RAKYAT Malaysia menitiskan air mata apabila polis mengesahkan mayat kanak-kanak yang ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya Rabu lalu adalah Nurin Jazlin Jazimin, yang baru berusia lapan tahun. Walau bukan Nurin sekalipun, kita tetap akan mengutuk perbuatan kejam terhadap kanak-kanak tidak berdosa itu. Namun selepas ujian DNA dilakukan ternyata kanak-kanak itu adalah Nurin.
Bapanya, Jazimin Abdul Jalil yang sebelumnya nampak tabah bagi menguatkan semangat isteri dan keluarga tidak lagi dapat membendung kesedihan. Bercucuran air mata ketika membawa keluar jenazah anak kesayangan dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur. Tidak disangka anak yang ditatang dengan penuh kasih sayang dibunuh kejam oleh manusia bertopeng haiwan.
Tatkala keluarga dan orang ramai mencarinya merata-rata, Nurin diseksa oleh manusia 'gila'. Badan Nurin yang sebelum hilang, berisi menjadi kurus kering, rektumnya pecah akibat dirodok dengan timun dan terung. Bayangkan penderitaan yang ditanggung kanak-kanak itu selama 27 hari.
Mungkin kecederaan yang dialami anak itu masih belum memuaskan hati penjenayah yang terus mendera dan membiarkannya menderita hingga kecederaannya dijangkiti kuman dan menjadi antara faktor kematiannya.
Selepas beberapa kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak termasuk dua kejadian yang hampir sama dengan Nurin yang berlaku di Kampung Baru walaupun dua kanak-kanak itu dilepaskan, kebimbangan terhadap keselamatan anak semakin meningkat. Sekali alpa, anak akan menjadi mangsa.
Semoga pihak berkuasa dapat menangkap penjenayah seks paling kejam ini. Selagi penjenayah ini tidak ditangkap, kebimbangan ibu bapa tidak akan hilang. Mereka tidak lagi sanggup melepaskan anak keluar rumah. Kemana-mana mereka pergi, anak akan dibawa sama. Tapi sampai bila?
Mampukah kita mengawal anak 24 jam. Mereka juga ada keperluan masing-masing, untuk ke rumah rakan, ke kedai yang tak sampai beberapa meter dari rumah dan ke tempat yang mereka pergi selama ini. Sebagai ibu bapa kita juga ada tanggungjawab lain termasuk keluar bekerja.
Tidak semua ibu bapa beruntung dapat bekerja mengikut masa pejabat. Ada sesetengahnya terpaksa bekerja sehingga lewat malam semata-mata untuk mencari rezeki dan keperluan anak. Kerana itu mereka terpaksa meninggalkan anak tanpa pengawasan ibu bapa. Bukan sengaja tetapi tuntutan.
Kita tidak boleh semata-mata mengharapkan pihak berkuasa dan pihak lain untuk menjaga keselamatan anak kita. Mungkin cadangan supaya sikap 'jaga tepi kain jiran' disemarakkan semula di kalangan masyarakat supaya kita dapat bersama-sama menjaga anak-anak kita.
Mampukah masyarakat hari ini melakukannya. Dengan kehidupan yang semakin individualistik dan mementingkan diri, bolehkah masyarakat kembali berubah seperti zaman dulu 'anak kau anak aku' dan sebaliknya.
Macam mana jiran hendak menjaga anak-anak kita sedangkan kita sendiri tidak pernah menegur mereka. Kita pun tak pernah tanya berapa anak mereka, sekolah mana, besar mana kerana tidak mahu dianggap sebagai penyibuk. Akhirnya kau buat hal engkau dan aku buat hal aku.
Jika kita tidak mahu lagi kes seperti Nurin berlaku, kenalah kita melakukan perkara yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini. Kenali jiran dan masyarakat keliling anda.
Pada bulan baik ini, mungkin perkara ini lebih mudah dilakukan. Buat kuih lebih dan sedekahkan ke rumah jiran di samping berkenalan rapat dan hantar kuih ke masjid bukan saja untuk bersedekah malah merapatkan silaturrahim sesama jiran.
Oleh Norhayati Md Said
Berita Harian 24 September 2007