
KEMATIAN remaja yatim piatu, Mohd. Rafi Ameer sewaktu menjalani latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cheneh Cemerlang, Kemaman mengulangi satu lagi tragedi sedih membabitkan pelatih program itu.
Walaupun ajal maut di tangan Tuhan, tetapi ada sebab dan musabab yang menyebabkan sesuatu itu berlaku yang kadang-kadang jika kita bertindak lebih awal musibah itu dapat dihindari.
Lagi pula, apabila ia membabitkan pelatih PLKN, sudah tentu semua mata akan memandang dan banyak jari akan mula menuding untuk mencari salah kerajaan terutama pihak-pihak yang suka menangguk di air keruh.
Persoalannya sekarang, wajarkah apabila berlaku kejadian seperti ini kita menyalahkan keseluruhan program nasional yang bertujuan membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab itu?
Adakah wajar hanya kerana seorang daripada hampir 100,000 pelatih yang kurang bernasib baik kerana terlibat dalam kejadian tidak diingini seperti yang menimpa Allahyarham Mohd. Rafi itu masalah keseluruhan program perlu dibatalkan?
Program PLKN ini cukup baik untuk golongan remaja dan ia diakui oleh ibu bapa hingga ada yang mahu menghantar anak mereka menyertainya secara sukarela.
Yang perlu dibetulkan di sini ialah bagaimana cara kem-kem latihan itu diuruskan terutama apabila ia membabitkan kebajikan peserta.
Pihak pengurusan kem yang dilantik dan dibayar oleh kerajaan untuk mengendalikan program ini perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan peserta.
Jika ibu bapa hilang kepercayaan terhadap program ini maka puncanya ialah kegagalan pihak pengurusan untuk mentadbir dan mengurus kem mereka dengan baik.
Dalam hal ini pihak kerajaan perlu bertegas supaya seekor dua kerbau yang membawa lumpur ini tidak merosakkan imej PLKN secara keseluruhan.
Pihak pengurusan perlu ingat, ketika menjalani latihan, para peserta terputus hubungan dengan ibu bapa dan saudara mara untuk seketika.
Jadi, jika terjadi sesuatu kemudaratan seperti kemalangan, sakit demam dan sebagainya ia akan menjadi tanggungjawab pihak pengurusan kem.
Mereka perlu memastikan kebajikan peserta diberi keutamaan dan ahli keluarga perlu dimaklumkan jika terjadi sesuatu.
Rujuk segera ke hospital jika ada peserta mengadu sakit dan pada masa yang sama kena maklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.
Ini soal keselamatan dan nyawa para peserta. Dalam kes Mohd. Rafi, mangsa telah maklumkan keadaannya yang muntah darah kepada kakaknya yang kemudian menghubungi pengurusan kem meminta adiknya itu dihantar pulang ke Kuala Selangor.
Tetapi aduan dan permintaan itu bukan sahaja tidak dilayan, tetapi dia pula dimarahi hingga kes ini berakhir dengan tragedi.
Keadaan begini tidak boleh dibenarkan berlaku di kem-kem PLKN. Jangan biarkan hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Utusan Malaysia
4 September 2007