Masyarakat saling prihatin, amal semangat kejiranan mampu bendung gejala negatif
INSTITUT kejiranan perlu diperkukuh bagi mengelakkan pelbagai masalah masyarakat, termasuk kejadian kanak-kanak hilang dan pembunuhan kejam seperti kes Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, 8, semakin menjadi-jadi di negara ini.
Pelbagai masalah masyarakat dapat diatasi secara bersama apabila masyarakat saling prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan antara satu sama lain.
Diharapkan kematian Nurin yang mayatnya ditemui dalam beg pakaian, di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, pada Isnin lalu, tidak sia-sia, tetapi mencetuskan kesedaran mengenai pentingnya pengamalan semangat kejiranan dan budaya 'menjaga tepi kain orang' bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.
Nurin dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disumbat dalam beg pakaian. Beg itu ditemui berhampiran pejabat sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama.
Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa dibunuh kurang dari 24 jam sebelum mayatnya ditemui dengan kematian berpunca daripada jangkitan akibat usus pecah.
Murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak itu dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
Pengesahan identiti kanak-kanak itu dibuat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan diumumkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, Khamis lalu.
Kita tidak mahu masyarakat negara ini jadi seperti kebanyakan penduduk Amerika Syarikat apabila jiran sudah tidak mengenali antara satu sama lain, apabila jiran bising sikit sudah buat laporan polis.
Kita seharusnya saling prihatin dengan kesusahan dan keselamatan jiran, periksa jika kerap terdengar kanak-kanak menangis di kawasan kejiranan, apa masalahnya.. mungkin kanak-kanak itu didera atau sebagainya.
Walaupun secara konsepnya semangat kejiranan semakin kurang diamalkan apabila pembangunan sesebuah negara semakin maju, ia tidak seharusnya dijadikan alasan kerana kesedaran itu boleh dipupuk dalam diri masing-masing.
Pakar motivasi dan kaunseling, Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, berkata beliau percaya ramai penduduk Malaysia masih memiliki kesedaran untuk mengamalkan semangat kejiranan, tetapi lantaran sibuk mereka menunggu seseorang untuk memulakannya dulu.
Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan perlu memainkan peranan mencetus usaha ke arah itu dan ia perlu dilakukan secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat, bersungguh-sungguh dan tidak ‘mengikut musim’ atau ketika berlakunya sesuatu tragedi saja.
Katanya, bagi memastikan semangat kejiranan benar-benar dihayati masyarakat, program seperti kempen dan kegiatan yang menemukan semua penduduk antaranya gotong-royong atau majlis keraian perlu diadakan berterusan untuk satu tempoh lama.
"Tidak dinafikan memang ada banyak program dibuat sebelum ini, tetapi tiada impaknya. Mengapa ia berlaku? Kajian mendapati 95 peratus maklumat diterima minda akan dipadamkan selepas 48 jam maklumat itu tidak diaplikasikan," katanya.
Kajian lain merekodkan yang orang awam perlu dipesan 200 kali supaya ingatan itu melekat di mindanya, maknanya saranan atau kempen perlu dilakukan 200 hari berterusan dalam setahun bagi memastikan hasrat ini benar-benar berjaya.
Kempen dan program bagi menjayakan hasrat ini boleh digembleng bersama beberapa kementerian dan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada sesebuah kementerian saja.
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan mendidik anak mereka untuk ada sifat menghargai jiran, bertegur sapa dengan jiran, selain setiap masyarakat perlu mendoakan kesejahteraan jiran mereka. Jika dapat berbuat demikian maka hati mereka akan rapat dengan jiran dan perpaduan akan tercapai," katanya.
Dr Mohd Fadzillah berkata, dalam pembangunan sesebuah negara, aspek pengukuhan semangat kejiranan dan perpaduan masyarakat perlu diberi perhatian yang seimbang dengan aspek pembangunan material.
