Ibu bapa perlu semai pendidikan agama sejak kecil, beri keutamaan aspek keselamatan kanak-kanak
KEHILANGAN Nurin Jazlin Jazimin, 8, sejak September lalu hingga penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hasil ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Nurin menggemparkan pelbagai pihak. Walaupun timbul kontroversi mengenai identiti mayat itu, penemuan mayat itu sudah cukup menakutkan. Mengimbas tempoh 10 tahun lalu, kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak sebagai mangsa amat membimbangkan, terutama apabila mereka bukan setakat dirogol , tetapi dibunuh dengan cara kejam. Adakah dunia tidak lagi selamat untuk kanak-kanak? Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu bersama pakar perunding psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Osman Che Bakar dan penganalisis jenayah, Dr Kamal Affendi Hashim mengenai isu ini.
Apakah yang menyebabkan ada penjenayah yang sanggup bertindak kejam terhadap kanak-kanak yang sepatutnya disayangi dan dilindungi?
Penjenayah yang bertindak tidak rasional selalunya adalah individu yang mempunyai masalah kecelaruan personaliti. Mereka tidak mempunyai perasaan kasihan, hilang pertimbangan dan tidak mempunyai kawalan impuls. Dia akan melakukan apa yang hendak dibuat. Dalam keadaan sangat marah, dia bertindak tanpa memikirkan mangsa dan akibat perbuatan itu. Orang yang melakukan jenayah begini mempunyai personaliti antisosial. Ada juga yang mempunyai masalah psikiatrik teruk seperti skizofrenia. Dalam keadaan tidak stabil dan sakit, dia mempercayai perkara yang tidak betul dengan bersungguh-sungguh. Dalam satu kes di Hospital Tanjung Rambutan, pesakit nampak anaknya seperti batang pisang. Dia mendengar suara bahawa yang pulang bukan anaknya, tetapi batang pisang yang perlu dicincang supaya syaitan tidak memasuki rumahnya. Dalam keadaan itu, dia mengambil parang dan mencincang anaknya.
Kita melihat kejadian itu sebagai kejam, tetapi dia adalah pesakit yang berada di luar kawalan. Ada juga sesetengah kes pesakit berada di bawah kawalan jenis dadah tertentu. Dia akan hilang pertimbangan dan dalam keadaan marah atau diejek, dia juga boleh melakukan jenayah kejam. Selain itu, ada kes individu yang mempunyai tahap pemikiran rendah yang juga boleh hilang pertimbangan dan melakukan jenayah. Bagaimanapun, keadaan ini mungkin berlaku kepada orang yang normal apabila dendam terlalu kuat. Katakan seorang pembantu rumah yang selalu didera majikan. Dia tidak boleh membalas dendam terhadap majikannya dan bertindak kejam terhadap anak majikan. Sesetengah penjenayah bertindak terhadap kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan individu yang dia marah atau geram pada masa lampau. Kesimpulannya, kita tidak boleh menyatakan penjenayah yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran berdasarkan satu sebab. Keadaan mungkin kompleks kerana ada kemungkinan hasil interaksi banyak perkara. Mungkin penjenayah itu memang otaknya kurang waras dan kemudian ada kejadian masa lampau yang bergabung menyebabkan dia melakukan jenayah.
Kanak-kanak perempuan menjadi sasaran. Apakah kategori penjenayah begini?
Kanak-kanak perempuan, berbanding lelaki lebih lemah, mudah dipujuk rayu, mudah ditipu dan kadang-kadang mangsa sendiri ada kelemahan tertentu seperti mudah dipujuk dan dibawa berjalan. Kita tidak boleh kata semua kes begitu, mungkin ibu bapa sendiri kurang memberi kasih sayang dan kurang memberi hadiah. Apabila ada orang lain yang memujuk dan memberi hadiah, kanak-kanak begini akan mudah tertarik. Bagi kes yang membabitkan penderaan seksual, ada kemungkinan penjenayah hendak melepaskan nafsu. Dia tidak mampu melakukan perkara itu kepada orang dewasa dan menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa. Ada kajian menunjukkan penjenayah yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak perempuan biasanya mempunyai masalah seksual. Individu yang lemah tenaga batin ini tidak mampu berfungsi apabila melakukan hubungan seksual dengan wanita dewasa. Terhadap kanak-kanak, dia tidak malu berbanding berasa kalah kepada wanita dewasa apabila mengalami keadaan seperti ejakulasi pramatang.
