) yang bermula sejak tahun 2003.
Syarikat-syarikat bumiputera tersebut dibimbing menjadi kontraktor dan vendor teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan memberi pendedahan tatakerja berdasarkan prinsip amalan terbaik dan peranan sebagai rakan kongsi dalam model penyumberan luar.
Melalui projek PPSMI yang kini di fasa kelima, TIME menekankan kepada peningkatan pencapaian kontraktor bumiputera yang dilantik di samping membangunkan modal insan melalui program pembangunan keusahawanan dan latihan teknikal. Ia bertujuan bagi meningkatkan skil juruteknik-juruteknik dan jurulatih- jurulatih yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan prestasi syarikat bumiputera ICT yang telah dilantik di bawah program PPSMI.
Pembabitan syarikat bumiputera tempatan di dalam projek PPSMI juga telah menarik lebih 1,000 pekerja yang bertauliah atau dilatih dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang kerja-kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan, pendawaian, logistik dan penyimpanan stok, khidmat sokongan kepada pengguna dan latihan.
Projek PPSMI yang dilancarkan pada 2002, memberi penekanan kepada penggunaan ICT sebagai medium pengajaran, sekali gus mengkehendaki kerajaan membekalkan setiap guru sains dan matematik dengan komputer riba dan serta peralatan multimedia di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran.
Pembekalan perkakasan ke sekolah bagi PPSMI itu kini telah memasuki fasa kelima, dan TIME telah membekalkan hampir 127,000 komputer riba; 72,000 projektor multimedia LCD; 105,000 skrin; 41,000 troli dan 21,000 pencetak.
Pembekalan peralatan komputer ini adalah sebagai melengkapi aspek pembestarian sekolah yang meliputi perkakasan komputer, makmal komputer, SchoolNet, televisyen pendidikan dan inisiatif PPSMI.
Murid tahun satu sehingga lima telah mengikuti kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris dan mulai tahun 2008 kertas Matematik dan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah dalam bahasa Inggeris.
Dalam konteks ini, Amiruddin berkata, TIME menerusi anak syarikatnya, TIME System Integrators Sdn. Bhd. (TSI), telah melaksanakan projek PPSMI untuk fasa dua hingga lima bernilai lebih RM1,500 juta daripada Kementerian Pelajaran sejak Oktober 2003 hingga kini.
Berdasarkan pengalaman dan hubungan “private-public-sector” yang baik telah membantu kedua-dua pihak dalam mencapai matlamat yang sama, iaitu untuk menjayakan program kebangsaan ini untuk kemajuan generasi akan datang.
Menurutnya lagi, selain membangunkan usahawan bumiputera, TIME turut menyediakan program latihan kepada guru-guru dalam bidang kemahiran pengunaan ICT dalam bilik darjah yang kini telah membabitkan hampir 120,000 guru di seluruh negara.
Program pembangunan usahawan yang dijalankan oleh TIME membabitkan siri- siri seminar mengenai penambahbaikan proses perniagaan, pengurusan sumber modal, ceramah-ceramah motivasi dan membangunkan idea-idea perniagaan.
Dari aspek melahirkan tenaga berpengetahuan, Amiruddin berkata, dalam fasa PPSMI sebelum ini, TIME berjaya membentuk lebih 250 juruteknik bertauliah bagi melakukan kerja-kerja pembaikan dan servis menerusi pelbagai platform dan teknologi.
‘‘Juruteknik-juruteknik itu adalah dari 42 syarikat yang dimiliki bumiputera yang telah menjalani latihan teknikal serta ditauliahkan untuk melakukan servis untuk komputer bimbit, projektor dan pencetak,” katanya.
Juruteknik berkenaan, ujarnya, juga akan dilatih ke tahap lebih tinggi dalam mengendalikan servis dan lain-lain penyelesaian ICT seperti pelayan, rangkaian, jalur lebar dan satelit.
Selain daripada pakej kerja perkhidmatan sokongan untuk peralatan-peralatan PPSMI yang dibekalkan, peluang juga akan dibuka kepada syarikat-syarikat bumiputera yang berpotensi untuk meneroka bidang-bidang teknologi terkini bersama kumpulan TIME.
Di pihak TIME, pulangan atas pelaburan dalam program seumpamanya diperoleh bukan saja daripada kaedah altruistik tetapi juga dari segi perolehan syarikat.
‘‘Kami sebenarnya berupaya menikmati penjimatan kos kira-kira 20 peratus dalam tempoh tiga tahun dengan melakukan penyumberan luar di bawah projek PPSMI kepada kumpulan pembekal dan vendor bumiputera kami berbanding jika kami melakukan sendiri keseluruhan projek itu,” katanya.
Sejak tahun 2001, TIME telah menyaksikan pertumbuhan dalam perniagaan ICT. Ia seiring dengan langkah syarikat milik kerajaan (GLC) tersebut pada masa itu untuk mempelbagaikan punca pendapatan daripada sumber perniagaan sedia ada kepada ICT.
Punca pendapatan TIME sekian lama ialah daripada perniagaan pengeluar tenaga bebas (IPP) tetapi hari ini, kesemua perolehannya dijana daripada ICT.
Perniagaan ICT telah menyumbang lebih RM850 juta daripada segi perolehan kepada TIME, kebanyakannya daripada sektor pendidikan.
Amiruddin berkata, TIME ingin terus menjadi ‘rakan pembina negara’ dan memainkan peranannya sebagai GLC yang berwawasan untuk sama-sama membangunkan negara melalui inisiatif ICT.
Oleh JOHARDY IBRAHIM
Utusan Malaysia
4 September 2007