Selasa, 4 September 2007

Merangsang sains dan matematik


SEAMEO atau Pertubuhan Menteri- Menteri Pelajaran Asia Tenggara bermula dengan pertemuan Menteri-Menteri Pelajaran dari negara-negara Asia Tenggara pada November 1965.

Penubuhan itu secara langsung merupakan satu titik tolak dalam menggalakkan pertumbuhan idea-idea yang progresif dan inovatif dan mewujudkan kerjasama serantau dalam pendidikan, sains serta kebudayaan.

Ini kerana kesemua menteri berkenaan percaya bahawa pendidikan memainkan tugas utama dalam peningkatan pembangunan sosial dan ekonomi serantau.

Seiring dengan kewujudan SEAMEO, sebuah sekretariat yang kini beroperasi di Bangkok, Thailand ditubuhkan sebagai penggerak pertubuhan tersebut.

Ia berperanan untuk menterjemahkan segala keputusan SEAMEO untuk dijadikan panduan bagi memudahkan pertukaran sumber manusia dan kelengkapan di kalangan negara-negara ahli.

Pada peringkat awal SEAMEO, ia terdiri daripada tujuh buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Selepas tahun 90-an, Kemboja, Brunei Darussalam dan Myanmar turut menyertai SEAMEO dan yang terbaru sekali ialah Timor Leste pada tahun lalu menjadikan bilangan ahli meningkat kepada 11 buah negara.

Selain daripada ahli biasa, SEAMEO turut mempunyai lapan ahli bersekutu yang terdiri daripada Perancis, Australia, New Zealand, Sepanyol, Norway, Jerman, Belanda dan Kanada.

Memajukan
Setahun selepas pertubuhan SEAMEO, delegasi dari tujuh buah negara bersepakat untuk menubuhkan sebuah pusat serantau yang bertujuan untuk memajukan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik pada peringkat asas dan menengah.

Pusat Serantau Pendidikan Sains dan Matematik atau RECSAM berperanan memenuhi keperluan negara rantau Asia Tenggara dalam memperkukuhkan dan mempertingkatkan bidang penyelidikan serta pendidikan matematik dan sains.

Ia juga menjadi asas kepada semua latihan keperluan teknikal dan saintifik sumber manusia di rantau ini.

Menurut Pengarah SEAMEO RECSAM, Dr. Azian T. S. Abdullah, satu kerjasama serantau juga diwujudkan dalam bidang kokurikulum memandangkan objektif untuk mewujudkan sekumpulan guru pakar dalam bidang sains dan matematik merupakan satu keutamaan pertubuhan itu.

Selain RECSAM yang terletak di atas Bukit Chombee, Gelugor, Pulau Pinang, terdapat 14 lagi pusat serantau di negara-negara ahli lain bagi memberi latihan dan kursus dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan sains.

Menurutnya, melalui pusat-pusat berkenaan, SEAMEO akan dapat memberi sumbangan jangka panjang kepada pendidikan, sains dan kebudayaan kepada sepuluh negara anggota yangmempunyai lebih 200 juta penduduk.

Katanya, RECSAM turut dilihat sebagai pilihan terbaik untuk dijadikan wadah bagi melaksanakan program pendidikan serantau dengan penglibatan aktif bersama maktab-maktab perguruan, kolej-kolej pendidikan, fakulti-fakulti pendidikan sains dan matematik institusi pengajian tinggi.

Mengenai hala tuju SEAMEO RECSAM, Azian memberitahu beliau mengharapkan supaya aktiviti pertubuhan itu dapat diperkembangkan bukan sahaja di kalangan para pendidik tetapi kepada orang awam terutamanya ibu bapa.


Oleh SUWARNI MOKHTAR


Utusan Malaysia
4 September 2007