Persoalannya mengapa perlu dibunuh dengan kejam seperti ada kes merodok kemaluan mangsa dengan kayu?
Selain melepaskan hawa nafsu, dia mungkin mempunyai masalah skizofrenia atau di bawah kawalan dadah atau kecelaruan personaliti. Persoalan timbul mengapa perlu dibunuh. Mungkin dia panik dan takut mangsa mengadu kepada ibu bapanya dan membuat laporan polis.
Secara logik, penjenayah akan menyembunyikan bukti pembunuhan, tetapi dalam kes terbaru, mangsa yang dibunuh disimpan dalam beg dan ditinggalkan di tempat tumpuan orang ramai?
Ada penjenayah tidak begitu pandai. Dia menyangka mangsa yang disimpan dalam beg dan tidak dibuka, lama-kelamaan bukti itu akan hilang begitu saja. Bagaimanapun, dia tidak terfikir pengesanan bukti seperti DNA. Dalam kes profil tinggi yang penjenayah khuatir orang lain akan tahu, bukti akan dihilangkan dengan cara seperti letupan. Bagaimanapun, ini tidak berlaku dalam kes ini. Mungkin dia mempunyai masalah psikiatrik dan tidak terfikir perkara seperti itu. Mungkin dia ingat selepas dipotong, suara mengarahnya buat begitu. Ini juga boleh berlaku. Kita tidak tahu lagi, banyak kemungkinan.
Bolehkah kita mengenal pasti individu berpotensi menjadi penjenayah yang mensasarkan kanak-kanak, terutama perempuan sebagai mangsa?
Kita tidak boleh kenal kalau jumpa di tepi jalan. Bagaimanapun, kalau kita mengenali dia dalam tempoh agak lama, selalunya mereka mempunyai sejarah masa lampau. Dulu mungkin setakat pegang-pegang atau raba-raba. Kita kena ambil keadaan sikit-sikit itu sebagai tanda. Sesetengah masalah berpunca akibat sikap kita mengambil ringan, terutama apabila membabitkan anggota keluarga. Ada juga sesetengah pesakit yang mencuba tiga atau empat kali, mengganggu adik atau mengintai emak, tetapi kita tidak mahu cerita kerana malu. Kalau kita tahu lebih awal, orang begini mempunyai potensi untuk bertindak lebih jauh. Sama ada boleh dirawat atau tidak, ini bergantung kepada diagnosis. Penyakit seperti skizofrenia, boleh dikawal dengan mengambil ubat. Bagaimanapun jika membabitkan kecelaruan personaliti, keadaan susah sikit kerana mereka tidak makan saman. Mereka ini adalah seperti sesetengah penjenayah yang berada dalam penjara. Keluar masuk penjara, perangainya tetap sama. Kecelaruan personaliti berada dalam kumpulan penyakit psikiatrik, tetapi tidak diklasifikasikan sebagai penyakit psikiatrik serius seperti skizofrenia dan kemurungan teruk. Individu kecelaruan personaliti kelihatan sama seperti orang biasa dan kadang-kadang pandai berlakon seperti nampak baik, pandai berpura-pura dan memujuk rayu tetapi mempunyai niat buruk.
Ini menunjukkan kes jenayah kejam membabit kanak-kanak bukan dilakukan pesakit mental, tetapi lebih kepada kecelaruan personaliti?
Majoriti disebabkan kecelaruan personaliti, berbanding penyakit psikiatrik. Antara punca kecelaruan personaliti berlaku adalah kerana ada integrasi kompleks antara genetik dan persekitaran. Dari segi genetik, dia memang begitu tetapi persekitaran memberi sumbangan seperti penjenayah dilahirkan dalam keluarga berpecah belah seperti bapa ketagih dadah, judi dan alkohol. Ada juga ibu bapa menggunakan cara terlampau keras dan tidak normal untuk mendisiplinkan anak seperti memukul, tendang dan menghantuk kepala ke dinding. Individu begini mungkin trauma sejak kecil dan tidak boleh belajar cara yang normal serta erti hormat dan kasihan terhadap orang lain. Apabila dewasa, dia pula buat terhadap orang lain. Banyak kes kecelaruan personaliti begitu.
