Ahad, 23 September 2007

Wanita kuasai bidang profesional


Isu dominasi dikhuatiri jejas institusi kekeluargaan, kestabilan sosiobudaya


UMUM mengetahui pelajar wanita menguasai kampus di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dengan jumlah yang majoriti terutama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kini trend terbaru ialah mereka juga sudah mula menembusi kursus teknikal yang selama ini dikuasai pelajar lelaki.

Jika aliran ini berterusan, bermakna pelajar wanita bakal menguasai semua bidang sama ada di IPTA atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Senario itu bukan berhenti di situ, malah sudah berjangkit ke sektor pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian.

Dalam sektor awam, misalnya, pekerja wanita sudah menguasai kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional iaitu 52 peratus berbanding lelaki yang semakin mengecil kepada 48 peratus, berdasarkan statistik sehingga tahun lalu.

Malah, jumlah guru wanita di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, jauh lebih tinggi iaitu melebihi 65 peratus berbanding lelaki, lantaran ia bukan mengejutkan kerana selepas sekian lama sebelum ini wanita menguasai tempat di pusat latihan perguruan termasuk ketika zaman kewujudan maktab perguruan.

Itulah hakikatnya apabila membicarakan isu ketidakseimbangan jumlah kemasukan pelajar ke IPT yang menjurus kepada kemungkinan besar ketandusan profesional lelaki dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

Manakan tidak, sekiranya ada pihak yang menyatakan kebimbangan senario itu nanti akan mengundang permasalahan dalam institusi kekeluargaan negara ini termasuk mencetuskan suasana tidak sihat dalam kestabilan sosiobudaya, satu pihak lagi pula lantang mempertahankan perkembangan itu sebagai satu petanda baik untuk membentuk sebuah negara maju.

Kedua-dua pihak ada alasannya tersendiri dan semuanya disertakan dengan pelbagai hujah serta cadangan, namun realitinya jika dilihat kepada peratusan pelajar di IPT sama ada awam atau swasta, isyarat yang jelas kepada semua ialah semakin terhad peluang lelaki menempatkan diri dalam sistem yang terlalu mengutamakan akademik sebagai syarat utama itu.

Buktinya mudah dan jelas. Pada 2006, hanya 38 peratus pelajar lelaki berjaya diterima masuk ke IPTA. Mengikut statistik Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, lelaki kini berdepan situasi lebih meruncing apabila pelajar perempuan sudah semakin ramai menyertai kursus teknikal yang selama ini dikuasai pelajar lelaki.

Kebimbangan wajar dilontarkan kerana jika universiti awam yang selama ini mengutamakan akademik menjadi medan kepada pelajar perempuan berlumba-lumba menempatkan diri, politeknik, kolej komuniti dan IPTS adalah laluan alternatif untuk pelajar lelaki meloloskan diri.

Namun, apa yang menjadikan nada kebimbangan itu lebih serius ialah ternyata laluan itu juga sudah mula menjadi tumpuan pelajar perempuan yang gagal ke universiti awam, sekali gus menyekat saki baki peluang yang tinggal pada kelompok pelajar lelaki yang masih berkeinginan untuk belajar.

Rentetan kepada senario itu ialah bagaimana masa depan sosiobudaya negara jika satu hari nanti terlalu ramai golongan wanita profesional sedangkan lelaki pula hanya mampu menjaja kelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja.

Mampukah lelaki berkelulusan SPM menjadi pasangan hidup wanita yang berbangga dengan gelaran doktor falsafah atau sekurang-kurangnya memperoleh kelulusan sarjana dalam bidang profesional.

Justeru, wajarlah kebimbangan ini terus disuarakan dari semasa ke semasa kerana jika budaya Barat menjadi ikutan, perkahwinan bukan lagi menjadi satu keutamaan kepada mereka, malah ramai wanita lebih selesa hidup sendiri kerana berasakan tidak perlu dipayungi seorang bergelar suami.

Mampukah industri pekerjaan pula terus bergerak aktif apabila majoriti pekerjanya adalah wanita yang ternyata kerap berdepan masalah untuk memberikan sepenuh komitmen lantaran terpaksa mengimbangi kepentingan keluarga.

Namun, kerajaan perlu bijak menangani masalah ini supaya tidak berlaku di kemudian hari, lelaki hanya layak menjadi tukang masak di dapur kerana tidak memiliki kelulusan bagi memasuki industri pekerjaan sedangkan wanita pula bermandi embun bekerja hingga tengah malam untuk menyara keluarga. Jika itu berlaku, apa sudah jadi?

Lumrah alam, hidup manusia umpama roda, ada ketika kita di atas, ada ketikanya kita jatuh ke bawah. Mungkin itulah yang sedang melanda masyarakat sejagat. Namun, jangan setiap masa dibiarkan roda itu terus bergerak menterbalikkan dunia.

Oleh Azrul Affandi Sobry

Berita Harian 24 September 2007