Ahad, 23 September 2007

Taman Laut khazanah negara mesti dipulihara


TAMAN Laut Malaysia mengambil langkah konkrit untuk merealisasikan usaha ke arah pemuliharaan dan peningkatan pengurusan bagi agensi serta taman lautnya, apabila mencetuskan idea untuk bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Kemudahan Persekitaran Global (GEF).

Taman Laut Malaysia, yang dulunya sekadar sebuah seksyen kecil di bawah Kementerian Pertanian, dinaikkan taraf sebuah jabatan pada awal tahun ini dan dipindahkan ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Baru-baru ini, Marine Park/UNDP mengadakan Bengkel Insepsi dengan topik ‘Memulihara Kepelbagaian Bio Dengan Meningkatkan Pengurusan Taman Laut’ di Pulau Tioman. Bengkel itu mengumpulkan pegawai pelbagai kementerian, agensi kerajaan, ahli akademik, masyarakat setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Tabung Hidupan Liar Antarabangsa (WWF), Persatuan Pencinta Alam Malaysia, CoRal Malaysia dan Reef Check.

Menurut Pengarah Taman Laut Malaysia, Jamal Mydin, idea kerjasama ini tercetus sejak 2000 dengan matlamat utama untuk meningkatkan pengurusan Taman Laut Malaysia dan pembangunan mapan di pulau seluruh negara.

"Program akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kepelbagaian bio hidupan marin, masyarakat setempat dan pembangunan pulau.

"Dalam menangani pelbagai ancaman dihadapi Taman Laut, kita akan menggunakan dua pendekatan utama iaitu mengukuhkan pengurusan taman dalam usaha mengurangkan ancaman yang berada di bawah bidang kuasa mereka.

"Langkah kedua ialah memperluaskan pengetahuan dan meningkatkan nilai kepelbagaian bio hidupan marin di kalangan perancang pembangunan, pembuat dasar pada peringkat kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan, bagi memastikan setiap ancaman ditangani daripada setiap sudut," katanya pada Bengkel Insepsi bagi mengukuhkan proses pelaksanaan projek yang akan diketuai Abdul Rahim Goryaman (Timbalan Pengarah Taman Laut) untuk bertindak sebagai Pengarah Projek Nasional.

Projek lima tahun ini membabitkan kawasan laut Malaysia di bawah pentadbiran Taman Laut seluas 164,534.2 hektar, dengan empat pulau menjadi model kajian iaitu Pulau Redang bagi Terengganu, Tioman di Pahang, manakala Pulau Sibu dan Pulau Tinggi, bagi Johor.

Satu daripada matlamat projek adalah menangani ancaman serius yang dialami hidupan marin, di samping memperbaiki integriti ekologi yang semakin terhakis.

Kemusnahan sumber laut dan persekitaran pulau akibat kecuaian dan sikap manusia, pembangunan melampau, perancangan pembangunan yang lemah, peningkatan sektor pelancongan tanpa kawalan, ditambah dengan penangkapan ikan secara haram adalah antara isu yang akan ditangani program ini.

Abdul Rahim berkata, ancaman terbabit boleh dikategori di dalam atau di luar kuasa Jabatan Taman Laut yang bertanggungjawab bagi kawasan perairan seluas dua batu nautika dan di beberapa tempat hanya satu batu nautika.

"Antara ancaman yang akan diberi perhatian ialah kemusnahan terumbu karang yang serius, pencemaran kualiti air dan habitat hidupan marin, kemerosotan stok hidupan marin terutama ikan di perairan negara ini, pencabulan peraturan Taman Laut terutama membabitkan isu pemuliharaan hidupan marin yang semakin pupus.

"Selain itu, ialah kesan negatif sukan rekreasi seperti snorkeling dan selam skuba, hakisan pantai yang serius akibat kerja pembangunan dan pencemaran laut berikutan sisa buangan dari darat," katanya mengenai usaha menangani ancaman yang memberi kesan serius ke atas pulau peranginan Malaysia yang berada dalam senarai destinasi pelancongan dunia.

Pengurus Program UNDP Malaysia, Hari Ramalu Ragavan, berkata walaupun pengurusan taman laut di Malaysia sepatutnya diuruskan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, pelaksanaan projek yang dirancang memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pemegang amanah lain.

"Kami berharap gabungan kerjasama di kalangan pelbagai agensi dan pertubuhan serta masyarakat setempat ini, dapat diteruskan sehingga matlamat utama iaitu untuk mewujudkan pengurusan mapan di Taman Laut dapat diwujudkan. Kejayaan dicapai di pulau yang diberi fokus, diharap dapat ditiru oleh semua 40 pulau yang berada di bawah pentadbiran Taman Laut Malaysia," katanya.

Malaysia adalah antara negara paling bernasib baik kerana berada dalam 'Segitiga Terumbu Karang Dunia' dan memiliki majoriti spesies terumbu karang dan hidupan laut yang disenaraikan dalam direktori dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suboh Mohd Yassin, berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) juga memberi perhatian serius eko-pelancongan dan mengarahkan peningkatan langkah pemuliharaan kawasan pelancongan berasaskan keindahan alam sekitar.

"Adalah penting untuk memastikan mereka yang menyediakan produk dan perkhidmatan pelancongan ini disediakan kriteria dan garis panduan khusus terutama 'carrying capacity' kerana jumlah pengunjung melampau akan memusnahkan alam sekitar yang menjadi aset utama kepada produk terbabit," katanya.

Melihat angka yang diberi, kira-kira 250,000 pelancong melawat Tioman setiap tahun, 100,000 lagi melawat Redang dan kira-kira 17,000 berkunjung ke Pulau Sibu dan Tinggi. Jumlah pelancong ke Malaysia dianggar meningkat 8.4 peratus setiap tahun dan tinjauan ke pulau peranginan terutama ketika musim percutian, limpahan pelancong memberi impak amat serius ke atas persekitaran dan habitat hidupan marin.

Persoalan yang perlu dijawab secara jujur ialah sejauh mana pemegang amanah pulau peranginan indah itu menyedari tanggungjawab mereka untuk memulihara keindahan dan kekayaan khazanah laut yang semakin hari semakin tercemar dan menghilang.

Oleh Jamhariah Jaafar

Berita Harian 24 September 2007