Bagaimana hendak mengenali individu yang kecelaruan personaliti? Kehidupan mereka adalah seperti biasa. Bagaimanapun, antara ciri mereka ialah mempunyai rekod kerja buruk seperti selalu tidak datang kerja datang lambat, selalu mengambil sijil sakit (MC), tidak ikut peraturan, tidak mempunyai perasaan bersalah jika melanggar peraturan, bercakap bohong, tidak amanah, bergaduh dengan orang lain dan perhubungan dengan jiran buruk. Individu begini bukan saja tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap manusia, malah binatang. Ini yang menyebabkan mereka tidak teragak-agak menyepak haiwan peliharaan. Dia suka mengambil kesempatan dan tidak mempunyai perasaan bersalah. Ramai individu begini terbabit dalam penagihan dadah, alkohol dan perhubungan seks tanpa nikah. Orang begini selalu merosakkan rumah tangga, mendera isteri dan anak.
Adakah perubahan sosial turut membantu melahirkan penjenayah kejam?
Perubahan sosial dan cara kehidupan kita memang memberi sumbangan terhadap masalah ini. Kehidupan moden lebih tertekan dan ibu bapa kurang masa untuk anak kerana tuntutan kehidupan lebih mendesak. Setakat gaji RM1,000 hingga RM2,000 tidak mencukupi di Kuala Lumpur menyebabkan terpaksa kerja siang dan malam. Anak pula dijaga oleh orang lain. Ini ditambah pula dengan pengaruh media massa dan internet yang memudahkan akses ke laman porno. Semua ini adalah kesan sampingan pembangunan pesat.
Adakah seperti dalam masyarakat Barat yang wujud kelompok yang sukakan melakukan seks dengan kanak-kanak menular ke negara ini?
Sejak dulu keadaan memang begini, tetapi jumlah penduduk negara semakin ramai. Ini menyebabkan semakin ramai individu yang bermasalah kecelaruan personaliti dan kecewa. Sebenarnya tidak ramai menghadapi masalah ini, tetapi apabila bilangan penduduk meningkat, bilangan mereka juga bertambah.
Apakah aspek kemahiran keibubapaan boleh membantu mencegah kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak?
Kita boleh meminimumkan risiko. Membentuk keluarga harmoni, itu adalah antara langkah pertama. Langkah kedua, memberi pendidikan agama kepada anak sejak kecil dan selalu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan. Kadang-kadang kesibukan menyebabkan kita cuai dan bersikap tidak mengapa. Kita mesti selalu berhati-hati dan mengingatkan anak-anak supaya tidak mudah mengikut orang. Kesimpulannya, kita perlu menetapkan apa yang boleh dan tidak boleh buat. Sesetengah ibu bapa tidak kisah, hendak main, mainlah.
Kita mungkin tidak bercakap dari segi seksual, tetapi pada umur enam dan tujuh tahun, kita sudah boleh menasihat supaya balik rumah pada waktu ditetapkan, balik bersama-sama kawan dan melalui jalan yang ramai orang dan bukan jalan pintas yang sunyi. Pada peringkat remaja, kita boleh bercakap mengenai seksual seperti perhubungan antara lelaki dan perempuan. Dari satu segi, pendidikan seks yang hendak diperkenalkan di sekolah adalah langkah yang positif kerana apabila disebut pendidikan seks, orang terus membuat kesimpulan sebagai perhubungan seks, sedangkan pendidikan seks boleh mengajar mengenai naluri manusia dan perkembangan fizikal.
Secara umum, ada sesuatu yang tidak kena dalam keluarga kanak-kanak yang menjadi mangsa seperti ibu bapa terlampau sibuk, cuai, mudah mengambil risiko. Ada juga kes yang bersifat kebetulan seperti terlalu sibuk beli-belah hingga anak hilang. Dalam keluarga harmoni, jarang anak akan terbabit dalam masalah begini. Jika ibu bapa selalu bercakap kasar dan apabila ada orang yang mempunyai niat jahat bercakap dengan baik untuk memujuknya, kanak-kanak menganggap penjenayah sebagai ikhlas.
Fokus kurangkan mangsa patut jadi agenda
Kanak-kanak seolah-olah tidak lagi selamat berada di luar rumah. Apakah aliran dan corak jenayah membabitkan kanak-kanak di negara ini semakin serius?
