
BARU-baru ini kita dikejutkan dengan berita empat lelaki membuat aduan bahawa mereka telah diganggu secara seksual oleh rakan sekerja mereka iaitu wanita. Ini agak memeranjatkan.
Sebelum ini wanita yang sering mengadu sedemikian. Berita ini mendapat pelbagai reaksi - lucu, tidak kurang juga yang menuduh lelaki tersebut sebagai ‘lembik’ ‘pondan’, ‘mengada- ada’, ‘mencari publisiti murahan’, ‘tak macam perangai lelaki’, ‘pelik’ dan macam- macam lagi.
Sebenarnya nasib mangsa gangguan seksual wanita yang mengadu juga agak serupa. Seringkali organisasi mahupun masyarakat akan menuding jari mengatakan wanita itulah punca masalah.
Pada hakikatnya siapa sahaja yang menjadi mangsa terpaksa menerima tohmahan dahulu sebelum dapat membuktikan kebenaran pengalaman pahit mereka.
Walau apa pun kini kita perlu peka dan menerima bahawa gangguan seksual memang wujud di tempat kerja, dan mangsanya tidak semestinya wanita.
Malah ia boleh berlaku pada siapa sahaja, tidak kira tua atau muda, berpangkat tinggi ataupun rendah, lelaki ataupun perempuan, bujang ataupun yang sudah berkahwin.
Mengganggu
Walaupun bagi wanita ia amat mengganggu, namun bagi sesetengah lelaki ia adalah asam garam hidup di tempat kerja.
Sepertimana respons dalam temu bual saya dengan beberapa responden lelaki, mereka mengatakan bahawa “inikan perkara biasa bagi lelaki”, “kalau tak usik tu bukan lelaki namanya”.
Ada juga responden lelaki yang hairan apabila wanita membuat aduan. Mereka beranggapan seharusnya wanita yang diusik itu berasa bangga kerana itu tandanya mereka masih cantik.
Pelbagai kajian telah dilakukan mengenai kesan gangguan seksual dan terbukti ia boleh membawa kesan yang amat buruk ke atas mangsa.
Antaranya, mangsa sukar berfikir secara rasional, cenderung berfikiran negatif, rasa diri tidak dihargai dan kurang keyakinan diri.
Untuk mengatasi gangguan seksual di tempat kerja menuntut kerjasama semua.
Ramai yang menyangka dengan adanya peraturan ataupun undang-undang gangguan seksual akan membuat orang menjadi ‘kaku’ atau menghilangkan senda gurau di tempat kerja.
Di Amerika yang sebegitu bebas gaya hidup sekalipun mempunyai pelbagai program dan sokongan untuk membendung gangguan seksual di tempat kerja.
Inikan pula negara kita yang kaya dengan budi bahasa sudah tentu tidaklah sukar untuk kita berusaha membendung gejala tersebut.
Oleh SABITHA MARICAN
Utusan Malaysia
4 September 2007