"Implikasi daripada perpaduan masyarakat akan menjamin kecemerlangan sesebuah negara, tetapi jika pembangunan material dan kerohanian dibangunkan secara tidak seimbang, ia akan mencetuskan fenomena 'prasarana kelas pertama tetapi mentaliti rakyat kelas ketiga'," katanya.
Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Zainal Kling, pula berkata kejadian kanak-kanak hilang dan pembunuhan kejam seperti kes Allahyarham Nurin ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit mengejar kemajuan.
"Sepatutnya apabila kita nampak kanak-kanak kecil bersendirian, kita bertanya secara automatik, mana ibu dan bapa kamu?
"Kenapa sendirian di sini? Kita cuba membantu untuk hantar kanak-kanak itu kepada keluarganya.
Bagaimanapun, katanya perubahan budaya dan gaya hidup penduduk di bandar menyebabkan mereka tidak lagi ambil peduli, malah mungkin tidak mengenali penduduk di kawasan kejiranan yang sama.
"Kita mesti mengembalikan semangat kejiranan dan komuniti. Kita perlu ada nilai kekampungan dalam beberapa aspek. Hidup saling menghormati, saling mengambil tahu dan bertemu sama ada di surau atau masjid.
"Jika bersikap suka mengambil tahu hal orang lain atau lebih tepat seperti pepatah Melayu, menjaga tepi kain orang yang diamalkan di kampung, kejadian jenayah seperti kes bunuh dan rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur mungkin boleh dikurangkan," katanya.
Dalam kes kanak-kanak itu, dilaporkan beberapa peniaga di pasar malam, lokasi terakhir kanak-kanak itu, melihat mangsa bersendirian membeli makanan.
Malah, ada saksi mendakwa melihat dia ditarik masuk ke dalam sebuah van berwarna putih. Secara logik, jika semangat komuniti dan kekitaan masih menebal, kanak-kanak itu tidak mungkin boleh terlepas ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai jiran seseorang itu mempunyai tanggungjawab membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya dengan menyatakan kebencian terhadap gejala sosial itu.
Berbanding di kampung satu ketika dulu, perpaduan dan keakraban masyarakatnya membolehkan mereka saling tegur menegur dan mengawal perubahan sosial dalam komuniti.
Prof Dr Zainal berkata, di kampung hampir semua warganya memiliki hubungan kekeluargaan dan ini membolehkan mereka saling mengawal antara satu sama lain.
"Kawalan sosial itu amat ketat, tetapi di bandar kebanyakan orang tiada hubungan kekeluargaan. Di bandar kebanyakan orang adalah pendatang dari satu kawasan yang lain dan mereka tidak ada hubungan. Mungkin orang yang paling rapat adalah jiran, tetapi orang bandar ada kalanya tidak kenal jiran.
"Justeru, mereka tidak ada kawalan kepada anak dalam komuniti," katanya.
Katanya, atas faktor berkenaan masyarakat di bandar tidak memiliki jaringan sosial yang boleh mengikat mereka.
"Mereka tidak berada dalam kelompok yang wujudnya satu jawatankuasa, imam dan kesatuan yang boleh mengikat sesama mereka.
"Tiada orang yang mengawal dan ambil tahu kecuali polis, tetapi polis bukan tinggal dengan kita," katanya.
Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak, terutama yang sedang dalam usia remaja, mereka memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan yang fleksibel perlulah dirangka dan dilaksanakan bagi mengelak mereka daripada terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri mereka.
Selain itu, saban waktu masyarakat hari ini didedahkan dengan nilai asing di televisyen.
Kita diajar menjadi pembunuh dan bertindak kejam hingga menjadikan kita kenyal pada jenayah dan kekejaman, kita tidak lagi sensitif pada jenayah.
Keadaan ini menjadikan masyarakat hari ini sebagai anomi (masyarakat yang tidak ada norma), selain ia juga menyebabkan manusia hilang pegangan yang boleh mengawal kehidupan dan hilang tanggungjawab moral.
Oleh Hafizah Iszahanid dan Nasron Sira Rahim
Berita Minggu 23 September 2007