Sebenarnya peningkatan dari segi jumlah kes adalah lazim bagi saya, tetapi peningkatan dari segi kekejaman keganasan adalah lebih tepat. Kes jenayah dulu dan sekarang adalah sama saja, tetapi darjah keganasan yang digunakan penjenayah adalah amat luar biasa hingga tidak tercapai oleh akal manusia. Malah, penjenayah lebih kreatif. Kenapa ramai yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak? Pertama, kanak-kanak mudah dipengaruhi, paling senang kerana berada di luar, di taman permainan atau ketika berjalan kaki seorang diri atau menunggang basikal ke kedai. Kedua, keadaan sekarang menunjukkan golongan remaja dan dewasa sekarang sudah bersedia untuk menghadapi keadaan kritikal. Golongan ini mempunyai cukup pengetahuan untuk bertindak balas apabila menjadi mangsa penjenayah. Golongan yang tinggal sekarang ialah kanak-kanak sebagai kelompok yang lemah. Memang sukar memberitahu dan menyampaikan idea keselamatan kepada pelajar berumur 10 tahun ke bawah.
Sifat kanak-kanak ialah percayakan semua orang. Kalau berpakaian kemas, kanak-kanak menganggap orang itu baik kerana itu adalah nilai yang diajar ibu bapa. Semua orang baik dan tidak ada orang yang mempunyai niat jahat. Secara perbandingan, mana lebih kejam? Penjenayah yang mencari mangsa di luar atau guru agama yang mengambil kesempatan terhadap muridnya yang datang belajar mengaji. Nilai yang diberitahu adalah semua orang baik. Akhirnya kanak-kanak keliru dan apabila diperlakukan seperti itu, dia akan kata bukankah dia baik, mengapa dia buat begitu? Penjenayah memberi RM1 untuk menutup mulut, untuk belanja sekolah dan mengugut supaya tidak memberitahu kepada sesiapa. Kalau cerita, itu berdosa. Apakah kanak-kanak akan memberitahu? Kejujuran kanak-kanak menyebabkan dia diam. Secara semula jadi, kanak-kanak mempunyai kelemahan.
Apakah yang menyebabkan darjah keganasan semakin meningkat hingga keganasan itu tidak diterima akal yang waras?
Jenayah mempunyai kitaran. Jenayah bermula dengan harta benda seperti mencuri dan kemudian berubah menjadi jenayah tubuh badan seperti bergaduh dan membunuh. Ini diikuti jenayah seksual. Selepas peringkat ini, kita akan menjumpai jenayah kreatif. Ini adalah kitaran jenayah yang berlaku setiap 25 tahun. Mengikut pengkaji jenayah, perubahan corak jenayah akan berlaku setiap 25 tahun. Ini akan menunjukkan kepada kita apabila tiba tahap penghujung, membunuh dilakukan dengan cara menggunakan asid dan pedang. Paling teruk mangsa dicincang selepas dibunuh. Kemudian jenayah seksual. Sekarang ini kita menemui fasa jenayah kreatif. Kenapa perlu membunuh? Kepuasan. Mengapa simpan dalam beg? Persiapan. Kenapa tidak buang dalam sungai atau hutan? Kreatif. Kalau kita ambil kes terbaru. Ramai memberitahu saya perbuatan itu kejam. Apa guna kita bercakap mengenai kejam jika tidak belajar apa-apa daripada tragedi itu. Kalau ditanya komen saya, saya kata perkara ini nampak zalim tetapi lazim atau biasa berlaku.
Saya melihat lebih jauh, mengapa mayat tidak dibuang? Pelakunya memang mahu mayat dijumpai supaya boleh mendabik dada itulah adalah hasil kerjanya. Dia memang sengaja mahu mayat dijumpai dalam keadaan begitu. Penjenayah menjadi semakin kreatif dan berani. Mungkin kepuasannya bukan setakat membunuh, tetapi mengaburi pihak berkuasa dan memperkotak-katikkan semua rakyat Malaysia supaya kita takut. Sengaja dibuat begitu. Bukankah itu suatu yang kreatif yang hanya apabila difikirkan secara mendalam, bukan secara rawak, mesti ada sebab. Penjenayah ini kreatif dan gila glamour. Inilah yang kita takuti kerana orang buat sesuatu bukan kerana terdesak dengan keadaan, tetapi sengaja untuk melakukan kepuasan.
