Berbilion ringgit di tangan kita wajar digunakan untuk membantu Bumiputera
SEHINGGA rencana ini ditulis, sebuah kompleks beli-belah yang sangat popular di Lembah Klang masih belum mempersiapkan premisnya dengan perhiasan sambutan bulan puasa dan hari raya. Tahun lalu hal yang sama berlaku sehinggalah sebuah akhbar berbahasa Melayu mendedahkan ‘kealpaan’ kompleks itu. Malah bukan sebuah dua kompleks beli-belah popular yang mengambil sikap endah tak endah dalam soal seperti itu.
Pada tahun lalu alasan yang diberikan ialah 'terlepas pandang' dan pihak pengurusannya meminta maaf. Tahun ini, sekiranya tidak dikejutkan dengan laporan media, kompleks ini akan terlupa kehadiran 13.5 juta orang Melayu di negara ini. Hakikat bahawa hari raya ialah perayaan istimewa bagi lebih 16.8 juta orang Islam di negara ini. Terlepas perhatian lagi? Atau kesombongan dek kejayaan dan populariti?
Sebenarnya banyak pihak yang mengambil mudah kuasa beli di tangan orang Melayu. Termasuk orang Melayu sendiri. Samalah halnya dengan syarikat raksasa dunia yang melupakan kuasa beli umat Islam yang berjumlah 1.3 bilion orang itu.
Apabila kebencian terhadap Amerika Syarikat (AS) ekoran serangan ke atas Afghanistan dan Iraq, banyak syarikat milik orang Islam mengeluarkan barang yang memberikan saingan hebat pada jenama terkenal dari AS.
Umat Islam di beberapa negara memboikot barang dari Barat sebaliknya membeli barang keluaran syarikat dan negara Muslim. Hal ini berlaku juga ke atas syarikat dari negara yang akhbarnya menyiarkan kartun yang menghina Rasulullah tidak lama dulu.
Sayangnya umat Islam dan negara Islam tidak pernah bersatu dalam soal pembelian barang dan penggunaan perkhidmatan. Bayangkan apa yang boleh dibuat oleh upaya beli umat Islam yang jumlahnya seramai rakyat negara China sekiranya digunakan sebagai kuasa tawar-menawar (bargaining power). Itu belum lagi hasil bumi dari negara Islam.
Di Malaysia kita tahu hakikat bahawa orang Melayu mewakili lebih 60 peratus rakyat negara ini. Dalam bahasa ekonomi jumlah menjadi penentu. Satu waktu dulu memang lebih 60 peratus orang Melayu berada pada paras kemiskinan.
Hari ini jumlah itu hanya tinggal lima peratus. Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah mengubah orang Melayu keseluruhannya. Mobiliti sosial berlaku dengan cara yang luar biasa. Kemunculan golongan kelas menengah Melayu cukup memberangsangkan.
Demikian juga sudah lahir masyarakat perniagaan dan perusahaan Bumiputera (MPPB) serta pertambahan besar bilangan orang kaya baru (OKB) dan jutawan serta billionaire. Rata-rata, bukan faktor nombor saja yang menentukan kekuatan Melayu dari segi daya beli, tetapi kualiti manusianya juga.
Kajian yang dibuat oleh syarikat media mengenai pola pembelian di negara ini jelas menunjukkan bahawa kuasa beli Melayu tidak boleh dipandang ringan. Sasaran iklan terhadap golongan profesional, kelas menengah dan mereka yang makin gaji di kalangan orang Melayu memang amat ketara.
Malah sebuah stesen TV berbayar mulai menyedari bahawa potensi langganan di kalangan orang Melayu akan bertambah pada waktu akan datang, satu-satunya segmen yang sebenarnya punya potensi cukup besar. Oleh yang demikian mereka mulai menyediakan lebih banyak saluran khas untuk orang Melayu dan Muslim.
Seperti biasa, orang Melayu sendiri mengambil mudah kekuatan itu. Mungkin secara tradisinya begitu. Di sebuah kampung Melayu, kedai runcit milik orang Melayu sendiri jarang yang berjaya. Rancangan untuk mengadakan kedai secara koperasi juga tidak selalunya berhasil.
Sebenarnya ada satu aspek yang lebih positif mengenai kuasa beli orang Melayu ini. Kuasa itu boleh membantu pertambahan bilangan peniaga dan usahawan Melayu. Hari ini realitinya ialah tidak ada networking atau rangkaian yang baik di kalangan peniaga Melayu.