Adakah keadaan ini berlaku sebagai suatu perkara biasa di negara maju dan mula dialami negara yang semakin moden?
Dalam dunia jenayah, landskapnya sama di mana saja. Setiap 25 tahun akan berlaku satu kitaran kerana tamadun manusia dianggarkan setiap 25 tahun, suatu generasi baru akan berganti. Hari ini, umurnya satu atau kosong tahun, 25 tahun lagi umurnya 25 tahun, maka konteks sosial, cara pemikiran dan interaksi berbeza. Sebab itu, jenayah turut bertukar. Apabila umur 25 tahun menjadi 50 tahun, dia menjadi tua dan jenayah berubah. Ini yang dipanggil kitaran jenayah.
Adakah perubahan sosial turut mempengaruhi perubahan jenayah yang berlaku?
Kita semakin maju, tetapi kemajuan itu menyebabkan kita menjadi semakin bodoh. Kalau dulu kita risau melihat anak jiran berjalan seorang diri dan kita menegur walaupun bukan anak kita. Hari ini, kita tidak risau, malah ada di kalangan kita seronok apabila orang lain ditimpa malang. Setiap hari misi kita, biarlah dia kena ragut atau menjadi mangsa. Kepuasan kita pada hari ini ialah tragedi bagi seseorang adalah komedi kepada kita. Kalau rumah dipecah masuk, kita cakap polis tidak meronda. Kalau menghidap kencing manis, mengapa kita tidak menyalahkan doktor kerana tidak memberitahu gula dan garam berbahaya. Maknanya, kita belum sampai tahap kita adalah masyarakat. Mungkin definisi masyarakat hanya berada pada lidah dan belum ke hati.
Ini menyukarkan keadaan dan ruang kosong yang kita cipta khusus untuk penjenayah mengambil kesempatan. Dalam keadaan itu, kita sebenarnya sebelum ini banyak membuang masa, kita cuba mengurangkan penjenayah dan mengenakan hukuman lebih berat supaya penjenayah tidak akan berkeliaran dan kita akan menjadi selamat. Tunjukkan kepada saya satu tamadun yang berjaya mengurangkan jumlah penjenayah. Jenayah dan penjenayah memang ada dan kita tidak berupaya mengurangkan penjenayah. Kalau sudah tahu tidak boleh mengurangkan jumlah penjenayah, apa yang boleh dikurangkan? Penekanan harus diberikan terhadap mangsa. Kita kena melakukan tindakan pencegahan di tempat yang belum berlaku. Di tempat yang sudah berlaku, pencegahan perlu dilakukan, manakala tempat yang banyak masalah, lakukan pemulihan. Barulah kita dapat mengawal keadaan.
Namun yang penting sekarang ialah melancarkan kempen. Apabila keganasan berlaku terhadap kanak-kanak, esok kita buat kempen terhadap golongan ini. Saya selalu tanya mengapa buat esok dan tidak hari ini atau sebelum ini.
Ini bermaksud kita perlu melihat ke depan, menjangka keadaan jenayah yang bakal berlaku?
Pihak berkuasa memang melakukan, tetapi masyarakat kita masih berharap supaya tong gas di belakang rumah dan kasut depan rumah dijaga oleh polis. Ini adalah pembaziran kerana sepatutnya fokus adalah masa depan. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai sistem sokongan dari masyarakat. Kita masih menganggap saya bayar cukai dan polis perlu melindungi saya. Ini adalah peranan masyarakat dan bukan pihak berkuasa. Orang ramai boleh melindungi kepentingan dan keselamatan pihak yang terbabit dalam hal ini. Katakanlah polis menjangka dalam 10 tahun akan datang akan menjadi begini, kita kena rancang sekarang dan kanak-kanak di sekolah rendah diberi pendedahan mengenai jenayah seksual. Ini memang dilakukan, tetapi di mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi juara kanak-kanak.
Bagaimana saudara melihat personaliti penjenayah kejam ini?
Personaliti penjenayah ini ialah hari ini, dia melakukan jenayah dengan memecah masuk rumah orang dan merogol mangsa. Selepas itu dia akan memecah masuk rumah dan merogol mangsa. Bagaimanapun ketika merogol, dia akan menyeksa mangsa. Selepas itu dia masih memecah rumah, tetapi mendapat kepandaian baru, dia akan menyeksa dengan lebih teruk. Kemudian dia akan cuba membunuh. Baginya menyeronokkan apabila nyawa mangsa berada dalam tangannya. Manusia adalah kompleks.
Semua orang mengharapkan kerjayanya berkembang dan ini juga berlaku dalam dunia jenayah. Cuma kalau kita membuat perbandingan antara cara mereka dan kita berfikir, ia akan menampakkan jurang perbezaan yang dalam. Katakan seorang yang normal dan penjenayah. Orang yang normal berkata esok dia akan mula usaha menguruskan badan. Jam lapan pagi, dia tidak mahu makan. Esok, orang normal ini akan berubah fikiran dan menangguh program diet. Penjenayah berbeza kerana jika kata esok hendak merompak jam tiga pagi, tepat pada masa itu dia merompak. Masyarakat mempunyai pandangan jauh, tetapi dedikasi terhad. Penjenayah pula mempunyai pandangan terhad, tetapi dari segi dedikasi nombor satu. Logik penjenayah tidak sama dengan kita. Kepuasan apabila tidak lagi memberi nilai menyebabkan manusia mencari kepuasan baru dan ini berlaku dalam dunia jenayah.
Apakah yang perlu dilakukan. Kita sudah tentu tidak mahu lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman?
Kepada kaki bangsawan, tolong hentikan sandiwara ini. Terlalu ramai yang suka bermain sandiwara seperti melancarkan pelbagai program atau kempen serta menubuhkan jawatankuasa itu dan ini. Semua ini adalah kosmetik dan ini tidak membantu. Kita perlu fokus kepada usaha mengurangkan jumlah mangsa dan bukan mengatakan lelaki adalah perogol dan kejam. Ini tidak membantu apa-apa. Kemudian kita perlu bersikap jujur. Sesiapa yang mempunyai tanggungjawab dan tidak mampu melakukan, lebih mulia melepaskan jawatan yang dipegangnya supaya orang lain yang berkemampuan boleh melakukan. Kita perlu mengiktiraf dan menggalakkan penyertaan belia, tetapi bukan dengan cara menyuruh mereka menunggang motosikal dan mengedarkan risalah. Tolong percaya kepada belia, tanya pendapat mereka untuk mengatasi masalah ini. Kita melihat mereka sebagai sampah dan tidak menerima idea mereka. Mereka mungkin mempunyai cara dan pandangan berbeza, tetapi mereka tahu tabiat golongan seumur dan tahu cara mengendalikannya.
Saya menyokong usaha Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menerusi pendidikan kesihatan seksual yang merujuk kepada penghormatan kepada tubuh badan. Ini yang diajar, tetapi orang melihat pendidikan seksual sebagai hendak menceritakan mengenai seks. Paling penting ialah kita bekerjasama. Penjenayah tidak datang dan bertanya ini anak Maniam, Ahmad atau Ah Chong? Bagi dia, kanak-kanak adalah mangsa. Kita perlu menentang perbezaan yang selalu kita lihat, orang ini kelompok lain dan tidak perlu dibantu. Lebih baik kita mengetahui mengapa kanak-kanak menjadi mangsa dan bukan mengapa penjenayah bertindak kejam. Adakah kanak-kanak terbabit adalah mangsa keadaan atau mangsa dipilih? Jika ada 10 kanak-kanak di situ, mengapa seorang menjadi mangsa. Ini yang perlu dilihat.
Kita juga perlu jujur. Jangan buat sesuatu kerana hendak mendapat anugerah atau sesuatu balasan. Tolonglah menjadi warga Malaysia yang berikrar di bawah Rukun Negara. Buat dan bantu. Kita tidak mahu akhirnya orang membantu kerana ganjaran dan bukan mahu membantu. Pada suatu peringkat, keadaan ini akan melahirkan penjenayah kreatif. Ibu bapa tidak berduit bukan lagi halangan untuk penjenayah menculik kanak-kanak. Penjenayah akan menculik anaknya dan apabila tawaran meningkat, katakan dari RM25,000 menjadi RM50,000. Penjenayah melepaskan tebusan untuk mendapat ganjaran wang.
Berita Minggu 23 September 2007