Gabungan atau badan perniagaan Melayu tidak banyak memberikan impak pada struktur dan amalan niaga. Kaum lain menggunakan sistem rangkaian dan memanfaatkan gabungan atau badan perniagaan (chambers of commerce atau guilds) dengan cara yang cukup berkesan. Malah melalui rangkaian inilah gerak kerja, strategi, bantuan dan sokongan dapat diwujudkan.
Tetapi yang menjadi masalah pokoknya ialah pembeli Melayu sendiri. Samalah halnya kedai runcit Melayu tidak boleh maju di dalam kampung Melayu, banyak syarikat Melayu gagal kerana tidak ada sokongan pembeli atau pengguna Melayu.
Lebih separuh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hari ini sama ada dimiliki, dikuasai, dipimpin, diurus atau sebahagian sahamnya di tangan orang Melayu. Tetapi sejauh mana manfaatnya jatuh pada syarikat Melayu yang lain yang sepatutnya dapat tumpahan kejayaan mereka?
Berapa banyakkah daripada syarikat ini yang mengiklan dalam akhbar Melayu? Berapa banyak pula yang membantu syarikat Melayu melalui sistem sokongan, francais, anak angkat atau bantuan modal?
Berapa banyak pula yang membantu anak Melayu yang menganggur? Malah golongan yang paling banyak menyuarakan keresahan mengenai kualiti graduan Melayu ialah pimpinan korporat Melayu sendiri.
Syarikat bukan Melayu secara diam-diam melatih anak kaum mereka. Graduan dari disiplin manapun boleh dibentuk menjadi pekerja yang baik sekiranya diberikan peluang. Ijazah hanya kertas yang menandakan seseorang tamat belajar. Kertas itu harus diberi nilai tambah melalui latihan dan pendedahan di tempat kerja.
Bagi saya rungutan mengenai kualiti graduan yang masuk ke pasaran kerja hanya alasan untuk tidak mahu membantu. Sistem yang melahirkan graduan tidak berubah sejak lama dulu. Sepatutnya mereka dibantu, terutama yang menganggur.
Kerajaan pernah menyediakan Skim Mahasiswa Menganggur satu ketika dulu. Kenapa tidak sektor swasta? Sekiranya setiap tahun seribu syarikat milik Melayu mengambil 10 graduan Melayu secara senyap-senyap dan melatih mereka dengan kemahiran dan ketrampilan yang diperlukan, akan lahir 10,000 calon profesional Melayu yang berkualiti setiap tahun.
Orang Melayu yang berjaya terlalu banyak menghabiskan masa mengkritik sikap dan nilai bangsa sendiri, sistem pendidikan negara dan dasar kerajaan sedangkan mereka lahir daripada sistem yang sama.
Kalaulah tenaga memburuk-burukkan bangsa sendiri dapat diagih-agihkan pada usaha positif untuk membantu anak bangsa alangkah hebatnya. Saya tidak percaya graduan dari kaum lain tidak ada masalah penguasaan bahasa Inggeris atau kemahiran asas, tapi mereka selalu diterima bekerja tanpa riuh rendah. Kita? Tidak ada yang baik daripada telur sesangkar.
Kenapa tidak juruskan tenaga pada usaha membina kekuatan bersama? Kenapa tidak mulakan dengan kuasa beli yang ada pada kita? Kenapa tidak gunakan kuasa itu untuk membantu perusahaan bangsa sendiri? Ini bukan perkauman. Orang Melayu tidak pernah mengambil sikap sedemikian. Orang Melayu membeli kain kafanpun dari kedai kaum lain sejak sekian lama. Mereka tidak memilih kaum dalam membuat keputusan membeli dan menggunakan perkhidmatan. Kaum lain sudah berjaya kerana sokongan kuasa beli Melayu.
Kenapa tidak berikan juga perhatian pada syarikat peruncitan, perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) Melayu yang banyaknya hidup segan mati tak mahu?
Banyak orang menyatakan perusahaan atau syarikat Melayu tidak akan mampu bersaing dengan orang lain. Memang begitulah nampaknya realiti hari ini. Kita pergi ke kedai foto, kedai tayar, kedai bateri, bengkel kereta dan kedai runcit kaum lain selama ini. Tidak ada salahnya berbuat demikian. Tetapi syarikat orang Melayu juga perlu hidup.
Kita punya jumlah. Jumlah ialah kuasa. Kita boleh memilih untuk membeli atau menggunakan perkhidmatan dari sesiapapun. Ini demokrasi dalam sistem kapitalis.
Apa salahnya sebahagian daripada berbilion ringgit kuasa beli di tangan kita itu digunakan untuk membantu perusahaan dan perniagaan orang Melayu sendiri? Kalau bukan kita, siapa yang akan membantu mereka?
Oleh Johan Jaaffar
Berita Minggu 23 September 2007